Friday, March 23, 2012

Kehidupan Dunia Dari Perspektif Al-Quran

Kita dari kecil sudah diajar supaya belajar rajin-rajin agar pandai, kemudian dapat kerja yang baik-baik, mendapat gaji lumayan, rumah yang besar, kereta yang mewah, isteri yang cantik dan seterusnya menyara kehidupan anak isteri tanpa mendapat banyak kerenah. Seolah-olah itulah matlamat hidup kita.

Tentang kehidupan yang sesudah alam dunia ini tidak begitu diperkatakan. Banyak sebabnya tidak dibicarakan kehidupan selepas mati. Pertama, masing-masing tidak nampak kehidupan sesudah alam dunia ini. Tiada seorangpun yang telah mati kembali ke dunia dan menceritakan keadaan mereka di sana. Kita terkesan dengan apa yang nampak! Rumah 'bungalow', kereta Mercedes, jam Rolex, dan pelbagai barangan berjenama lagi menjadi idaman dan keinginan setiap anak kita.


Apa ada dengan syurga? Kita belum melihat syurga... Kita belum melihat bidadari... Kita belum melihat jua merasai makanan dan minuman syurga...

Walau apapun tanggapan kita tentang hari akhirat, Allah SWT telah menjelaskannya kepada kita sejak lebih 1400 tahun dulu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak." (At Taubah: 38)

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (Al-Ankabut: 64)


"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Al-Hadid: 20)

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya." (Al-Kahfi: 7)

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" (Al-Mulk: 2)


"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (Al-An'am: 32)

"Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?" (Al-Qasas: 60)

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang reda (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. (7) Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Yunus: 8)


"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. (15) Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan." (Hud: 16)

"Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat." (Al-Rum: 7)

Begitu banyak sekali peringatan Allah SWT tentang kehidupan duniawi dan dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi (ukhrawi). Tetapi kita masih merasa sangsi ataupun tidak termotivasi untuk mengejar kehidupan akhirat.

Kadang-kadang kita merasakan akhirat masih nun jauh di sana. Kejar kebendaan dulu! Tetapi bolehkah kita mempastikan bahawa kita masih punyai nyawa yang panjang untuk beramal kemudiannya sebagai bekalan hari akhirat?

Dalam hadis riwayat Muslim, al-Mustaurad bin Syadad berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; "Demi Allah, bandingan kehidupan dunia ini dengan kehidupan akhirat cumalah seperti air yang lekat di jari seseorang kamu yang telah mencelupkan tangannya ke dalam lautan."

Dan hadis riwayat Muslim dalam tajuk zuhud, Baginda Rasulullah SAW berdoa; "Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad ini hanya sekadar cukup makan sahaja."

Jadi apa tujuan penulisan ini dibuat? Tujuannya ialah supaya kita sentiasa mengingati kehidupan sesudah kehidupan dunia. Di sana kehidupannya berkekalan! Tiada lagi kematian sesudah itu...

Perlu tinggalkah kemewahan keduniaan keseluruhannya? Tidak! Sama sekali tidak! Carilah kekayaan tetapi dengan cara halal... Carilah kekayaan tetapi hulurkan bantuan yang mencurah-curah kepada mereka yang miskin dan perlu. Carilah kekayaan tetapi jangan sekali-kali abaikan tanggungjawab kita kepada Allah; solat, puasa, zakat, ibadah haji, dan sebagainya.

Jadikanlah kehidupan di dunia ini sebagai medan untuk kita mengumpul modal, dari segi pahalanya untuk kita raih kehidupan yang bahagia di akhirat kelak, insyaAllah.

Rasulullah SAW pernah bersabda;

"Apalah yang boleh aku lakukan dengan dunia ini. Bandingan aku dengan dunia ini cumalah laksana seorang pengembara yang bernaung sebentar di bawah sepohon pokok, setelah itu ia meninggalkan pokok itu untuk meneruskan semula perjalanan." (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Wednesday, March 14, 2012

Tertipu Dengan Iklan Di Kedai Petronas

Kita ternampak gambar pekerja Petronas menyongsong tong gas dengan menggunakan alat pengangkut tong terpampang di cermin Kedai Stesen Minyak Petronas Taman U. Gambar iklan ini sudah lama tetapi saya masih belum berkesempatan untuk datang membeli atau mendapatkan perkhidmatannya.

Apabila tong gas kosong, sama ada kita pergi beli di kedai runcit atau kita menelefon kedai runcit untuk menghantarkan gas ke rumah.

Hari itu sekali kita pernah datang ke kedai Petronas. Kita bawa tong gas dan maklumkan bahawa kita hendak beli gas. "Oh... malam kita tak jual", balas pekerja di kaunter. Dalam perjalanan balik, kita belilah di kedai runcit mamak...

Semalam kita pergi lagi ke Stesen Minyak Petronas Taman U dengan membawa tong gas kosong.

Andaian-andaian dalam kepala ialah mesti harga gas petronas yang dijual di stesen minyak Petronas lebih murah. Brand dia sendiri, mesti murah! Lepas tu, dia jual sendiri pulak tu, mesti murah punya! At least murah seringgit duapun jadilah...

Sekarang dalam keadaan barangan semua naik harga, kita sedaya upaya mencari tempat yang boleh dijimatkan dua tiga puluh senpun jadilah...

Kitapun mengisi borang untuk membeli gas memasak di kaunter. Nama, alamat, dan nombor telefon dicatitkan dalam borang. Yang lain-lain hanya ditanda oleh pekerja kedai Petronas tersebut. Dan harganya RM31.50 dibayarkan termasuk (RM1.50) kos penghantaran.

Kita cakap tak payah hantar kerana kita dah bawa tong kosong dan kita akan bawa balik aje yang berisi.

"Tak... tak... Pakcik balik dan dalam masa 15 minit, tong gas sampai", jelas pekerja kedai Petronas.

Akupun pulang dengan membawa balik tong gas kosong. Dalam setengah jam, seorang pekerja India datang dengan motosikal membawa tong gas.

Pekerja India ini meminta duit sebagai bayaran gas tersebut. Aku memaklumkan bahawa aku sudah bayar di Kedai Petronas.

Sekarang baru aku faham bagaimana Kedai Petronas membuat duit atas angin. Kedai Petronas caj aku RM31.50 yang mana aku perlu mengisi borang, dan sebagainya. Kemudian pekerja Kedai Petronas menelefon mana-mana kedai runcit untuk menghantar tong gas ke rumahku.

Kalau aku sendiri memesan kepada kedai runcit secara terus, aku hanya bayar RM28. Untuk itu, aku tolong bantu Kedai Petronas sebanyak RM3.50.

Aku merasakan inilah cara yang bijak dan terbaik untuk memeras duit orang lain. Syabas Stesen Minyak Petronas!

Kalau boleh fikirkan lagi idea-idea yang mengarut seperti ini...

Tuesday, March 13, 2012

Pak Haji Ibrahim Meninggal Dunia

Aku mendapat sms dari rakan seusrah akh Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa bapa mertua akh Hassan Hushin iaitu bapa ukti Zalilah (zaujah Hassan) baru meninggal dunia. Rasanya sms itu aku perolehi lebih kurang pukul 6 petang semalam.

Aku memaklumkan kepada isteri dan kami bersetuju untuk ke rumah Hassan selepas Maghrib. Sesampai aku di rumah Hassan, akh Tholudin, akh Shaharuddin, dan akh Roslan sudah ada di sana, di samping ahli keluarga mereka yang terdekat. Kami, masing-masing membaca ayat suci al-Quran buat hadiah kepada roh Pak Haji Ibrahim, yang mana jasadnya terbujur kaku berhampiran pintu masuk.


Apabila azan Isya' dilaungkan, kami bertolak ke surau untuk menunaikan solat fardhu Isya'. Di surau, bilal mengumumkan tentang berita kematian ini. Semua ahli jamaah dijemput untuk menghadiri majlis tahlil selepas solat Isya' di rumah Hassan. Beliau juga turut mengumumkan bahawa jenazah akan dimandikan di surau ini pada pukul 8.30 pagi esok dan akan dikebumikan di kawasan perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru pada jam 11 pagi.

Aku sempat bersalaman dengan arwah Pak Haji Ibrahim semasa menghadiri usrah di rumah Hassan pada 2 minggu yang lalu. Itulah kali pertama dan terakhir, aku bersalam dengan beliau.


Pada pandanganku, Allah telah mengaturkan pemergian Pak Haji Ibrahim dengan baik sekali. Pada minggu lepas, akh Hassan bersama zaujah telah berangkat ke Mesir bagi meraikan anak tersayang, Nadia, konvokesyen dalam bidang perubatan. Nadia telah berjaya cemerlang dengan mendapat keputusan Jayyid Jiddan!

Balik dari Mesir, Hassan berangkat pula ke Indonesia bagi urusan anaknya yang seorang lagi.


Alhamdulillah, semasa Pak Haji Ibrahim menyahut seruan Illahi, akh Hassan dan isteri ada bersama.

Pagi tadi, aku, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir telah ke surau Taman Mutiara Rini bagi menunaikan solat jenazah buat almarhum. Semoga roh almarhum Pak Haji Ibrahim aman di sana.... insyaAllah.

Sunday, March 11, 2012

Al-Qanaah - Tajuk Pengisian Katibah Pada 7 Mac

Pengisian Katibah pada 7 Mac lalu dibuat oleh Ustaz Mahmood Kassim. Tajuk yang diulas oleh ustaz ialah berkenaan al-Qanaah.

Apa itu al-Qanaah? Al-Qanaah bermaksud redha dan rela menerima apa saja pemberian dari Allah SWT.

Al-Qanaah mengandungi 5 perkara;
i) Menerima dengan rela akan apa yang ada.
ii) Memohon kepada Tuhan tambahan yang pantas dan berusaha.
iii) Menerima dengan sabar akan ketentuan Tuhan.
iv) Bertawakkal kepada Tuhan.
v) Tidak tertarik kepada tipu daya dunia.
(Tasauf Moden, HAMKA)


Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (36) Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (37) (Surah Al-Hajj)

Apa yang diucapkan tidaklah sesenang untuk dicapai. Hati kita begitu penting berperanan supaya sifat qanaah ini dapat kita garap dengan tenang. Dengan kata lain, kita sekali-kali tidak meminta tetapi sekiranya ia diberikan kepada kita maka janganlah pula kita tolak!


Beberapa usaha atau cara bagi mencapai Qanaah adalah;

a) Memperkuatkan keimanan kepada Allah SWT.
b) Yakin bahawa rezeki telah tertulis.
c) Memikirkan ayat-ayat Quran yang Agung;

"Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu dan (ingatlah) Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Fatir; 2)

"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Yunus; 107)


"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)." (Hud; 6)

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." (at-Talaq; 7)

d) Ketahui hikmah perbezaan rezeki.
e) Banyak memohon qanaah kepada Allah SWT.
f) Menyedari bahawa rezeki tidak diukur dengan kepandaian.
g) Melihat ke bawah dalam kehidupan dunia.
h) Membaca kehidupan salaf.
i) Menyedari beratnya tanggungjawab harta.
j) Melihat realiti bahawa orang fakir dan orang kaya tidak jauh.


Sifat al-Qanaah ini sudah lama kita hayati dan mengamalkannya. Cuma, kadang-kadang ia perlu diperingatkan dan dipesankan dari semasa ke semasa supaya hati kita sentiasa bertaut kepada Allah. Segala sesuatu yang kita peroleh, semua anugerah dariNya.

Mulai dari sekarang, insyaAllah kita akan lebih menghayati sifat al-Qanaah ini dan sebaik-baiknya cuba menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sunday, March 4, 2012

Biar Berlebih, Baru Hati Menjadi Tenang...

Dalam banyak perkara kita hanya buat yang 'basic'. Maksudnya kita hanya ingin 'meet the requirement'. 'No more or no less'.

