Rasyid baru darjah 4. Tetapi banyak kerja rumah yang berat-berat telah aku beri kepercayaan kepadanya. Antara yang paling mudah aku berlepas tangan ialah dari segi mencuci bekas-bekas ikan dan memberi makan kepada ikan-ikan peliharaan kami.
Dalam kolam, aku ada ikan koi, lampam, sepat, ikan kelah, ikan majlis dan 2 ekor kura-kura Rasyid. Dalam pasu pula ada anak-anak ikan laga siam. Memang kami ‘breed’! Cuma, hasilnya tidak banyak seperti di awal peringkat penetasan. Di akhirnya, tinggallah hanya 7-8 ekor anak ikan.
Salah satu tujuan penetasan dibuat ialah takut kita melanggar tabii kehidupan haiwan yang juga memerlukan kehidupan yang berpasang-pasang. Sekurang-kurangnya, kita tidak berlaku zalim kepada haiwan.
Tanpa disuruh, apabila dia melihat pasu atau balang tempat kediaman ikan-ikan laga siam kami kotor, maka dengan senang hati dia mencucinya.
Suatu hari Rasyid menyuarakan kepadaku bahawa dia memasuki pasukan badminton dalam aktiviti ko-kurikulumnya dan ingin menggunakan raket badmintonku. Mempercayainya bahawa dia seorang yang bertanggungjawab, raketku yang berharga RM100 telah ku benarkan untuk digunakannya.
Kelmarin apabila dia balik dari sekolah, sambil menitiskan airmata dia menceritakan bahawa dia telah menyimpankan raket itu di dalam beg sekolahnya dan meninggalkan di tepi kelas sebelum pergi bermain. Bila dia pulang, dia dapati begnya terbuka dan raketku telah patah dan talinya putus.
Dia menceritakan semasa aku sedang makan malam. Aku mengatakan bahawa itulah… abah dah pesan supaya menjaga raket elok-elok kerana harganya mahal. Bagaimana abah hendak bermain badminton malam esok bagi perlawanan sukan antara jabatan UTM?
Dia yang pada awalnya lapar tidak jadi untuk makan tetapi terus naik tidur.
Apabila aku sudah makan, aku naik ke bilik tidurnya. Aku dapati dia sudah tertidur sambil mendakapi raket tersebut. Kesian aku melihatnya…
Aku tidaklah ingin menelan bulat-bulat ceritanya itu. Tetapi untuk mengatakan yang dia yang mematah dan memutuskan tali raket adalah agak mustahil.
Sebaliknya pula, siapalah budak yang nakal dan dengki dengan dia sehingga sanggup merosakkan raket. Sungguh aku tidak mempercayainya.
Pada minggu lepas juga berlaku satu peristiwa semasa Hari Ihtifal SMIH di Dewan Sultan Iskandar, UTM.
Sebelum mereka bertolak ke DSI bersama ibunya, aku telah memberikan kamera digital kepada Rasyid untuk memegangnya. Setelah aku sampai di DSI, aku meminta kamera dari Rasyid. Aku dapati kamera yang ku beli di Sydney Airport telah tersenget lensanya dan tidak boleh beroperasi. Rasyid mengatakan bahawa kamera tersebut terjatuh di dalam kereta semasa berebut dengan Syakir.
Kejap tadi, aku baru mendapat panggilan telefon dari pembaiki kamera mengatakan bahawa kos pembaikian ialah RM100. Semasa hantar kedai minggu lepas, dah dicajnya RM30 untuk kos penghantaran ke KL.
Tujuan aku melakarkan cerita-cerita ini adalah supaya apabila anak-anakku besar, mereka dapat mengimbas kembali dan membacanya semula di blogku sekiranya ia masih wujud.
Kasih sayang seorang ayah kepada anak-anaknya tidak berkurangan walaupun mereka telah melakukan kesalahan dan mungkin di sana ada ibrah yang boleh mereka pelajari apabila mereka membesarkan anak-anak mereka pula…
pasti abah! pastinya kami anakmu2 menjadi pembaca setia blog abah...dari sini kami mmendengar pandangan dan luahan hati seorang ayah...sayang abah!!!sayang rasyid!!!
ReplyDelete