Friday, April 29, 2011

Ustaz Ahmad Kilani Mohamed Berceramah Di FGHT

Program Bina Sahsiah di peringkat fakulti sudah lebih 2 bulan tidak berjalan. Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah (FGHT) baru sahaja mengaktifkan semula program ini pada awal tahun 2011. Alhamdulillah hari ini, ia bersambung semula...

Ustaz Ahmad Kilani Mohamed, pensyarah kanan dari Fakulti Tamadun Islam telah menyampaikan ceramah beliau tentang hati.

Lebih kurang 20 staf terdiri dari staf sokongan dan staf akademik menghadirkan diri mereka bagi mendengar ceramah ini.

Antara intipati ceramah ustaz ialah;

* Allah menggemari hati manusia yang beriman kepada Allah SWT. Hati yang bertaqwa!
* Allah tidak melihat rupa paras, harta benda, anak pinak tetapi Allah melihat kepada hati-hati yang bertaqwa.
* Hati adalah lebih keras dari batu dari segi maknawinya.
* Kita perlu selalu melembutkan hati.
* Hati yang hidup adalah mudah untuk menerima suruhan Allah.


"Dan sampaikanlah Muhammad khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah, iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah hati mereka bergetar, orang yang sabar atas apa yang menimpa mereka, dan orang yang melaksanakan solat dan orang yang menginfakkan sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepada mereka." (Al-Hajj; 34-35).

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal, iaitu orang-orang yang melaksanakan solat dan yang menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Al-Anfal; 2-3).

Tanda-tanda hati yang hidup;
i) Kuat berpegang dengan ajaran agama.
2) Takut dengan kemurkaan Allah.
3) Bersih dari sifat dengki dan permusuhan.

InsyaAllah, mudah-mudahan pada bulan depan sesi program bina sahsiah ini akan berterusan...

Tuesday, April 26, 2011

Rumahku Nyaris Dimasuki Perompak...


Asmaa Solehah sudah dua atau tiga minggu merengek-rengek. Ini bermula apabila dia demam. Kadang-kadang, ia beraksi manja yang keterlaluan.

Sejak dua tiga minggu ini, apabila dia bangun malam, dia menangis hendak air masak. Apabila diberi air masak, dia tak mahu. Dia menangis pula hendak susu ibunya... Apabila ibunya cuba menyusukannya, dia menangis tak nak... Tak tahu kita apa yang dia hendak sebenarnya.

Kadang-kadang tangisan yang agak kuat, dua tiga kali satu malam mengganggu ke'sabaran' ayah yang lena berdengkur.

Pagi ini, aku dimaklumkan Achik bahawa telingga mangga solex telah bengkok dan agak susah untuk membuka mangga. Aku dapati ada kesan cubaan untuk mematahkannya! Subhanallah!

Masa aku balik dari pejabat malam tadi lebih kurang pukul 12 tengah malam, telinga mangga ok aje, boleh dibuka dan dikunci dengan mudah.

Mungkin dengan tangisan Asmaa dan suara ibunya dan suaraku yang menegur Asmaa membuat si perompak tidak jadi untuk masuk ke rumahku. Penghuni rumah ini masih belum tidur lena lagi... Astaqfirullahal 'azim!

Ya Allah, aku memohon kepadaMu untuk menjauhi perkara-perkara yang tidak diingini seperti dirompak dan sebagainya.

Kalau mereka berjaya masuk ke rumahku malam tadi, aku ada duit tunai yang diambil semalam sempena hari gaji. Seribu lebih ke semuanya; ada yang hendak aku bayar isytirakat, bil kad kredit, ada hendak aku hadiahkan kepada ikhwah yang memerlukan, elaun bulanan anak-anak sekolah menengah, dan lain-lain lagi. Tidak dikira lagi trauma isteri dan anak-anak yang bakal dialami...

Aku telah membetulkan balik telinga mangga dengan penukul.

Aku hairan juga, rumah aku yang tidak berkereta besar dan berperabot mahal juga menjadi sasaran perompak.

Sunday, April 24, 2011

Terasmi Sudah Kompleks IKRAM Negeri Johor...


Pada 23 April 2011 (Sabtu), telah terlaksana Majlis Perasmian Kompleks IKRAM Negeri Johor oleh Presiden IKRAM, Al-Fadhil Ustaz Dr Mohd Parid bin Sheikh Ahmad. Bangunan dua buah rumah kedai yang terletak di Taman Universiti akan menjadi pusat aktiviti dakwah dan kemasyarakatan menelan belanja hampir RM1 juta.

Lokasinya yang agak strategik, berhampiran dengan UTM akan melonjakkan aktivisme yang rata-rata penggerak dan ahlinya tinggal di kawasan yang berhampiran. Majoriti ahli jawatankuasa IKRAM Negeri dan IKRAM Daerah Johor Bahru Tengah adalah staf UTM.

Kesanggupan kita untuk bersama menyeru dakwah, menyampaikan risalah Islam kepada bukan Islam dan yang sudah Islam memerlukan stamina yang tinggi. Dan kita berjuang bukan hanya di masa muda tetapi sepanjang hayat, selagi nyawa di kandung badan.

Rasulullah (SAW) mula menyampaikan risalah sewaktu beliau berusia 40 tahun.
Sekiranya kita baru berusia 50 tahun, dan berbanding dengan usaha dakwah Rasulullah semasa hayatnya, baru 10 tahun. Ini bermakna kita sepatutnya masih gagah dan bersemangat untuk meneruskan 13 tahun lagi yang dibelanjakan usia baginda kepada Islam, sehingga baginda berusia 63 tahun.

Ada pendapat dalam Kitab Syamail Rasulullah (SAW) bahawa Nabi Muhammad menyebar dakwah di Mekah selama 10 tahun dan 10 tahun lagi di Madinah dan baginda wafat pada usia 60 tahun.

Saya terpanggil untuk membuat ‘quotation’ dalam ‘Preface’ Riyadh-Us-Saleheen, ‘translation Arabic-English’, Dar Al Arabia Publishing Printing & Distribution, Beirut, Lebanon, muka surat xi; “Hassan al-Banna, the famous Egyptian genius and savant, was once called upon to recite a few couplets from a particular Divan, and in his reply he read out, extempore, one thousand couplets from that Divan, and said that he could quote more. Similarly he remembered by heart the names of 300,000 members of the Ikhwan-ul-Muslemoon.”

Kita hendak ingat nama kawan-kawan yang tak sampai sepuluh ribupun terkial-kial…

Di akhir majlis perasmian, para tetamu yang terdiri dari dif-dif jemputan dan ahli IKRAM bersama keluarga masing-masing dijamu dengan nasi pilau kambing dan beryani ayam.

Friday, April 22, 2011

Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un..

Malam tadi semasa kami ahli IKRAM JBT sedang berkatibah, aku mendapat sms pukul 8.27pm dari anakanda Wan 'Atikah yang berada di Pusat Asasi UIAM Nilai berbunyi,

"Salam abah. Doakan kawan Kak Ngah yang kini sedang nazak di hospital sebab kondisi penyakitnya yang dah teruk...ada berkaitan dengan darah...kini dia ada di Terengganu...".

Jam 9.08pm, aku mendapat sms lagi, "Salam abah. Kawan Kak Ngah dah pulang ke rahmatullah pukul 8.40pm tadi...sedihnya...takutnya...Allah lebih sayangkan dia..."

Semoga roh kawan anakku di tempatkan bersama para solehin dan siddiqin...Amin!

Semalam kami memulakan katibah dengan iftar bersama di Pusat Latihan St Richminds. Kemudian kami menunaikan solat Maghrib secara berjamaah di situ. Selesai solat sunat selepas solat Maghrib, kami menyambung berbuka puasa tetapi kali ini dengan makanan yang lebih berat iaitu nasi goreng bersama telur mata kerbau.

Kemudian kami bertadarus dalam kumpulan kecil sehinggalah masuk waktu Isya'. Setelah menunaikan solat Isya' dan solat sunat selepas Isya', kami dihidangkan dengan ceramah mengenai 'Tanda-tanda Kelunturan Iman dan Cara Mengatasinya' oleh Ustaz Suhaimi Jairi.