Kita tidak ingin buat lebih dari apa yang perlu. Kata orang muda hanya 'ngam ngam'. Sebut pasal 'ngam ngam' ni, teringat pula saya kepada seorang sahabat Kedah yang cuba sebut 'ngam ngam' dalam loghat Kelantan.

"Demo wat ngae ngae!", katanya.
"Dalam bahasa Kelantan tiada perkataan 'ngae ngae'", balas saya. "Orang Kelantan sebut ngam ngam ni, samaada 'bo molek' atau 'sedae molek' atau 'bo bo cukup'", sambung saya lagi.


Kalau kita seorang guru, kita hanya mengajar sampai waktu yang diperuntukkan saja. Kalau kita seorang peniaga, kita hanya menimbang barang untuk pelanggan hanya genap-genap aje. Tidak lebih dan tidak kurang walaupun satu hun!
Kalau kita menghadiri majlis walimah atau kenduri kahwin pula, kalau kita seorang kita beri RM10 aje dan kalau bersama keluarga kita hanya beri RM20.
Dalam solatpun sama, kita hanya buat yang wajib aje. Bacaan yang sunat dalam solat kita tinggalkan. Solat sunat nawafil kita kurang lakukan. Apatah lagi solat-solat sunat yang lain... tahajud, hajat, taubat...

Oleh itu, boleh dikatakan kita amat cermat apabila memberi. Apabila kita pula yang menjadi si penerima, kita mengharapkan yang besar-besar aje.

Gaji kita sebagai guru atau pensyarah kita hendak mendapat kenaikan yang berlipat kali ganda. Hasil perniagaan kita, kita mengharapkan keuntungan yang menggunung. Apabila kita membuat walimah, kita mengharapkan orang datang dan memberi sumbangan yang banyak supaya perbelanjaan walimah kita tidak rugi. Apabila kita pergi mengadap menemui Allah, kita begitu mengharapkan anugerah syurgaNya.


Begitulah gelagat kita...

Apa salahnya, mulai hari ini kita tanamkan azam untuk memberi lebih dari biasa. Solat kita, kita tambahkan pula dengan yang sunat-sunat. Bacaannya dan solat sunatnya, kita cuba lebihkan.

Apabila kita menimbang barangan jualan, kita cuba lebihkan satu hun. Apabila kita mengajar, kita tidak berkira sangat jika ada pelajar ingin membuat temujanji untuk lebih memahami apa yang telah kita ajarkan.


Sebenarnya sayapun rasa takut, kalau ingin dikaji balik atau muhasabah tentang masa yang kita diamanahkan untuk bekerja. Penuh ke, 8 jam sehari telah kita berkhidmat? Atau banyak masa telah kita korbankan untuk pergi minum dan sebagainya?

Tetapi apabila saya memikirkan balik masa saya jadi felo dan pengetua dulu. Hati saya menjadi tenang. Sebab apa ye?

Sebabnya ialah sepanjang 11 tahun itu, saya tidak pernah memohon cuti gantian dengan tugasan felo/pengetua yang kebiasaannya jatuh pada hari Sabtu dan Ahad.


Kalau hendak dikira, felo/pengetua layak untuk mendapat gantian cuti kerana mengiringi pelajar ke program khidmat masyarakat, program pembentukan JKM, dan sebagainya.

Jadi, dengan hari-hari yang tidak di'claim' itu, diharapkan dapat menampung lompong-lompong yang ada, insyaAllah.

Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berlebih-lebihan dari segi beramal soleh...

Monday, February 27, 2012

Apa Yang Boleh Kita Pelajari Dari Isu SBPA?

Isu SBPA perlu diselesaikan segera! Paling lewat ialah sebelum PRU-13. Ramai yang terlibat hanya mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat. Golongan JUSA keatas sudah lega dengan kenaikan mendadak yang pada saya mungkin di luar jangkaan mereka.

Apa yang kita boleh pelajari dari isu ini? Andaian-andaian yang membawa pemikiran kita menyatakan seperti berikut. Tetapi TIDAK semestinya benar!

