Thursday, June 27, 2013

Red Warriors VS JDT

Pada hari Sabtu ini, 29 Jun, akan berlangsung satu pertarungan sengit antara 2 buah pasukan dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Antara Red Warriors dengan Johor Darul Takzim (JDT), yang mana pilihan hati? Satu soalan yang sukar untuk ku jawab...

Aku berasal dari Kelantan tetapi sekarang sudah bermastautin di Johor, sudah hampir 20 tahun. Aku di sini mencari rezeki dan hanya setahun sekali pulang ke kampung halaman.

Kalau ikutkan hati, perasaan masih bertaut dengan tempat tumpah darahku tetapi di negeri Johor Darul Takzim inilah lahirnya 6 orang zuriatku. Ada di kalangan anak-anakku, mereka sudah tidak mengaku orang Kelantan dan sebaliknya bertegas mengatakan dia orang Johor!

Walau apapun, kemenangan bagi mana-mana pihak adalah kemenangan buatku!

Padaku, dalam acara sukan inilah kita memupuk semangat kesukanan yang tinggi disamping semangat-semangat yang lain seperti semangat juang yang tinggi, semangat setia kawan, dan sebagainya. Kita bersukan bukan untuk bergaduh tetapi untuk merapatkan persahabatan diantara sesama pemain dan penyokong, disamping bermusafir atau bertandang ke tempat lawan untuk melihat budaya dan seni yang berbeda dari satu tempat dengan tempat yang lain.

Kita mempunyai adab-adab ketimuran yang penuh santun, saling hormat menghormati dan bertimbangrasa.

Kita juga mendengar titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tentang Malaysia bergerak menuju ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020 di dalam pembukaan sidang Dewan Rakyat semalam.

Semua orang bercakap tentang negara maju. Rata-rata ramai yang faham tentang negara maju hanyalah mengenai peningkatan pendapatan negara kasar per kapita kepada US$15,000 menjelang 2020.

Apa yang dinyatakan tentang cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam menjadi negara maju iaitu 9 cabaran ke semuanya, tiada siapa kisah!

Cuba kita tengok cabaran yang ke-4 yang berbunyi, "Kita akan menjadi masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong
oleh tahap etika paling tinggi."

Begitulah bunyinya salah satu cabaran Wawasan 2020 yang dilancarkan pada tahun 1991 oleh mantan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bermoral dan beretikakah apabila tiket sudah habis dijual maka kita menendang pintu tempat penjualan tiket? Itu belum lagi kita melihat kelakuan di dalam stadium.

Kepada pihak yang lain pula, mungkin kita juga boleh bertanya, "Wajarkah kita menempatkan askar bersenjata di dalam stadium? Tidakkah ada pasukan keselamatan iaitu pihak polis yang sepatutnya melihat kepada ketenteraman awam? Bagaimana pihak polis boleh membenarkan penempatan askar bersenjata tersebut? Tidak cukupkah bilangan anggota polis untuk berada di dalam stadium bagi mengawal keadaan?

Adakah kita mengadakan perlawanan bola antara banduan atau penyokong-penyokong pasukan terdiri dari para banduan yang tidak memahami peraturan yang memerlukan pasukan askar bersenjata mengawasinya?

Perbuatan yang tidak munasabah ini kadang-kadang dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak matang dan membuat masyarakat marah. Dan ini akan membuahkan bibit-bibit dendam dan mengakibat pergaduhan akan terus berlaku.

Pada saya, semua pihak perlu bersifat matang dan waras maka barulah Cabaran Ke-4 dari Wawasan 2020 dapat dicapai. Majulah sukan untuk negara!

Wednesday, June 26, 2013

Membina Rumah...

Setiap manusia akan cuba memenuhi keperluan asas atau mat salleh kata 'basic needs'.

'Basic needs' sekarang sudah tidak sama dengan 'basic needs' zaman dahulu. Kalau dulu ia hanya merangkumi 3 perkara; makanan, tempat tinggal, dan pakaian.

Sekarang kenderaan juga merupakan keperluan asas! Kalau tidak ia akan menjadi kekangan untuk kita keluar bekerja. Bagi sesetengah orang, sebuah kenderaan masih tidak mencukupi dan tidak memenuhi keperluan asas... perlu ada 2 atau 3 untuk keperluan isteri dan anak-anak keluar ke pejabat.

Begitu juga dengan telefon. Kalau dulu, mempunyai telefon di rumah adalah salah satu petunjuk bahawa famili tersebut adalah sebuah 'well-off family'. Tetapi sekarang 'almost all' mempunyai 'hand phone' malah ramai anak muda mempunyai telefon pintar!

Kita tidak bercakap tentang jenis kenderaan atau jenis telefon yang dipakai. Apabila kita mula melihat jenama dan sebagainya maka kita sudah berubah konsep daripada 'memenuhi keperluan kepada memenuhi kemahuan'.

Pun begitu, sesetengah orang memang memerlukan telefon pintar dan kereta besar kerana keperluan 'nature of business' yang mereka pegang. Jawatan yang tinggi seperti CEO, menjadikan mereka tidak layak untuk berkereta Kancil dan bertelefon NOKIA 3310.

Bagi sesetengah orang pula, walaupun mereka diperlukan untuk memakai atau menggunakan peralatan atau kenderaan yang 'sophisticated' tetapi mereka memilih barangan yang kita panggil sebagai 'middle to lower end' berbanding dengan barangan yang berada di tahap 'higher end'. Maksudnya, dari skala 1 hingga 10, mereka hanya memakai barangan berjenama di kategori 5 atau pertengahan sahaja.

Walau bagaimanapun kadang-kadang kemahuan atau citarasa kita berubah...

Saya mempunyai seorang kawan yang sama-sama belajar di luar negeri pada suatu masa dahulu. Dia pernah berkata kepada saya bahawa 'not in a million years that he will take home a mercedes' atau seumpamanya. Mungkin kerana pada masa itu perasaan tawadu'nya begitu tinggi dan ingin menjadi manusia zuhud. Tapi akhirnya sebuah 'mercedes' diisikan ke dalam kontena bersama barang-barang lain dihantar pulang ke Malaysia.

Seorang kawan saya lagi, beliau hanya menggunakan sebuah motosikal dan sebuah kereta kancil sahaja dan dia bekerja sebagai guru. Katanya, dia tidak suka melabur kepada sesuatu yang nilai susutnya tinggi seperti sebuah kereta. Lebih baik dia membeli tanah atau rumah yang mana harganya semakin naik dan boleh dikatakan tiada nilai susut. Tetapi apabila saya berjumpa beliau pada tahun lepas, saya melihat beliau telah memakai kereta Perdana! Mungkin juga kerana beliau telah mempunyai 2 buah rumah maka pegangan hidup atau falsafah kehidupan mula berubah.

Saya juga telah membeli sebuah rumah teres yang berada di hujung atau kita panggil 'corner lot'. Rumah teres 2 tingkat yang mempunyai 4 bilik tidur dan 4 bilik air itu, saya tambah lagi dengan membuat sedikit 'renovation' dengan tambahan 4 bilik tidur dan 1 bilik solat.

Kalau difikirkan secara waras, perlukah rumah dengan bilik sebanyak itu walaupun saya mempunyai 9 orang anak? Adakah mereka selama-lamanya akan bersama saya? Akhirnya nanti, saya pasti jika dipanjangkan usia hanya saya dan isteri yang akan menginap di sana.

Itulah kehidupan yang mana kita akan mencuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluan atau keselesaan anak-anak. Biar kita bersusah payah mengikat perut demi menyediakan pelbagai kemudahan untuk zuriat kita.

Tetapi apakah kita juga bersusah payah untuk menyediakan keperluan dan keselesaan kepada diri dan anak-anak kita di kehidupan yang seterusnya iaitu kehidupan yang sudah tidak ada kematian?


Renung-renungkanlah wahai diri ini...

Monday, June 24, 2013

Berpesan-Pesan Sesama Ahli Jamaah...

Betapa manisnya terasa ukhuwah sesama ahli jamaah apabila sahabat bertanya khabar...

Biarpun dia tidak mampu membantu tetapi sekadar bertanya khabar dengan ikhlas itu sudah cukup memberi aku semangat. Semangat untuk menghabiskan pembaikian kepada penulisan tesisku.

Pada petang sabtu lepas, aku menghadiri mesyuarat agung Koperasi Akrab Johor Berhad. Daripada ahli seramai 80 orang lebih, hanya 20 orang yang hadir. Ia sudah mencukupi kuorum bagi menjalani mesyuarat agung buat julung-julung kali bagi Koperasi Akrab.

Seorang sahabat yang bersalaman denganku bertanyakan tentang tesis PhDku. Aku dengan jujur memaklumkan bahawa belum ada waktu untuk membuat pembetulan. Baru aje habis memeriksa kertas 'final exam' dan membaca Projek Sarjana Muda (PSM) semester ini.

InsyaAllah akan aku habiskan segala pembetulan semasa cuti semester ini.

Walaupun kata orang dah rasa seperti nak muntah untuk membaca dan membetulkan tesis ini tetapi akan ku tetapkan hati ini dan ku pohon padaMu ya Allah untuk memberikan daku kekuatan. Sesungguhnya, Engkaulah yang memberi kekuatan dan kejayaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki.

InsyaAllah dengan kejayaan mendapat PhD nanti, ada sumbangan yang dapat ku berikan kepada agamaMu ya Allah. Ya Allah, tabahkan hatiku, kuatkan semangatku, cekalkan kemahuanku, dan curahkan idea yang berterusan.

Dengan mendapat PhD juga, aku mengharapkan ia memberi suntikan dan dorongan kepada anak-anak untuk terus menimba ilmu.

Ilmu Allah maha luas dan tak mampu untuk kita kuasai ke semuanya.

Katakanlah (Muhammad), "Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (al-Kahfi; 109)

Saturday, June 22, 2013

Koperasi AKRAB Untuk Ahli IKRAM Johor

Koperasi adalah sebuah institusi yang ditubuhkan untuk membantu masyarakat. Banyak bentuk kebajikan yang boleh diberikan sekiranya koperasi itu benar-benar hidup.

Koperasi di Jepun banyak menubuhkan pasaraya dan harga barangan yang murah di pasaraya tersebut dapat dirasai dan dinikmati oleh ahli-ahlinya.

Hari ini Koperasi AKRAB akan mengadakan mesyuarat agung. Koperasi AKRAB dikhususkan kepada ahli-ahli IKRAM Johor untuk menyertainya.

Di peringkat nasional, ahli IKRAM sudah mempunyai KIMB, iaitu Koperasi Islah Malaysia Berhad.

Sebagai sebuah badan NGO, pertubuhan IKRAM sewajarnya mempunyai satu sistem ekonomi yang kukuh. Banyak perkara berkaitan kebajikan masyarakat dapat dilaksanakan jika IKRAM mempunyai kewangan yang baik.

Ini bermaksud bahawa kebajikan ahli akan dapat dipenuhi disamping kebajikan masyarakat luar akan dapat dilipatgandakan.

Untuk membuat kebajikan memerlukan kewangan. Sebuah NGO yang mantap sudah pasti mempunyai kewangan yang stabil.

Kita mengetahui bahawa setiap pendapatan yang diperolehi mempunyai hak masing-masing. Sebahagiannya untuk kita, dan ada juga hak-hak orang miskin dan hak-hak orang yang memerlukan. Kita diajar supaya tidak lokek dan sentiasa membantu mereka yang susah.

Dengan institusi koperasi seperti AKRAB ini, saya merasakan bahawa duit kita akan diurus dengan baik dan kebajikan ahli akan dijaga insyaAllah.

Marilah kita sama-sama membantu agensi koperasi kita dengan menjadi ahli. Jika tidak kita, siapa lagi?

Friday, June 21, 2013

Hari Pengambilan Kad Rekod Anak-Anak...

Aku, Kak Ngah dan Asmaa memulakan perjalanan ke PASTI, Kg. Maju Jaya. Asmaa yang berumur 5 tahun sepatutnya dinilai pencapaiannya sehingga kini.

Cikgu Su memaklumkan bahawa Asmaa membuat kerja sendiri sendiri, tak masuk 'group' kawan-kawannya. Ada kawan-kawannya yang melenting dan heboh sana sini tapi Asmaa 'cool' aje.

Matematiknya mendapat 100 markah. Secara keseluruhannya, Asmaa mendapat nombor 2 dari 16 orang murid.

Kemudian kami bergerak pula ke SMIH. Hari jalinan mesra untuk Abang 'Ammar dan Achik. Abang 'Ammar menduduki Tingkatan 3 manakala Achik di Tingkatan 5.

Ustazah yang menjadi mentor 'Ammar ialah Ustazah Shamtidar. Ustazah memaklumkan bahawa 'Ammar meningkat dari segi pencapaiannya. Ustazah juga menyebut tentang 'Ammar sudah senang untuk berbicara berbanding dengan masa lalu.

Setelah mengucapkan terima kasih, kami bergerak dari Dewan Khandak ke Dewan Qadisiyah.

Di sini aku nampak rata-rata ibubapa bersama dengan anak (pelajar) berjumpa dengan mentor mereka. Jadi, aku rasa Achik perlu ada bersama.

Aku mencari Achik sebelum berjumpa dengan Ustaz Anuar. Puas aku bertanya rakan-rakannya. Akhirnya aku berjumpa Achik di aras 2.

Achik memaklumkan kepadaku bahawa dia akan ke KL pada Rabu depan kerana terlibat dengan acara debat.

Aku, Kak Ngah dan Achik berbincang dengan mentornya, Ustaz Anuar.

Akhirnya, aku menasihati Achik supaya jangan malu untuk meminta bantuan dari kawan-kawan yang 'strong' dalam subjek sains dan matematik. Aku juga mengingatkan beliau tentang cerita 'tortoise and the hare' versi baru yang telah diceritakan oleh Pakcik Kamarul Baharin Tawi.

Anak-anakku nampaknya tidak begitu 'strong' dalam 'add math', biologi, fizik dan kimia. Hanya Kak Long yang ok dulu...

Wednesday, June 19, 2013

Bertasbihlah Kepada Allah Di Waktu Petang Dan Pagi...

سُوۡرَةُ الرُّوم
فَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ حِينَ تُمۡسُونَ وَحِينَ تُصۡبِحُونَ (١٧) وَلَهُ ٱلۡحَمۡدُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَعَشِيًّ۬ا وَحِينَ تُظۡهِرُونَ (١٨) يُخۡرِجُ ٱلۡحَىَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَيُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَىِّ وَيُحۡىِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِہَا‌ۚ وَكَذَٲلِكَ تُخۡرَجُونَ (١٩) وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ۬ ثُمَّ إِذَآ أَنتُم بَشَرٌ۬ تَنتَشِرُونَ (٢٠) وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةً‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)
Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu kamu berada di petang hari dan waktu kamu berada di waktu subuh. Dan bagiNyalah segala puji di langit dan di bumi dan di waktu kamu berada pada petang hari dan di waktu kamu berada di waktu zohor. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan menghidupkan bumi sesudah matinya. Dan seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari kubur).
 

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang biak. Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
                                                                                                                   (Ar-Rum: 17-21)

Arwah Bonda Mudah Menerima Tetamu...

Satu sikap yang paling aku kagumi dengan arwah ibu ialah kemudahan beliau untuk menerima saudara mara datang ke rumah. Tinggallah sehari, seminggu, sebulan,....mahupun lebih dari itu.

Arwah ibu tidak pernah bersuara samaada tetamu yang datang menyumbang atau tidak untuk makan minum. Apa yang kami makan, itulah apa yang tetamu kami makan.

Ibu selalu menyuruh tetamunya membuat air sendiri dan makanlah dengan biskut yang berbagai-bagai di kedai arwah ibu.

Rata-rata tetamu ibu adalah saudara mara kami dari pekan Golok dan Narathiwat.

Ada yang datang untuk mencari rezeki dengan mengurut badan. Ada seorang makcik ni selalu datang, beberapa bulan sekali dia datang untuk tempoh 2 minggu. Rumah arwah ibu hanya untuk makcik berhenti rehat dan tidur di waktu malam.

Akupun suka dengan makcik ini kerana beliau memang kaki balaisah (madrasah). Apabila azan aje, beliau akan turun ke balaisah yang hanya 15 kaki jaraknya dari rumah arwah ibu.

Sekarang... semuanya sudah tinggal di dalam memori. Arwah ibu sudah pergi, dan makcik mengurutpun sudah dijemput illahi...

Aku pernah berkata kepada arwah ibu dulu bahawa aku akan membuat rumah besar dan akan ku biarkan rumahku menjadi tempat penginapan saudara mara seperti arwah ibu juga...

Sekarang aku sudah punyai rumah besar. 8 bilik tidur dan satu bilik solat..., aku pasti ianya boleh diisi dengan bilangan tetamu yang agak ramai.

Cuma, saudara maraku yang susah-susah di sebelah sana...mungkin sudah tidak mengenali kami lagi.

Monday, June 17, 2013

Saranan Untuk Berpakaian Baik Apabila Ke Masjid Dan Tidak Berlebihan Dalam Makan Dan Minum.

"Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan." (al-A'raf; 31)

Seringkali kita dengar ustaz-ustaz berceramah tentang betapa eloknya apabila kita memakai pakaian yang baik dan cantik apabila mengunjungi rumah Allah. Pakaian itu pula dicalit dengan bau-bauan yang wangi supaya apabila kita mengerjakan solat bau tubuh badan kita tidak menerjah ke dalam lubang hidung rakan sebelah kita.

Di masjid UTM terdapat banyak sekali minyak atar, berbakul-bakul di pintu masuk. Calitlah sedikit ke baju kita sebelum menunaikan solat berjamaah.

Cumanya, jangan pula dijadikan alasan untuk tidak ke masjid kerana baju tidak cantik.

Semasa kita di luar negara dulu, kita boleh ke masjid dan solat berjamaah apabila kita selesai bermain badminton, bola dan sebagainya. Janji baju dan seluar bersih!

Allah SWT juga menyarankan supaya kita makan dan minum tetapi jangan berlebih-lebihan. Lantaran kerana makan dan minum berlebihanlah kita ditimpa pelbagai penyakit. Penyakit darah tinggi, kencing manis, 'stroke', obesiti, dan lain-lain lagi. Sesetengah masyarakat Afrika kebuluran kerana ketidakcukupan makanan. Kita di Malaysia bukan mati kebuluran tetapi mati kekenyangan kerana diserang penyakit.

Anehnya, masyarakat Afrika juga ramai yang membazir apabila mereka makan di kafeteria UTM. Kadang-kadang rasa sedih melihat cara mereka makan. Makanan yang diambil membukit di dalam pinggan dan dibeli juga sebotol coca-cola dan sebagainya. Akhirnya, nasi banyak yang tak habis dan kadang-kadang air gaspun tak dapat dihabiskannya.

Saturday, June 15, 2013

Langkah Penjimatan Harta Kerajaan...

Sesebuah institusi seperti IPTA banyak belanjanya. Belanja mengurus bil 'utilities', perjalanan staf, gaji, pembelian alat, pembelian buku, penyelenggaraan bangunan, kenderaan, makmal, dan sebagainya.

Ada kita peduli sekiranya kita melihat lampu terpasang di siang hari, air mengalir dalam 'toilet' akibat 'flush' tak berfungsi, kipas di tempat awam terpasang tetapi tiada orang menggunakannya?

Mungkin ada yang peduli dan prihatin dan mungkin juga ada yang tak kisahpun... Ini bukan duit aku yang bayar bil, tanggapan sesetengah pihak. Tetapi dia lupa bahawa duit kita semua pembayar cukai yang digunakan untuk membayar segala jenis bil tempat awam.

Kita tak begitu endah tentang perkara sebegini.

Begitu juga jika paip pecah di kawasan perumahan atau lampu jalan menyala di siang hari. Itu biarlah kerana Syarikat Air Johor (SAJ) dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang sepatutnya menyelenggarakannya. Begitu mudah sikap kita.

Atau prosidur pengaduan awam yang begitu rigid dan tidak 'user friendly'?

Saya ingin memaklumkan bahawa saya pernah mengadu di pejabat fakulti kepada orang yang 'in-charge' tentang kemudahan di Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah (FGHT) berkaitan kerosakan tandas. "Oh, bangunan B07 di bawah seliaan Fakulti Alam Bina (FAB), so, you kena maklumkan kepada penyelianya", balas si kerani tersebut.

Mana kita nak cari penyelia FAB, kalau kita jumpapun kita bukan serapat mana untuk menyuarakan kerosakan yang dihadapi oleh pengguna... Di negara kita ini, hendak melapurkan kerosakan perlu berhati-hati. Silap-silap haribulan, kita yang dikhutbahkannya. Bukan apa kerana dia hendak melepaskan diri dari dikatakan penyelia yang tidak menjalankan tugas.

Akhirnya, air mengalir keluar siang malam, hari demi hari tanpa ada pembaikan... Cuba bayangkan berapa ratus gelen pembaziran air?

Pejabat Pengarah Kerja menurunkan kuasa kepada fakulti masing-masing untuk memantau kerja-kerja ini. Tetapi tiada pemantauan dari pihak Pejabat Pengarah Kerja. Ada fakulti yang si penyelia penyelenggaraan membuat pemantauan dan ada yang kurang melakukan kerjanya. Akhirnya, bil-bil air, letrik dan sebagainya meningkat. Siapa peduli bil meningkat?

Kita yang prihatin yang sakit hati. Perbelanjaan yang tidak perlu itu sepatutnya digunakan untuk membuat pembelian buku atau perbelanjaan kepada pelajar yang memerlukannya tetapi...

Saranan saya ialah supaya kita memudahkan prosidur. Tak perlu kita kira 'territory' fakulti siapa kerana kita semuanya berada di bawah UTM. Dan kepada yang sepatutnya membuat kerja-kerja pemantauan dan pemeriksaan tersebut, buatlah... supaya kita tidak membazir di sana sini!

Monday, June 10, 2013

Menginap Di Homestay...

