Semua orang Islam yang berwawasan akan memikirkan tentang masa depan kehidupan mereka melangkaui kehidupan di dunia ini. Kehidupan yang kekal buat selama-lamanya. Kehidupan yang tiada lagi kematian selepas itu...
'Preparation's got to be done!' Bukan calang-calang kehidupan di sana kerana untung nasib baik atau buruk adalah bersandarkan kepada persediaan kita di sini. Di sana tiada lagi pahala dan dosa, tiada lagi susah payah penat jerih, kais pagi makan pagi kais petang makan petang tetapi semuanya berpandukan amal kita di alam kehidupan sekarang.
Di sana tidak perlu lagi kita mencari wang untuk menyara kehidupan, membeli lot-lot tanah untuk membuat rumah, atau menukar ganti pakaian yang sudah lusuh. Amat malanglah bagi mereka yang tidak membekalkan diri mereka!
Penyediaan bekal juga boleh dibuat melalui anak yang soleh yang selalu mendoakan untuk kedua ibubapa mereka, sedekah jariah, dan penyampaian ilmu yang bermanfaat kepada manusia sejagat...
Dalam memikirkan bekalan ini, aku mengambil inisiatif untuk menjalankan satu projek iaitu Projek al-Ma'thurat IKRAM Johor.
Harapan yang menggunung ialah apabila mereka membaca zikir dan doa al-Ma'thurat yang kita sediakan ini di bawah wadah IKRAM maka insyaAllah pahalanya juga turut mengalir kepada kami dan mereka yang menyumbang ke arah merealisasikan projek yang suci ini.
Subhanallah... Begitu ramai yang respons yang ingin menyumbang setelah aku membuat pengiklanan mengenainya dalam 'mailing list' IKRAM semalam. Hampir RM3,000 berjaya dikumpulkan setakat ini.
Ada yang menyumbang dengan niat sedekah jariah untuk arwah anaknya, ada yang menyumbang dengan niat sedekah buat arwah ibubapa mereka, dan yang pasti, ada juga yang menyumbang untuk bekalan hidupnya sendiri di sana nanti.
Ada di antara penyumbang telah memohon untuk meletakkan al-Ma'thurat IKRAM Johor ini di lokasi masjid di mana mereka menjadi AJKnya. Bukan hanya di Johor, malah sehingga ke Kelantan! Maha Suci Allah, mudah-mudahan usaha kami ini mendapat barakah dan rahmat dariMu...
Projek al-Ma'thurat IKRAM Johor mendapat khidmat al-Fadhil Ustaz Fathul yang akan mencetaknya sebanyak 5,000 naskah dengan kos RM1.50 senaskah. Oleh itu, kos keseluruhan projek ini ialah RM7,500.
InsyaAllah, apabila cetakan pertama sebanyak 5,000 ini habis, kita akan mengulang cetaknya lagi...
Apa yang penting ialah sedikit usaha kita yang kerdil ini, diberikan keikhlasan sepenuhnya oleh Allah SWT, dan insyaAllah ia akan menjadi bekalan untuk kita di yaumul qiamah! InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment