Monday, October 22, 2012

Kem Pemantapan Jati Diri LADS 2012

Kem motivasi untuk pelajar-pelajar tahun pertama dari Kursus Pentadbiran dan Pembangunan Tanah telah dilaksanakan dengan jayanya pada 19 hingga 21 Oktober 2012.


Pelajar-pelajar ini dibimbing dan diselia oleh 'seniors' dari tahun 2, 3, dan 4. Mereka memulakan program di Kolej Tun Dr Ismail pada hari Jumaat dan kemudiannya bergerak ke Lembah Bio-Tek, Kota Tinggi, Johor pada hari Sabtu. Program berakhir pada hari Ahad dimana mereka bergerak pulang ke kampus dari Lembah Bio-Tek sekitar jam 5 petang.


Pengarah program bagi kem pemantapan ini ialah Saudara Wan Muhammad Yusuf bin Ahmad, pelajar tahun 3 SGT.

Banyak aktiviti yang telah mereka lalui. Antaranya ialah aktiviti trekking, berakit, 'water confident', 'team building games', mengenali kambing (memerah susu dan meminumnya), berkenalan dengan burung hantu, dan bermacam-macam lagi.


Rata-rata pelajar kelihatan begitu seronok dan berpuas hati dengan program yang disusun.

Keseluruhan pelajar yang menyertai program ini adalah seramai 60 orang. Mereka dikenakan bayaran yuran sebanyak RM70 seorang bagi menampung kos penginapan di khemah, makan, dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.


Pada pagi tadi mereka dijamu dengan sebiji kelapa pandan muda untuk setiap orang oleh pihak pengurusan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ). Pada hari sebelumnya, mereka telahpun dijamu dengan nangka madu dan buah belimbing. Lembah Bio-Tek yang keluasannya mengjangkau ratusan ekar telah diletakkan dibawah pengawasan dan pentadbiran PPNJ yang diketuai oleh pengurusnya yang berdedikasi, En. Omar.


Saya sempat menyampaikan sedikit kata-kata peransang selaku penasihat Kelab LAD sebelum mereka menjamu selera makan tengahari. Saya juga menjalankan satu aktiviti yang dipanggil muhasabah diri kepada peserta dan ahli jawatankuasanya.


Alhamdulillah, pada pandangan saya program ini sedikit sebanyak telah mencapai objektifnya.

Wednesday, October 17, 2012

Majlis Konvokesyen Ke-49, UTM

Majlis Konvokesyen amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang bergelar sebagai mahasiswa. Ia merupakan suatu majlis yang meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pelajaran mereka. Bukan setakat pelajar yang bergembira tetapi ibubapa dan adik beradik merekapun turut sama bergembira. Gembira kerana anak kesayangan mereka telah berjaya membawa pulang segulung ijazah!

UTM telah melaksanakan Majlis Konvokesyen Ke-49 pada 13-16 Oktober 2012, bersamaan 27-30 Zulkaedah 1433H di Dewan Sultan Iskandar (DSI).


Sejumlah 5,304 graduan dari pelbagai jurusan telah menerima ijazah mereka. Seramai 116 orang telah berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah; 986 pelajar mendapat Ijazah Sarjana; 3,501 pelajar memperoleh Ijazah Sarjana Muda; dan 701 orang mendapat Diploma.

Pelajar-pelajar dari luar negara juga turut mendapat ijazah mereka. Dari 481 graduan luar negara, pelajar dari Iran merupakan graduan yang teramai iaitu seramai 171 orang graduan di peringkat Sarjana dan 25 orang di peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Graduan dari China menduduki tempat yang kedua iaitu seramai 70 graduan. Seterusnya dari Indonesia iaitu 46 graduan (Sarjana Muda 7 orang; Sarjana 27 orang; Doktor Falsafah 12 orang). Kemudian dari Nigeria seramai 29 graduan; Somalia seramai 21 orang, Pakistan seramai 19 orang, dan sebagainya. Keseluruhannya, 481 pelajar-pelajar dari 30 negara lain telah berjaya menamatkan pengajian mereka di pelbagai peringkat di UTM. Syabas dan tahniah kepada mereka!


Saya telah mendapat jemputan untuk menghadiri sesi keempat bagi meraikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pendidikan dan fakulti saya sendiri iaitu Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah. Dalam surat jemputan menyatakan bahawa saya perlu berada di DSI pada pukul 1.30 petang.