Semua anak menantu dan kebanyakan cucu Haji Shaari dan Hajjah Nik Azizah pulang untuk meraikan perkahwinan anak bongsu mereka. Aku saja sembilan orang. Itupun Kak Ngah sedang menduduki 'final exam' di UIA dan Kak Long pula di Mesir. Asmini berdua dengan suaminya, Bani. Asmizul dan Ida bersama 4 orang anak. Anak cucu Haji Shaari atau Tok Ayah (panggilan cucu kepadanya) dan Hajjah Nik Azizah atau Bu (panggilan cucu kepadanya) yang lain-lain memang bermastautin di Kota Bharu.

Sudah pasti rumah kos rendah (renovated) 3 bilik kepunyaan mertuaku tidak dapat menampung kepulangan kami dari perantauan. Isteriku telah menyewa 'so-called homestay' rumah 2 bilik di hadapan rumah bapanya dengan harga RM100 sehari. Begitu juga adiknya Asmini dan Asmizul, masing-masing menyewa tempat penginapan masing-masing.

Pada pagi 2 Jun, anak-anak mengangkat bag dan barang-barang ke 'homestay'. Sekembali ke rumah Bu, mereka memaklumkan ada mangkuk berisi makanan berkulat di bawah saji di rumah 'homestay' kami.

Akupun pergi ke rumah tersebut untuk meninjau keadaan rumah sewa yang berharga seratus sehari itu. Lantainya dilapik dengan tikar getah yang terkoyak sana sini. Habuk dan debu memang sesuai dengan makanan basi yang berada di bawah saji.

Kipasnya agak banyak kerana menggantikan kipas bilik tidur yang tidak berfungsi. Nyamuk memang banyak walaupun di siang hari. Di malam hari, faham-faham sajalah bilangannya yang menyanyi terngiang-ngiang di telinga kami.

TV ada tetapi hanya untuk hiasan. Peti ais (refrigerator) tiada tetapi sebiji freezer ternganga luas mungkin dibiarkan 'defrost' buat sekian lama.

Sedih melihat orang kita menyediakan kemudahan 'homestay'! Di tepi pagar terpampang nombor telefon tuan rumah bagi tujuan penyewaan.

Pada tarikh 2 Jun, aku bersama rombongan bergerak ke masjid Kg. Parang Puting untuk menunaikan solat Isya' dan seterusnya menyaksikan upacara ijab kabul. Jarak masjid tersebut dari rumah kami hanya 2 kilometer.

Setelah pengantin lelaki dan perempuan bersedia maka imampun memulakan upacara dengan mengisi borang yang diperlukan. Aku dan Ayah Suf (adik ipar bapa mertuaku) menjadi saksi yang mana nama kami diisikan di dalam borang pernikahan.

Setelah selesai kami bersama rombongan pihak lelaki pulang ke rumah di Taman Seri untuk menjamu selera. Menu malam tu ialah nasi kerabu kuning bersama solok lada, keropok, telor masin dan ayam goreng. Selesai menjamu selera rombongan pihak lelaki balik ke tempat penginapan mereka. Esok ialah majlis kenduri pihak pengantin perempuan.

Sekitar jam 11.30 pagi, tetamu mula mengunjungi rumah mertuaku. Di depan rumah tersedia 2 khemah bagi meneduhkan meja bagi tetamu menjamu selera. Juadah yang disediakan ialah nasi putih, gulai daging, ayam goreng, ikan masin, kerabu, buah tembikai dan air sirap disamping tapai dan kuih muih.

Aku terpaksa ke stesen keretapi Wakaf Baru untuk mencari tiket untuk balik ke Johor Bahru esok malam. Melalui internet memang aku telah lihat bahawa tiket keretapi sudah habis dijual. Sekarang aku hanya mengharapkan tiket bagi 'coach' tambahan.

Aku bertanyakan di kaunter jika masih ada tiket. Pegawai bertugas menyatakan bahawa ada 2 tiket untuk tempat duduk bagi perjalanan malam pada tarikh 4 Jun. Aku mengatakan kepada beliau bahawa aku memerlukan lapan tiket. Beliau memaklumkan bahawa tiket koc tambahan hanya akan diketahui pada esok pagi mulai jam 11 pagi bagi perjalanan malam tersebut.

Achik akan menyertai mukhayyam Tingkatan 5 SMIH yang akan bermula pada petang 5 Jun dan berakhir pada 8 Jun. Aku membeli 2 tiket tempat duduk tersebut sekurang-kurangnya, Achik dan 'Ammar boleh balik ke JB dulu sekiranya kami tidak mendapat tiket tambahan.

Sekitar jam 10.30 pagi, 4 Jun, aku dan Sakinah sekali lagi ke stesen keretapi Wakaf Baru. Setibanya di stesen pada jam 11 pagi, aku terus ke kaunter tiket tetapi pegawai bertugas mengatakan tiket tambahan masih belum keluar dan beliau menyuruh aku menunggu.

Aku dan Sakinah masing-masing minum teh dan makan telor 3/4 masak di kantin stesen. Pada jam 12 tengahari aku ke kaunter tiket semula. Kelihatan agak ramai orang yang ingin ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan mengharapkan tiket tambahan.

Tiba-tiba pegawai kaunter berkata, "Ok, tiket sudah ada tetapi semua untuk tempat tidur...". Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku memerlukan 2 tiket dewasa dan 4 tiket kanak-kanak. Pegawai tersebut perlu bertindak pantas kerana kalau lambat tiket tersebut akan dibeli oleh orang lain dari stesen keretapi tempat lain.

Malangnya, beliau hanya sempat mengeluarkan 2 tiket dewasa dan 2 kanak-kanak kepadaku. Kemudian komputernya 'down'. Seorang lagi pegawai di sebelah, komputernya masih ok! Tetapi beliau 'reluctance' untuk mengeluarkan 2 lagi tiket kanak-kanak kepadaku. Beliau menyuruh aku tunggu tetapi sekiranya aku ingin membeli tiket 2 dewasa, tidak ada masalah...

Mungkin ini strategi pemasaran kerana permintaan melebihi penawaran! "Oklah...berilah 2 lagi tiket dewasa kepada saya!", kataku kepadanya. 'All in' aku bayar untuk tiket keretapi lebih kurang RM300, lebih murah berbanding tiket bas yang harganya hampir RM500.

Alhamdulillah, semua dapat naik tren yang sama... Aku merasa sungguh lega dan pulang ke Pengkalan Chepa.

Aku terpaksa meminta jasa baik Mak Su Jae dan Azfar (anak saudara) untuk membawa kami ke stesen keretapi Wakaf Baru dengan 2 buah kereta. Tren akan bertolak dari stesen Wakaf Baru pada jam 2047.

Aku juga telah menelefon Aya (anak saudaraku) yang tinggal di Pasir Pekan untuk menumpang solat Maghrib dan Isya' secara jamak qasar di rumahnya. Kami bertolak dari Pengkalan Chepa pada jam 6.30 petang, takut jika terlekat dalam 'traffic jam'.

Aya dan suaminya, Wan Shuhaimi telah menunggu kami di restoren roti tempayan tersohor di Pasir Pekan. Apa lagi...sebelum kami ke rumah mereka, kami dijamu dengan roti tempayan dicicah dengan kari ayam atau kari tulang bersama daging yang sungguh enak.

Kami tiba di stesen keretapi Wakaf Baru sekitar jam 8.35 malam. Disamping Mak Su Jae dan suaminya, Azfar, Aya dan suami serta anaknya, kami juga dihantar oleh Ipah (anak saudaraku) dengan suami dan anaknya. Ipah bersama suami dan anaknya sanggup datang ke stesen keretapi semata-mata ingin berjumpa mata dengan kami.

Di dalam keretapi, kami berlapan berkongsi tempat tidur dan membiarkan 2 'seat' tempat duduk tanpa didiami. Ummi tidur bersama Asmaa dan Syakir bersama Rasyid, manakala Achik, 'Ammar, Sakinah dan aku, masing-masing tidur bersendirian.

Kami tiba di stesen keretapi Kempas Baru jam 11 pagi dan Dr Hishamuddin Alham sekali lagi mengangkut kami pulang ke rumah dengan Innovanya.

Alhamdulillah, anak-anak dapat merasakan 2 'modes of transportation' dalam satu perjalanan yang sungguh menyeronokkan. Walaupun kami bertolak ke KB pada 1 Jun dan sampai pulang ke JB pada 5 Jun, ia merupakan satu percutian yang mengembirakan. Cumanya, kami terpaksa menunaikan solat Subuh di dalam tren sambil duduk di tempat tidur...

Friday, June 7, 2013

Perjalanan Yang Menyeronokkan Hati Anak-Anak...

Majlis akad nikah Mak Su Jae jatuh pada 2 haribulan Jun, iaitu selepas Isya' di Masjid Parang Puting. Keesokkannya akan diadakan majlis kenduri kahwin. Katanya panggilan atau undangan hanya untuk seramai 500 orang.

Aku mula mencari alternatif yang ada untuk balik ke Kelantan bersama keluarga. Lagipun inilah kenduri kahwin terakhir buat mertuaku. Isteriku sebagai seorang kakak yang sulung sudah pasti perlu bersama untuk meraikan adiknya yang bongsu.

Vanku yang dilanggar dari belakang sudah seminggu berada di bengkel. Walaupun peristiwa sudah lama berlaku tetapi van hanya dihantar setelah cuti sekolah bermula. Tak nampak dapat balik ke Kelantan dengan van walaupun aku meminta supaya tuan punya bengkel menyiapkannya segera. Tempoh seminggu yang aku berikan kepada taukeh bengkel hanya merupakan persetujuan yang aku sendiri merasakan ia mustahil boleh berlaku.

Aku pergi menyemak harga tiket di kaunter bas Transnasional Sri Putri. Tiket masih banyak dan kos untuk 8 orang termasuk kanak-kanak mengjangkau RM498 sehala.

Aku pergi pula ke stesen keretapi Kempas Baru bagi mendapatkan perbandingan. Dari segi harga, ia begitu menjimatkan iaitu aku dapat 'save' separuh dari tambang bas bagi bilangan penumpang yang sama. Cuma masalahnya ialah tiket sudah habis dijual.

Kerani kaunter tiket keretapi menyarankan supaya aku datang pada hari aku hendak bertolak bagi mendapatkan tiket 'coach' tambahan. Contohnya, jika aku ingin bertolak pada 1 Jun menggunakan tren malam ke Wakaf Baru maka sekitar 2 petang pada hari tersebut aku perlu datang atau menelefon ke stesen bertanyakan jika ada penambahan 'coach'.

Aku bertanyakan samaada ia pasti ada? Kerani itu menjawab bahawa ia berkemungkinan besar ada. Aku takut untuk mengambil risiko atau 'gamble' kerana peristiwa yang akan berlaku begitu penting kepada keluarga mertuaku. Jadi, kami mengambil keputusan untuk membeli tiket bas sehala sahaja.

Bila balik ke JB nanti, bolehlah 'gamble' seperti saranan tersebut.

Aku membuat keputusan untuk bertolak dari JB pada 1 Jun oleh kerana pada 31 Mei ada majlis pernikahan kawan baikku di Kulai. Jadi pada 31 Mei malam, aku ke Kulai bersama-sama Firdaus dan Dr Sam bagi meraikan akad nikah Skem.

Sebenarnya perjalanan bas dari JB ke KB ada 2 'trips'. Satu pagi dan satu malam. Jika perjalanan malam, kita boleh menaikinya dari perhentian bas Sri Putri tetapi jika perjalanan siang, kita perlu menaikinya di Stesen Bas Larkin kerana bas ini membuat laluan melalui Pandan, Mersing dan sebagainya.

Masalah yang timbul ialah bagaimana aku ingin ke Stesen Bas Larkin seramai 8 orang dengan kos yang murah? Bas dari Taman Universiti tidak pergi ke Larkin tetapi pergi ke bandar JB dan dari bandar JB, aku perlu menaiki bas lain pula untuk ke Larkin. Teksi pula mengenakan bayaran RM23 dari rumahku di Taman Pulai Utama ke Stesen Bas Larkin untuk sebuah teksi. Rata-rata aku lihat teksi di Taman U semuanya bersaiz kecil dan tidak ada yang boleh memuatkan seramai 8 orang serentak.

Bagi tujuan pengangkutan ini, aku telah meminta jasa baik sahabatku, Dr Hishamuddin Alham untuk membawa semua keluargaku ke Larkin dengan menggunakan Innovanya.

Bas mula bergerak dari Stesen Bas Larkin sekitar jam 9.10 pagi. Aku melihat anak-anak begitu gembira sekali. Masing-masing mempunyai 'seat' masing-masing. Begitu juga Asmaa yang berusia 5 tahun duduk di kerusi sebelah umminya.

Sekitar jam 11 pagi, ummi mengejutkan aku dari tidur mengatakan Asmaa hendak membuang air kecil. Aku mula merasa cuak. Sebelum bas bertolak tadi, aku sudah memberi arahan supaya semua pergi membuang apa yang patut. Dan Asmaa juga sudahpun kencing sebelum menaiki bas.

Melihat aku tidak begitu mengendahnya, ummi menyuruh Achik pula memaklumkan kepada pemandu bas. Seperti yang ku duga jawapannya ialah tunggu sehingga kita berhenti untuk makan nanti.

Bas berhenti untuk makan tengahari di bandar Endau. Kami berlapan makan dengan berselera sekali. Anak-anak mengambil lauk ayam. Aku mengambil lauk sotong goreng.

Bas berhenti untuk solat Zohor dan Asar secara jamak qasar di laluan Jerangau Jabor sekitar jam 3 petang.

Kami tiba di KB pada jam 9 malam.