Pertama, kita nampak pihak yang bertanggungjawab merangka kenaikan gaji tidak mengikut peratusan kenaikan yang diumumkan dalam bajet oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. YAB Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji hanya dari RM80 hingga RM320! Bukannya sehingga RM6,000!


Kedua, ada pihak yang membuat pertuduhan atau andaian bahawa pihak yang terlibat dengan formulasi gaji baru cuba melakukan sabotaj kepada YAB PM. Dengan yang demikian, rakyat akan bangkit marah dan Barisan Nasional akan kecundang dalam PRU ke-13.

Ketiga, mereka yang terlibat dalam merekabentuk skim SBPA hanya mengarahkan pegawai-pegawai bawahan melakukan kerja-kerja draf gaji tanpa mendapat bimbingan dan khidmat nasihat secara terus (direct) dari pegawai atasan yang hanya sibuk berbincang di padang golf.

Keempat, pihak yang bertanggungjawab menyerahkan kerja membuat draf gaji baru kepada konsultan semata-mata.


Kelima, adanya campurtangan dari penasihat-penasihat tidak rasmi atau 'nyamuk' yang menyumbang kepada cadangan SBPA.

Keenam, tiada semakan yang dilakukan oleh pegawai tertinggi mereka sebelum ia ditaklimatkan kepada YAB PM.

Ketujuh, ia sememangnya di'design'kan sebegitu kemudian datang 'a BIG Resqueer from YAB PM to solve the problem or clarify the mess'. So, our PM is the HERO!


Walau apapun sebab dan musababnya, ternyata SBPA merupakan satu bentuk skim gaji yang melampau dari segi ketidakmunasabahannya dan ketara ketidakseimbangannya. Dan ia dikatakan sebagai satu 'blunder' yang telah dilakukan oleh pihak JPA.

Tak perlu lagi diulas dari segi kemudaratan yang bakal timbul hasil dari skim ini seperti melebarkan lagi jurang perbezaan antara golongan atasan, menengah, dan rendah.

Yang menghairankan juga ialah tiada suara dari mereka yang berada di peringkat JUSA untuk memperjuangkan nasib mereka yang di bawah. Atau mungkin mereka mengambil keputusan biarlah orang lain, asalkan aku mendapat kenaikan yang puluhan kali lipat!


Kadang-kadang saya terfikir keseorangan, apakah polisi atau keputusan diperingkat negara dibuat oleh beberapa individu yang terpilih tanpa dinilai dari segi impak dan 'consequences' kepada sesebuah organisasi?

Satu contoh yang mudah ialah dari segi pemilihan seorang Naib Canselor kepada sebuah IPTA.

Suatu ketika dahulu, kawan saya yang tidak pernah memegang jawatan pentadbiran diperingkat fakulti seperti Timbalan Dekan atau Dekan apatah lagi Timbalan Naib Canselor boleh dilantik sebagai Naib Canselor IPTA. Sungguh tidak masuk akal bagi saya...


Pada saya biarlah mereka yang betul-betul layak menerajui sesebuah institusi penting seperti IPTA. Janganlah asalkan dia orang kita dan mendapat 'recommendation' dari cawangan kita, terus kita lantik! Lihatlah 'track record'nya dulu.

Kalaulah kita lantik mereka yang bukan dari kalangan kitapun sebagai Naib canselor tetapi mereka mempunyai sejarah pentadbiran dan perkhidmatan yang cemerlang, apa salahnya?

Bukanlah dia sorang boleh membuat keputusan sendiri-sendiri dan menukar polisi sesuka hatinya. Kita ada Canselor, Pro-Canselor, Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi Universiti, Senat, dan sebagainya yang akan membuat 'check and balance'.


Pada hemat saya, kita seharusnya meletakkan mereka yang selayaknya untuk menerajui sesebuah institusi penting, dan tidak kiralah sama ada mereka dari kalangan kita atau sebaliknya. Jika itu yang kita praktiskan maka sudah pasti institusi tersebut akan cemerlang, gemilang, dan terbilang!

Sunday, February 26, 2012

Statistik Menakutkan...