Saya keluar dari rumah sebelum pukul 1 lagi kerana ingin menunaikan solat Zohor berjamaah di Masjid Sultan Ismail (MSI). Isteri menanyakan samaada saya ingin makan tengahari dahulu. Saya menjawab bahawa makan tengahari disediakan (kerana melihat waktu jemputan ialah pada pukul 1.30 petang).

Selesai solat Zohor di MSI, sayapun bergegas ke DSI kerana ingin menepati masa 1.30 petang dan saya rasa, sayalah orang pertama yang mendaftar nama dalam komputer (untuk mengesahkan kehadiran).


Pandanglah kita ke kiri dan ke kanan dewan, kot-kot ada sedikit jamuan ringan untuk mengalas perut. Rupa-rupanya tiada apa kecuali dua tong air; satu berisi sirap dan satu lagi air masak. Syabas kepada UTM kerana mengambil langkah berjimat cermat!

Pada saya, jamuan tidak elokpun diberi kepada kami dikalangan pensyarah malah lebih bererti diberikan kepada ibubapa dan keluarga graduan yang datang dari jauh. Mereka lebih berhak diraikan walaupun dengan sebungkus nasi. Dan saya pasti kos untuk menempah nasi bungkus jauh lebih murah berbanding menyediakan  makanan 'buffet' kepada para pensyarah dan VVIP.


Selesai majlis sekitar jam 5 petang, kami diarahkan untuk minum petang di sebuah bilik yang dihidangkan dengan karipap dan kuih apam (kuih yang seperti orang Cina buat sembahyang tetapi dalam bentuk yang lebih 'cute'). Tahniah sekali lagi kepada UTM kerana mengambil langkah berjimat cermat!

Langkah berjimat cermat yang diambil ini diharapkan tidak hanya kepada kami tetapi seeloknya ia juga merentasi golongan atasan (VVIP). Amat tidak wajar jika kami yang sememangnya mendapat gaji dan elaun yang rendah dicatukan segalanya tetapi pihak atasan yang sememangnya mewah dengan elaun diberi segala-galanya.


Selepas minum petang (alhamdulillah rezeki Allah), kami terus ke tempat memulangkan jubah. Dan terus melangkah pulang ke fakulti.

Dalam perjalanan pulang, seorang sahabat saya berkata, "Semua nama pensyarah luar negara dimasukkan ke dalam buku konvokesyen tetapi kita yang telah berkhidmat 20, 30 tahun tiadapun nama dalam buku itu".

Saya hanya mampu tersenyum... Kita masih dijajah...

Produk tempatan masih dipandang enteng dan jenama luar masih kita agung-agungkan!

Tuesday, October 16, 2012

Memperbaharui Lesen P Anakanda

Lesen P adalah lesen yang diberi bagi tempoh 2 tahun setelah seseorang itu lulus ujian memandu kenderaan. P bermaksud 'probation' atau percubaan. Ini untuk memastikan seseorang itu memandu secara berhemah selama mana ia memegang Lesen Memandu Percubaan Malaysia. Dan sudah pastinya, ia bukan bermaksud kita boleh memandu secara 'gila-gila' apabila tempoh P itu tamat.

Setelah berakhirnya tempoh 2 tahun, barulah seseorang itu diberikan Lesen Memandu Malaysia.


Saya bertolak dari rumah sekitar pukul 6.20 pagi semalam dari Taman Pulai Utama dan sampai di JPJ sekitar jam 6.50 pagi. Saya rasa sayalah pelanggan pertama yang sampai. Tujuan saya bertolak awal ialah untuk mengelakkan dari kesesakan lalulintas di sepanjang perjalanan menghala ke Pasir Gudang.

Apa yang baiknya mengenai pejabat JPJ ini, ia mula memberi nombor dan beroperasi seawal jam 7.30 pagi.

Apabila nombor saya dipanggil, saya memaklumkan kepada pegawai bertugas bahawa saya ingin memperbaharui lesen memandu bagi tempoh 5 tahun. Satu tempoh pembaharuan yang maksimum bagi negara kita.


Berbeza dengan UK, apabila kita lulus ujian memandu kita akan diberi lesen yang akan tamat tempoh sehingga umur kita mengjangkau 60 tahun.

Di USA pula, lesen memandu perlu diperbaharui seperti di Malaysia tetapi kadarnya agak murah. Di USA juga yang mempunyai 50 buah negeri, setiap negeri mengeluarkan lesen memandu masing-masing. Dengan kata lain, hasil bayaran lesen memandu tadi akan masuk kepada kerajaan negeri.

