Malam tadi semasa kami ahli IKRAM JBT sedang berkatibah, aku mendapat sms pukul 8.27pm dari anakanda Wan 'Atikah yang berada di Pusat Asasi UIAM Nilai berbunyi,
"Salam abah. Doakan kawan Kak Ngah yang kini sedang nazak di hospital sebab kondisi penyakitnya yang dah teruk...ada berkaitan dengan darah...kini dia ada di Terengganu...".
Jam 9.08pm, aku mendapat sms lagi, "Salam abah. Kawan Kak Ngah dah pulang ke rahmatullah pukul 8.40pm tadi...sedihnya...takutnya...Allah lebih sayangkan dia..."
Semoga roh kawan anakku di tempatkan bersama para solehin dan siddiqin...Amin!
Semalam kami memulakan katibah dengan iftar bersama di Pusat Latihan St Richminds. Kemudian kami menunaikan solat Maghrib secara berjamaah di situ. Selesai solat sunat selepas solat Maghrib, kami menyambung berbuka puasa tetapi kali ini dengan makanan yang lebih berat iaitu nasi goreng bersama telur mata kerbau.
Kemudian kami bertadarus dalam kumpulan kecil sehinggalah masuk waktu Isya'. Setelah menunaikan solat Isya' dan solat sunat selepas Isya', kami dihidangkan dengan ceramah mengenai 'Tanda-tanda Kelunturan Iman dan Cara Mengatasinya' oleh Ustaz Suhaimi Jairi.
Antara tanda-tanda kelemahan iman ialah;
1) Merasa malas untuk menunaikan solat berjamaah di masjid
2) Liat untuk bangun menunaikan solat Subuh di masjid
3) Tidak khusuk dalam solat dan banyak memikirkan kesibukan dunia
4) Meninggalkan amalan-amalan sunat dan solat nawafil
5) Menjauhkan diri dari Al-Quran
6) Seorang muslim terjerumus ke dalam maksiat dan terus tenggelam di dalamnya
Adapun langkah-langkah untuk memperbaharui iman adalah;
1) Duduk bersama atau mengunjungi rumah orang soleh
2) Berkongsi dalam beramal
3) Pengaruh media ke atas dirimu - dengar cd atau bahan internet yang membawa kelembutan hati, syurga dan hari akhirat
4) Muhasabah diri
5) Bersungguh-sungguh beribadah dan mujahadah melawan nafsu
6) Menyeru dan menasihati orang lain
Selesai ceramah kami bergerak ke Pejabat IKRAM untuk berqiamullail. Kami mula tidur jam 11 malam dan bangkit pada pukul 4.30 pagi untuk menunaikan solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, solat sunat taubat, dan solat witir secara bersendirian.
Jam 6 pagi, kami menunaikan solat Subuh dan membaca zikir al-Ma'thurat dan seterusnya bersurai.
No comments:
Post a Comment