Antara tanda-tanda kelemahan iman ialah;

1) Merasa malas untuk menunaikan solat berjamaah di masjid
2) Liat untuk bangun menunaikan solat Subuh di masjid
3) Tidak khusuk dalam solat dan banyak memikirkan kesibukan dunia
4) Meninggalkan amalan-amalan sunat dan solat nawafil
5) Menjauhkan diri dari Al-Quran
6) Seorang muslim terjerumus ke dalam maksiat dan terus tenggelam di dalamnya

Adapun langkah-langkah untuk memperbaharui iman adalah;

1) Duduk bersama atau mengunjungi rumah orang soleh
2) Berkongsi dalam beramal
3) Pengaruh media ke atas dirimu - dengar cd atau bahan internet yang membawa kelembutan hati, syurga dan hari akhirat
4) Muhasabah diri
5) Bersungguh-sungguh beribadah dan mujahadah melawan nafsu
6) Menyeru dan menasihati orang lain

Selesai ceramah kami bergerak ke Pejabat IKRAM untuk berqiamullail. Kami mula tidur jam 11 malam dan bangkit pada pukul 4.30 pagi untuk menunaikan solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, solat sunat taubat, dan solat witir secara bersendirian.

Jam 6 pagi, kami menunaikan solat Subuh dan membaca zikir al-Ma'thurat dan seterusnya bersurai.

Wednesday, April 20, 2011

Rasyid Baru Darjah 4...

Rasyid baru darjah 4. Tetapi banyak kerja rumah yang berat-berat telah aku beri kepercayaan kepadanya. Antara yang paling mudah aku berlepas tangan ialah dari segi mencuci bekas-bekas ikan dan memberi makan kepada ikan-ikan peliharaan kami.

Dalam kolam, aku ada ikan koi, lampam, sepat, ikan kelah, ikan majlis dan 2 ekor kura-kura Rasyid. Dalam pasu pula ada anak-anak ikan laga siam. Memang kami ‘breed’! Cuma, hasilnya tidak banyak seperti di awal peringkat penetasan. Di akhirnya, tinggallah hanya 7-8 ekor anak ikan.

Salah satu tujuan penetasan dibuat ialah takut kita melanggar tabii kehidupan haiwan yang juga memerlukan kehidupan yang berpasang-pasang. Sekurang-kurangnya, kita tidak berlaku zalim kepada haiwan.

Tanpa disuruh, apabila dia melihat pasu atau balang tempat kediaman ikan-ikan laga siam kami kotor, maka dengan senang hati dia mencucinya.

Suatu hari Rasyid menyuarakan kepadaku bahawa dia memasuki pasukan badminton dalam aktiviti ko-kurikulumnya dan ingin menggunakan raket badmintonku. Mempercayainya bahawa dia seorang yang bertanggungjawab, raketku yang berharga RM100 telah ku benarkan untuk digunakannya.

Kelmarin apabila dia balik dari sekolah, sambil menitiskan airmata dia menceritakan bahawa dia telah menyimpankan raket itu di dalam beg sekolahnya dan meninggalkan di tepi kelas sebelum pergi bermain. Bila dia pulang, dia dapati begnya terbuka dan raketku telah patah dan talinya putus.

Dia menceritakan semasa aku sedang makan malam. Aku mengatakan bahawa itulah… abah dah pesan supaya menjaga raket elok-elok kerana harganya mahal. Bagaimana abah hendak bermain badminton malam esok bagi perlawanan sukan antara jabatan UTM?

Dia yang pada awalnya lapar tidak jadi untuk makan tetapi terus naik tidur.

Apabila aku sudah makan, aku naik ke bilik tidurnya. Aku dapati dia sudah tertidur sambil mendakapi raket tersebut. Kesian aku melihatnya…

Aku tidaklah ingin menelan bulat-bulat ceritanya itu. Tetapi untuk mengatakan yang dia yang mematah dan memutuskan tali raket adalah agak mustahil.

Sebaliknya pula, siapalah budak yang nakal dan dengki dengan dia sehingga sanggup merosakkan raket. Sungguh aku tidak mempercayainya.

Pada minggu lepas juga berlaku satu peristiwa semasa Hari Ihtifal SMIH di Dewan Sultan Iskandar, UTM.

Sebelum mereka bertolak ke DSI bersama ibunya, aku telah memberikan kamera digital kepada Rasyid untuk memegangnya. Setelah aku sampai di DSI, aku meminta kamera dari Rasyid. Aku dapati kamera yang ku beli di Sydney Airport telah tersenget lensanya dan tidak boleh beroperasi. Rasyid mengatakan bahawa kamera tersebut terjatuh di dalam kereta semasa berebut dengan Syakir.

Kejap tadi, aku baru mendapat panggilan telefon dari pembaiki kamera mengatakan bahawa kos pembaikian ialah RM100. Semasa hantar kedai minggu lepas, dah dicajnya RM30 untuk kos penghantaran ke KL.

Tujuan aku melakarkan cerita-cerita ini adalah supaya apabila anak-anakku besar, mereka dapat mengimbas kembali dan membacanya semula di blogku sekiranya ia masih wujud.

Kasih sayang seorang ayah kepada anak-anaknya tidak berkurangan walaupun mereka telah melakukan kesalahan dan mungkin di sana ada ibrah yang boleh mereka pelajari apabila mereka membesarkan anak-anak mereka pula…

Isteri Sebagai Pakaian Suami Dan Suami Sebagai Pakaian Isteri

Dihalalkan bagimu pada malam hari puasa bercampur dengan isterimu. Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri, tetapi Dia menerima taubatmu dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah bagimu. (Al-Baqarah; 187)

Isteri kita diumpamakan Allah sebagai pakaian kita. Sunnatullah pakaian ini bakal memanaskan badan kita dikala kita kesejukan. Dia melindungi kita dari panas terik mentari. Tak kurang penting juga dia melindungi kita dari gigitan serangga. Dia mengelak badan kita dari tercemar dengan habuk dan debu.

Pakaian ini juga bakal menampakkan ketrampilan kita. Pakaian ini juga menambahkan tahap kekonfidenan kita.

Tetapi pakaian yang tebal di musim panas cukup merimaskan. Kadang-kadang terasa seolah-olah dari berpakaian, baik tak usah ada pakaian langsung. Ia menambahkan bebanan dan ketidakselesaan kita. Hendak ke mana-mana perlu dibawa tetapi tidak boleh dipakai. Kita merasa seperti ber’lengging’ lebih selesa, aman, dan nyaman sekali.

Mu’az Ibn Jabal (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: Whenever a woman causes annoyance and torture to her husband in this world, his mate from among the houris of Paradise, says to her: May Allah ruin thee, do not cause your husband annoyance, for, he is only thy guest, and will soon leave thee to join us in paradise. (Tirmizi)

Ummu Salamah (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: if a woman dies while her husband was pleased with her, she will enter Paradise. (Tirmizi)

Abu Hurairah (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: “Had it been permissible that a person may prostrate himself before another, I would have ordered that a wife should prostrate herself before her husband”. (Tirmizi)

Sebaliknya pakaian yang nipis di musim dingin membuatkan kita merasa tidak mencukupi. Pakaian yang sedia ada menutupi tubuh badan tidak dirasakan berfungsi sesempurnanya.

Alangkah bertuahnya apabila seseorang yang mempunyai pakaian yang sentiasa menyelesakan. Tidak kira musim; panas, sejuk, berangin, hujan, tetapi pakaian itu sentiasa berfungsi dengan sewajarnya.

Oleh kerana itu, Islam menyuruh kita memilih pasangan berdasarkan 4 kriteria iaitu kerana kecantikannya, keturunan keluarganya, hartanya, dan agamanya. Tetapi sebaik-baik pertimbangan ialah kerana keutuhan dan keteguhan agamanya.

Ibn Umar (RAA) relates that the Holy Prophet (SAW) said: “Everyone of you is a protector and guardian of his immediate charge and is responsible for the action of those persons who are committed to his charge. A ruler is also a steward (and is accountable for those who are put under his charge), a man is a steward in respect of his family members of his house, a woman is a steward in respect of her husband’s house and his children. In short everyone of you is a steward and is accountable for those who are placed under his care. (Bukhari & Muslim)

Sunday, April 17, 2011

Interlok: Novel Kontroversial...

Interlok, karya Abdullah Hussain, salah seorang Sasterawan Negara telah menjadi polimik parti politik dan NGO suatu ketika dulu telah saya baca...

Saya tidak suka menyatakan sokongan atau bangkangan kepada isu ini tanpa sendiri membaca dan memahami novel tersebut. Seperti novel Abdullah Hussain yang lain, yang pernah saya baca iaitu Imam, Interlok juga tidak kurang hebat jalan ceritanya.

Apabila mula membacanya, susah untuk kita berhenti. Novel ini mengisahkan tiga keluarga secara berasingan. Bab pertama mengisahkan keluarga Musa, bagaimana dia telah menjadi proksi kepada Cina Panjang (Cing Huat) untuk membeli tanah-tanah melayu. Akhirnya, apabila Musa meninggal dunia, isteri (Mak Limah) dan anaknya Seman dihalau keluar dari tanah dan rumah yang didiaminya.

Bab kedua menceritakan keluarga Cing Huat. Susah payah ayahnya (Kim Lock) dan dia (Cing Huat) yang masih kecil datang ke Tanah Melayu untuk mencari kekayaan. Pengorbanan yang bukan sedikit, yang mana Cing Huat dan ayahnya telah meninggalkan ibunya, menaiki kapal untuk ke Singapura. Perpisahan ini merupakan perpisahan untuk selama-lamanya kerana mereka tidak kembali ke tanah air mereka lagi selepas itu.

Pahit getir dan susah payah mereka akhirnya berbaloi setelah mereka dapat membuka kedai runcit.

Bab ketiga mengisahkan tentang keluarga Maniam. Maniam datang berseorangan dari India dengan menaiki kapal ke Pulau Pinang. Tujuannya sama iaitu untuk mencari kekayaan buat dia dan isterinya yang ditinggalkan di India. Kesusahan Maniam mencari pekerjaan dari satu ladang getah ke satu ladang getah digambarkan sehingga dia berjaya menjadi tandil. Dan seterusnya bagaimana kawan-kawannya yang datang dari kampung halaman di India telah membuat fitnah terhadap Maniam...

Di bab yang akhir, barulah ketiga-tiga keluarga ini diberi gambaran menyeluruh. Asimilasi mereka dalam masyarakat, kehidupan saling bantu membantu tetapi masih mempunyai perasaan curiga, penentangan terhadap Malayan Union melalui persatuan kaum masing-masing, dan sebagainya.

Sekiranya kita hanya membaca 3 bab yang pertama, ia hanya menceritakan kehidupan 3 keluarga tersebut dan seolah-olah tiada kaitan langsung di antara satu sama lain.

Komen saya;

Interlok yang ditulis sekitar tahun 1970an sudah pasti berbeza dengan Imam yang ditulis pada tahun 1990an. Apabila seseorang penulis itu semakin tua maka banyak elemen ketuhanan atau kerohanian disentuh, seperti apa yang terdapat dalam Imam.

Interlok mempunyai banyak pengajaran untuk ditimba dan bukan untuk ditiru pelakuan watak-watak yang negatif. Abdullah sebagai Sasterawan Negara yang ke-8 cuba memperlihatkan budaya kehidupan masyarakat sesebuah bangsa yang sebenar. Sebagai contoh, Kim Lock yang pada mulanya begitu rajin bekerja dan akhirnya setelah menjadi kaya, dia mula menjadi tahi candu bersama perempuan simpanannya dan menyerahkan urusan perniagaan kepada anaknya, Cing Huat. Candu dan perempuan simpanan mungkin suatu perkara yang sinonim kepada masyarakat Cina.

Abdullah juga menggambarkan kegigihan kaum India bekerja di estet getah tetapi terjadi permusuhan sesama mereka sehingga terselit adegan rogol dan bunuh diri. Ini juga mungkin satu perkara yang biasa di kalangan masyarakat India sepertimana kita tonton di dalam filem Hindustan!

Bangsa Melayu pula digambarkan sebagai orang yang suka bergaya dan hidup mewah walaupun kehidupannya yang sebenar adalah papa. Melayu juga sanggup menjual tanah rezab Melayu dengan menjadi proksi kepada bangsa asing.

Perkara atau peristiwa yang cuba ditonjolkan oleh Abdullah ialah bagaimana masyarakat berbilang bangsa bantu membantu antara satu sama lain. Contohnya, Seman yang menyembunyikan Poh Eng, anak perempuan Cing Huat dari menjadi mangsa askar Jepun. Seman telah meminta tolong Maniam untuk menjaga Poh Eng dan maknya, Mak Limah. Maniam pula pernah terhutang budi kepada ayah Seman, Musa, pernah menyelamatkan nyawanya.