Kalau tidak silap saya, jika seseorang itu berhijrah dari sebuah negeri contohnya, California ke sebuah negeri yang lain, contohnya, Arizona maka lesen memandu California itu hanya 'valid' untuk 3 bulan sahaja di Arizona. Pemandu tersebut hendaklah pergi ke DMV (Department of Motor Vehicle) di mana-mana bandar di Arizona untuk menukar lesen memandunya tanpa menjalani ujian memandu lagi. Apabila lesen memandu Arizona dikeluarkan maka lesen memandu California akan diambil oleh pihak DMV Arizona.


Ini adalah kerana lesen memandu di USA merupakan satu ID yang penting yang digunakan untuk pelbagai urusan.

Saya dulu pernah berhijrah dari California ke Arizona, kemudian ke Louisiana, kemudian ke Kansas, dan berpindah semula ke California. Untuk memiliki dan menyimpan lesen memandu dari pelbagai negeri tersebut sebagai kenangan, saya terpaksa menjalani ujian memandu bagi setiap negeri yang saya duduki. Dengan ini, saya dapat menyimpan lesen-lesen memandu setiap negeri tersebut.


Lesen memandu yang saya perbaharui untuk anak saya sepatutnya tamat tempoh pada 14 Oktober 2017 kerana untuk tempoh 5 tahun. Tetapi pihak kerajaan (JPJ) memanjangkannya sehingga tarikh hari lahir anak saya iaitu 14 Mac 2018. Terima kasih kerajaan (JPJ)!

Langkah ini amat wajar memandangkan ramai dikalangan kita yang terlupa bilakah lesen memandu mereka tamat tempoh. Dengan menyamakan tarikh tamat tempoh lesen dengan tarikh hari lahir, maka ia akan mengurangkan masalah kelupaan untuk memperbaharui lesen memandu kerana semua orang ingat akan tarikh lahir mereka. Jika pihak kerajaan dapat memanjangkan terus tempoh tamat sehingga ke umur 60 tahun seperti di UK, saya kira ia amat memudahkan dan sangat dialu-alukan oleh pelbagai pihak.

Saya selesai berurusan di kaunter tepat jam 7.45 pagi.

Wednesday, October 10, 2012

Qurban Anjuran FGHT

Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT), UTM, buat julung-julung kalinya akan melaksanakan ibadah qurban di perkarangan FGHT. Program ibadah qurban ini adalah anjuran Badan Keluarga FGHT.

Pihak AJK BKFGHT telah menetapkan tarikh 29 Oktober iaitu hari Isnin bagi tujuan yang murni ini. 29 Oktober merupakan hari tasyrik terakhir (13 Zulhijjah) bagi individu muslim menunaikan ibadah qurban.


Pada hari tersebut, 2 ekor lembu akan disembelihkan. Daging dan tulang akan dimasak secara gotong royong oleh semua staf dan pelajar FGHT. Selesai memasak, kita akan sama-sama menikmati juadah yang disediakan. Kalau tidak silap saya, menunya ialah nasi putih, daging masak kurma, sup tulang dan roti perancis. Secara tidak langsung, program seumpama ini akan merapatkan lagi ukhuwwah atau hubungan persaudaraan diantara pelajar dan staf FGHT.

Peserta-peserta qurban juga dibenarkan untuk mengambil 1/3 dari 1/7 daging lembu yang diqurbankan.


Pada hemat saya, program yang berbentuk sebegini elok dilaksanakan dengan lebih kerap lagi. Disamping kita menunaikan ibadah, kita juga dapat menjamu pelajar-pelajar yang mana mungkin ada diantara mereka yang sudah kehabisan duit pinjaman PTPTN dan terpaksa mengikat perut.

Pelajar-pelajar juga dapat diterap tentang ilmu penyembelihan, masak memasak, dan sebagainya. Ilmu yang tidak diajar di dalam bilik kuliah ini bakal dipraktikkan oleh pelajar apabila mereka keluar ke dunia nyata.


Saya yakin banyak lagi kebaikan yang boleh kita senaraikan. Antaranya memupuk semangat untuk berqurban bagi mereka yang belum pernah menjalani ibadah ini. Ia juga bakal menjadi contoh yang baik kepada pelajar-pelajar dan staf yang bukan Islam. Semangat bergotong royong yang kian pupus di bandar dapat diterapkan kembali, dan banyak lagi.

Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap anaknya Nabi Ismail AS menggambarkan bahawa Islam ini bukanlah agama Nabi Muhammad SAW tetapi agama Allah sejak dari zaman Nabi Adam AS lagi.


