Sunday, April 3, 2011

Daurah LU Prof Madya Tholuddin Mat Lazim Di Kebun


Liqa' Usari (LU) kami di bawah naqib Prof Madya Dr Tholuddin Mat Lazim mengandungi 7 orang ahli. Di atas keprihatinan kami untuk menghabiskan silibus dan mencuba sedaya upaya untuk berada setanding dengan LU lain maka kami telah mengadakan Daurah di peringkat usrah kami.

Kami bertolak semalam sekitar jam 9.30 pagi ke kebun Prof Madya Dr Razali Ismail. Kami sebuah kereta, iaitu akhi Tholuddin, Hj Ahmadon Bakri, PM Dr Mohammad Wijayanuddin Ali dan saya sampai di sana sekitar jam 11 pagi. Dr Hishamuddin Alham dan PM Dr Mat Hussin Yunan tidak dapat bersama kami kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Di dalam perjalanan kami sempat berhenti 'breakfast' di Pekan Nenas. Setibanya di kebun, kami dapati Dr Razali sudah berada di situ, dan sudah basah kuyup berpeluh memesin rumput di persekitaran bangsalnya.

Sebenarnya, inilah kali pertama kami sampai di sini. Dr Razali membuat 'orientasi kebun' kepada kami. Bermula dari bawah sehinggalah ke atas puncak bukit kebunnya.

Subhanallah, panorama dari atas puncak bukit sungguh menawan hati, melihat ke bawah ke kawasan peranginan yang sedang dalam pembinaan oleh Majlis Perbandaran Kulai. Di sekelilingnya, kelihatan deretan bukit, banjaran Gunung Pulai.

Selepas orientasi kebun, kami berjalan ke kawasan air terjun Gunung Pulai 2 untuk membasahi tekak di warung. Air Keladi ais bersama goreng pisang dan jemput-jemput sungguh menyelerakan!

Kemudian kami bergerak pulang ke bangsal untuk mandi dan solat Zohor. Selesai solat Zohor secara berjamaah, akhi Ahmadon menyampaikan hadis yang ke 40, dari Himpunan Ilmu dan Hikmah, hadis huraian Imam Ibnu Rajab al-Hanbali.

Pembentangan secara talaqi ini berakhir sehingga masuk waktu asar. Selesai solat Asar secara berjamaah, kami keluar dari kebun dan menuju ke jalan besar untuk meninjau buah durian di sepanjang jalan. Kami memakan lebih kurang 4 biji durian. Itupun kerana ada di kalangan kami yang menghidapi kencing manis...

Kemudian kami berangkat balik ke kebun tetapi menerusi jalan lain. Kami sempat singgah di kebun sahabat kami akhi Johari. Di kebun beliau, ada bermacam-macam pemeliharaan; ada ikan keli, ada ayam kampung, dan ada juga lembu. Kami menyembelih 2 ekor ayam kampung untuk dibuat makan malam.

Di kebun, kami menunaikan solat maghrib secara berjamaah dan membaca al-Ma'thurat. Selesai al-ma'thurat, akhi Tholuddin memasak 2 ekor ayam kampung yang telah kami beli tadi. Sungguh enak dan lazat, ayam kampung 'fresh' dimasak kicap, dan separuh lagi di goreng tawar untuk cicah sambal kicap, dimakan dengan nasi panas. Sekilo beras yang ditanak, hampir habis dimakan oleh kami berlima.

Kemudian kami menunaikan solat Isya dan disusuli dengan pembentangan hadis ke 41 oleh akhi Tholuddin. Sesi pembentangan selesai hampir jam 12 tengahmalam.

Pukul 5 pagi tadi, kami bangun untuk solat tahjjud. Kemudian disusuli dengan solat Subuh dan bacaan al-Ma'thurat.

Sekarang giliran saya pula untuk membentangkan Hadis yang ke 42, berkaitan dengan doa dan permohonan keampunan kepada Allah SWT.

Walau bagaimanapun pembentangan hanya berjaya dibuat separuh sahaja kerana al-akh naqib kami terpaksa menghadiri Majlis Nuqaba pada jam 9 pagi...

Oleh itu, kami bergerak pulang sekitar jam 8 pagi tadi.

Kesimpulannya, bukan hanya bahan tarbiyyah yang dapat kami habiskan tetapi suasana ukhuwwah terjalin lebih erat apabila kita 'travel' bersama, masak dan makan bersama, tidur, dan menjalankan segala aktiviti secara jamaie...

No comments:

Post a Comment