Berita Harian melapurkan bahawa, menurut rekod dari 2006 hingga 2010, seramai 234, 647 kejadian kelahiran tanpa ikatan perkahwinan di negara ini. Dari jumlah tersebut, 85,079 telah dilahirkan kepada keluarga Islam. Menakutkan ya? Satu pertiga darinya adalah dari mereka yang beragama Islam.

Astaqfirullahal 'Azim. Minta dijauhkan dari terkena kepada anak beranak kita. Sungguh menyedihkan... Dimana silapnya? Adakah kerana tiada didikan agama dari kedua ibubapa? Adakah kerana terpengaruh dengan ajakan atau hasutan kawan? Adakah kerana terpengaruh dengan budaya hiburan yang tiada had limitasinya? Atau kerana tiada apa-apa perancangan atau tindakan pihak kerajaan untuk menanganinya?


Cuba bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak ini? Yang pasti, mereka tidak mempunyai kedua ibubapa untuk mendidik mereka sebaik mungkin nanti.

Perkara ini selalu kita timbulkan... Dicanang sana sini. Dibuat program Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan bermacam-macam lagi. Tidak hanya setakat itu, kita terkedepan dengan menyediakan Raudatul Sakinah, satu tempat persinggahan bagi anak-anak gadis yang terlanjur.


Zina ini tidak mengira latar belakang pelajaran. Yang bodoh, yang cerdik, yang muda, yang tua, yang miskin, dan yang kaya; semua boleh terjerumus ke lembah yang hina ini.

Kita takut ia boleh berlaku kepada diri kita, dan anak cucu cicit kita.

"Dan sesungguhnya, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami paling darinya keburukan dan kekejian. Sesungguhnya, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih." (Yusuf; 24)


Ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa Nabi Yusuf (A.S) mempunyai keinginan yang buruk terhadap perempuan itu, tetapi godaan itu demikian besarnya sehingga sekiranya dia tidak dikuatkan dengan keimanan kepada Allah SWT, sudah tentu dia jatuh ke dalam kemaksiatan.

Dalam keadaan masyarakat sekarang, ia sungguh menakutkan. Di universiti-universiti, pelajar tanpa segan silu duduk berdua-duaan, memakai pakaian yang begitu menjolok mata di dalam bilik kuliah, apatah lagi di luar kuliah. Kadang-kadang ke kuliah bertudung baik tetapi terbuka segala-galanya apabila di luar kuliah...


Mereka (siswi) secara tidak langsung menarik perhatian golongan siswa untuk mendekati mereka. Bertudung kepala tetapi badan dibungkus dengan begitu ketat sehingga menampakkan bentuk badannya.

Kucing mana tidak mahu menerkam ikan yang bermain-main di depannya. Sungguh alimlah kucing itu, jika dia berupaya mengalih perhatian dari ikan yang galak itu.

Kita disuruh supaya menjauhi zina. "Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sesungguhnya suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk." (Al-Isra'; 32)


Ajaklah kawan-kawan kita supaya takut akan seruan Allah SWT ini. Jangan mudah terpedaya dengan segala janji manis yang diluahkan. Kita takut kerana janji tergadai 'body'!

Saya selalu sebut kepada pelajar-pelajar bahawa apabila kita ke kedai untuk membeli barang, kita selalu 'try' atau cuba memakai pakaian itu, sama ada baju, seluar, kasut, dan sebagainya. Tetapi apabila kita hendak membelinya, kita meminta yang baru, yang belum pernah disentuh atau diusik oleh tangan-tangan lain.

Marilah kita tinggalkan segala bentuk pergaulan yang boleh menjurus ke arah penzinaan. Berkawan itu boleh tetapi jagalah had-had atau batasannya.

Jangan kita menangis di kemudian hari atau menconteng arang ke muka kedua orang tua. Mereka menyayangi kita dengan penuh kasih sayang. Cuma, kadang-kadang kasih sayang ibu ayah tidak jelas kelihatan tetapi nun jauh di sudut hati, kitalah segala-galanya buat mereka.