Suasana ini juga dapat menghilangkan rasa 'tension' atau 'stress' yang kian dihadapi oleh staf akademik yang mana mereka seringkali disarankan supaya mencapai KPI (Key Performance Index) yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya, saya amat mengalu-alukan kesediaan BKFGHT untuk melaksanakan proram ini dan diharapkan pada masa hadapan banyak lagi program yang menjalin gabungkan staf dan pelajar dapat dilaksanakan!

Monday, October 8, 2012

Musim Menjalani Ibadah Qurban Tiba Lagi...

Ibadah qurban menjelma lagi. Kita sebagai umat Islam amat digalakkan untuk melaksanakan ibadah ini.

Seperti biasa Qurban Kasih Ummah bagi tahun 1433H anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Aqsa Syarif Berhad menawarkan kepada kita untuk menjalankan ibadah qurban di tempat yang lebih memerlukan. Mereka menawarkan kepada kita untuk melaksanakan ibadah ini di 15 buah negara iaitu di Afghanistan, Bangladesh, Filipina, Indonesia, Iraq, Kemboja, Lubnan, Myanmar (Arakan), Palestin (Gaza), Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Thailand, Vietnam, dan di negara kita sendiri Malaysia.


Mereka berpengalaman selama 13 tahun dalam melaksanakan ibadah ini. Pada tahun ini, mereka mensasarkan sebanyak 550 ekor haiwan bagi tujuan qurban dan aqiqah.

Pengorbanan hanya dilakukan oleh orang yang terpilih oleh Allah SWT. Tiadalah kesanggupan melakukannya melainkan ke atas orang yang benar-benar bertaqwa dan juga bertawakkal kepada Allah sahaja.


"Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj; ayat 37).


Qurban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki 4 (al-An'am) pada hari Raya Eidul Adha atau hari-hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum ibadah qurban adalah sunat muakkad bagi orang yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.


Ibadah ini dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sanggup menyembelih anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih.


Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka berdua kepada perintah Allah lebih daripada yang lain. Lalu Allah telah menggantikan tempat nabi Ismail dengan seekor kambing (qibasy). Ibadah qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Antara hikmah melaksanakan ibadah qurban adalah;
* Melatih diri sanggup berkorban untuk perkara kebaikan.
* Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak.
* Tanda kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah.
* Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.
* Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
* Mengembirakan fakir miskin dengan pemberian daging qurban.
* Merapatkan silaturrahim di kalangan umat Islam.


Syarat-syarat sah ibadah qurban pula merangkumi;
+ Berniat qurban ketika menyembelih.
+ Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar segalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
+ Penyembelihan orang Islam.
+ Tidak terdapat kecacatan pada binatang qurban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
+ Binatang ternakan yang halal dimakan.
+ Binatang yang hendak disembelih mestilah sudah cukup umur.


Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan qurban adalah seperti berikut;
Binatang                                       Umur
a) Biri-biri/Kambing                      1 tahun atau lebih
b) Lembu/Kerbau                         2 tahun atau lebih
c) Unta                                         5 tahun atau lebih


Pembahagian daging qurban pula adalah seperti berikut;
i) 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
ii) 1/3 dimasak untuk jamuan ramai
iii) 1/3 untuk orang yang berqurban


Perkara-perkara sunat untuk diamalkan ketika melaksanakan ibadah qurban;
a) Membaca basmalah atau takbir
b) Selawat kepada Nabi SAW
c) Menyembelih pada waktu siang
d) Memilih binatang yang gemuk dan sihat
e) Disembelih oleh orang yang berqurban
f) Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat
g) Orang yang berqurban makan sebahagian daging qurban
h) Menggunakan alat sembelihan yang tajam


Marilah kita sama-sama mengerjakan ibadah qurban pada tahun ini, baik di negara kita mahupun di luar sana. Sekiranya kita ingin melaksanakan ibadah qurban melalui program "Qurban Kasih Ummah 1433H", maka bolehlah tuan-tuan dan puan-puan melayari laman sesawang www.ramadhan-qurban.org.


Akhir kata, marilah kita sama-sama mendoakan supaya pengorbanan kita untuk melaksanakan ibadah qurban ini diterima Allah dan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

IBADAH BUAT KITA, KEGEMBIRAAN BUAT MEREKA!!!

Saturday, September 29, 2012

Bantu Produk Muslim

Sejak kita dibangku sekolah, kita cuba membantu mereka yang beragama Islam dari segi mendapat perkhidmatan, membeli barangan dan sebagainya. Ia cocok dengan jiwa kita kerana orang-orang Islam tidak sewenang-wenangnya akan mengambil bahan haram untuk menghasilkan produknya.