Di akhir cerita, ditonjolkan bagaimana Poh Eng menyelamatkan Maniam dari ditembak oleh Suppiah. Begitu juga Yew Seng, anak lelaki Cing Huat yang tersalah jalan mengikuti gerakan komunis akhirnya berpatah ke pangkal jalan. Yew Seng yang terkena tembakan juga telah menerima kaki kayu sumbangan dari masyarakat Melayu, Cina, dan India walaupun bapanya mampu untuk membelinya sendiri.

Pada saya, novel ini amat menarik dan wajar menjadi buku teks pelajar sekolah menengah. Walaupun ada sesetengah cerita melibatkan perkara negatif seperti candu, perempuan simpanan, rogol, dendam, panggilan kasta paria, meninggalkan isteri tanpa nafkah dan sebagainya tetapi ia tidak seteruk pendedahan yang anak-anak kita dapat dalam akhbar dan TV saban hari.

Kalau tidak silap saya, hanya 3 kali perkataan paria digunakan. Dan kalaulah itu hakikat kepercayaan orang India terhadap sistem kasta, apa salahnya perkataan itu digunakan? Berbanding dengan agama Islam yang menyamaratakan manusia di seluruh pelusuk dunia tanpa mengira bangsa dan warna kulit kecuali mereka yang bertaqwa, yang dikira paling tinggi dan paling dekat dengan Tuhan.

Kalau kita bandingkan apa yang terpapar dalam akhbar sensasi yang menonjolkan isu liwat, penayangan video lucah, pembuangan anak, dan sebagainya, apa yang tertera dalam novel ini jauh lebih ‘decent’.

Friday, April 8, 2011

Tambahan Saham Bank Rakyat Dibuka...

Saya merayu kepada orang-orang Islam supaya jangan melepaskan peluang keemasan ini! Saham Bank Rakyat sudah lama ditutup tetapi kini dibuka semula tetapi had maksimum saham yang boleh dibeli bagi setiap individu ialah hanya RM500.

Kepada yang sudah ada saham, minta tolong tambah RM500 lagi. Kepada yang belum membeli saham Bank Rakyat, minta tolong beli RM500 sekarang!

Saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan untuk membeli saham Bank Rakyat ini kerana beberapa sebab. Pertama, ia adalah mematuhi hukum syariah (syariah compliance) dan kedua, keuntungannya setiap tahun melebihi dari mana-mana bank dan Tabung Haji.

Saya membeli syer Bank Rakyat pada tahun 2001 kerana ingin membuat 'refinance' rumah yang saya beli menerusi Bank Standard Chartered. Pada masa itu, Bank Rakyat meletakkan syarat sesiapa yang ingin membuat pinjaman dengannya maka minima saham sebanyak RM500 perlu dibeli.

Pada tahun 2002, saya menambah lagi saham sebanyak RM6,000. Dividen pada tahun 2002 ialah sebanyak 10%. Pada tahun berikutnya, saya menambahkan saham sebanyak RM1,200 lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM8,200. Dividen pada tahun 2003 ialah 15% (10% dividen tunai dan 5% dividen syer).

Dan saham terakhir yang saya boleh tambah sebelum ia ditutup sepenuhnya ialah pada tahun 2005. Itupun saya terpaksa 'queue' dengan mengisi borang dan memaklumkan berapa banyak kita hendak menambahkan saham. Dalam borang itu, saya menyatakan bahawa saya ingin menambah sebanyak RM5,000 tetapi apabila permohonan saya diluluskan (saya dipanggil menerusi telefon), wang yang saya mampu cari, hanyalah RM1,000. Jadi 'instead of' memasukkan RM5K, saya hanya memasukkan RM1K saja.

Pada tahun 2004, 2005, dan 2006, dividennya sama iaitu 15%. Pada tahun 2007 dan 2008, dividennya meningkat kepada 20%. Kemudian, turun semula kepada 15% pada tahun 2009 dan 2010.

Saya sangat-sangat berharap agar ramai orang-orang Islam merebut peluang ini. Jangan biarkan orang bukan Islam sahaja menambahkan saham mereka. Dan saya pasti, jika tiada had diberikan maka saham-saham ini akan habis dibeli oleh mereka.

Sungguhpun begitu, saya juga ingin membuat saranan kepada tuan-tuan dan puan-puan supaya menambahkan juga saham akhirat kita. Kita tidak selama-lamanya akan berada di sini. Kita akan berhijrah ke tempat asal kita yang kekal abadi.

Oleh itu, jangan dilupa untuk membeli saham-saham akhirat kita, antaranya ialah DANA HIDAYAH yang kita boleh membeli sahamnya. Bangunan sekolah agama ini masih memerlukan sumbangan! Bangunan yang menelan belanja RM1.8 juta masih dalam pembinaan. Sekolah Rendah dan Menengah Islam Hidayah ini tidak mendapat apa-apa peruntukan dari kerajaan.

Marilah kita sama-sama meningkatkan saham dunia dan akhirat kita!!!

Thursday, April 7, 2011

Hadis Ke 42 Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. katanya: "Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala berfirman: "Wahai anak Adam (wahai manusia), sesungguhnya selagi kamu berdoa dan berharap kepadaKu, Aku pasti mengampunkan kamu atas apa sahaja dosa yang lahir daripada kamu. Aku juga tidak peduli (sama ada ia sedikit atau banyak, kecil atau besar). Wahai anak Adam, kalaulah dosa-dosamu sampai ke awan di langit, kemudian kamu meminta keampunanKu, pasti Aku mengampunkan kamu. Wahai anak Adam, jika kamu datang kepadaKu dengan dosa-dosa yang hampir memenuhi bumi, kemudian kamu menemuiKu dalam keadaan kamu tidak menyengutukan sesuatu denganKu, pasti Aku datang kepadamu dengan keampunan yang hampir memenuhi bumi itu." (at-Tirmizi)

Ada 3 sebab-sebab pengampunan;

1) Doa Beserta Harapan iaitu doa yang tulus ikhlas, penuh rasa penghambaan kepadaNya, dan pengharapan yang tiada lagi selain dariNya.

2) Memohon Keampunan iaitu sentiasa beristighfar kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri (yang maksum) beristighfar kepada Allah lebih 70 kali dalam sehari, dan dalam riwayat yang lain lebih 100 kali.

3) Tauhid ialah sebab yang terbesar kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyengutukan sesuatu denganNya.


Pengampunan Allah SWT adalah tersangat meluas.

Dan Doa Penghulu Istighfar yang selalu kita baca dalam al-Ma'thurat (Allah humma an tarabbi, laa ila hailla anta, khalaqtani, wa ana'abduk, wa ana'ala'ahdika wa wa'dika mastato'tu, A'uzubikamin syarrima sona'tu, abu ulaka bini'matika 'alayya, wa abuu ubizanbi, farg firli, fain nahu laa yagh firuz zunuba illa anta) adalah bentuk istighfar yang terbaik.

Monday, April 4, 2011

Buat Apa Saja...

Buat apa saja…
Janji aku masih berkuasa
Bunuh karakter mereka.
Fitnah keluarga mereka.
Aib kaum kerabat mereka.

Bantuan apa diperlukan?

Media?
Aku buka seluas-luasnya…

Keselamatan?
Tayanglah di hotel mana sekalipun, akan aku pastikan tiada siapa yang mengganggu…

Kewangan?
Sebut aje berapa juta

Pelakon tambahan?
Panggil aje siapa dia… akan aku beri saguhati sebanyak mana

Dimana moral kita?
Dimana akhlak kita?
Dimana maruah kita?

Apa cakap pasal moral jika kita mau terus berkuasa…
Apa cakap pasal akhlak jika tak mau masa depan gelap…
Apa cakap pasal maruah jika kita masih praktis rasuah…

Kita cakap tentang moral hanya untuk mereka
Kita cakap pasal akhlak hanya di depan, di belakang lain cerita…
Kita cakap pasal maruah bila kena batang hidung depa…

Buat apa saja…
Untuk kita terus berkuasa…
Siapa tak ingin kuasa dia gila
Siapa nak ganti kita dia gila kuasa

Siapa boleh ganti kita tadbir negara?
Tiada siapa…

Kalau ada kita reka cerita
Cina akan berkuasa…
Kita cakap pada Melayu, Cina mahu rampas kuasa
Kita cakap sama Cina, kita beri sama rata
Kita beritau sama India; India, Cina, dan Melayu sama saja

Kita 1 Malaysia
Satu bangsa, satu negara
Dengan begitu… Kita sentiasa menerajui negara.