Rata-rata orang Islam, walau sejahat manapun mereka seperti tidak solat atau tidak berpuasa malah ada yang berjudi dan minum arak tetapi mereka tetap jaga untuk tidak memakan babi atau bahan yang berkaitan dengan babi. Itulah budaya orang melayu...


Cuma kalau boleh dikatakan 'exception', satu kes semasa saya belajar di US dulu, ada seorang melayu ni, dia minum arak, berzina, dan tidak solat. So, katanya, alang-alang dia buat semua yang Allah larang, why not teruskan aje makan babi... Ini sangat-sangat jarang berlaku.

Yang selalu berlaku adalah seperti yang saya kata di awal tadi. Walau sejahat mana, walau seburuk mana, babi tetap satu benda HARAM kepada semua orang melayu.


Pada hari Selasa, saya ke Taman Sri Putri untuk membeli tiket bas ke KL. Apabila sampai di kaunter "Transnasional', kelihatan tiada petugas. Dan saya bertanya kepada pakcik dan makcik yang bertugas di kaunter sebelah.

"Dia keluar kejap. Nak pergi mana dik?", balas makcik tadi.

"Nak ke KL. Saya suka naik bas Transnasional kerana dia milik Bumiputra", balas saya.

"Oh... Itu pandangan pelanggan tetapi bagi kami penjual tiket bas... Transnasional dah lama jadi milik cina... kalau tak silap... cina Singapura", sambung pakcik pula.


"Ye ke?", tanya ku sambil memikir-mikirkan tentang Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) yang bersama-sama dengan Transnasional. Satu-satunya syarikat bas yang ada di Kelantan dan jelas terpampang milik melayu.

"Pakcik ada bas apa ke KL?", tanya ku.

"Causeway, Mara dan Maju. Maju milik Johor Corp", balas makcik pula.

"Oklah bagi saya bas Maju, pukul 3 petang, 29 September!", pinta ku.

Saya sebenarnya sudah banyak pengalaman dalam mencuba untuk membantu Bumiputera Islam. Baiki kereta, membeli di kedai runcit, membuat grill rumah, dan sebagainya. Banyak pengalaman yang mengajar bahawa niat murni kita pada awalnya berkesudahan dengan tidak menyenangkan hati kemudiannya. Dan akhirnya, timbul rasa penyesalan dan menyusahkan hati dan fikiran...


Tetapi perasaan ingin membantu perniagaan Islam masih menebal. Setidak-tidaknya, membantu mana-mana syarikat yang kita tahu mereka berupaya memberi perkhidmatan yang terbaik.

Apabila saya pulang dari tempat penjualan tiket, saya cuba google 'Transnasional' dan saya dapati Tan Sri Mohamad Nadzmi Salleh masih menjadi pengerusinya dan Transnasional adalah dibawah milik Nadicorp Sdn Bhd. Mana nama Cina Singapura itu?

Wednesday, September 19, 2012

Ukur Baju Di Badan Sendiri...

Peribahasa melayu begitu cantik sekali mengatakan bahawa kita perlu mengukur baju di badan sendiri. Ada sesetengah orang, kita nampak pemakaian baju dan seluar di badannya begitu cantik dan serasi. Kita ingin berpakaian seperti itu. Tetapi badan kita lebih gempal dan sudah pasti pakaian itu tidak dapat kita pakai. Jika dipakaikan juga maka ia pasti terkoyak!



Apa maksudnya? Maksudnya ialah setiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dgn kebolehan kita. Ada

juga yang berkata, maksudnya ialah kita hendaklah hidup sepadan dengan pendapatan kita.

Walau apapun maksudnya, kita hendaklah menjalani kehidupan dengan kemampuan yang seadanya. Jangan kita berlebih dalam berbelanja dan sebaliknya pula jangan kita bakhil!


Allah tidak suka orang yang boros dan juga orang yang bakhil.




Kita selalu berdoa dalam al-ma'thurat yang bermaksud; "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepadaMu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepadaMu dari sifat bacul dan kikir. Aku berlindung kepadaMu dari beban hutang dan penindasan orang".

Daripada Abu Sa'ied al-Khudri RA berkata: Pada suatu hari Rasulullah SAW telah masuk ke dalam masjid, tiba-tiba baginda terserempak dengan seorang lelaki ansar yang dikenali sebagai Abu Umamah, lalu Bagindapun berkata: Wahai Abu Umamah, mengapa aku lihat kamu duduk di dalam masjid sedangkan (sekarang) bukan waktu solat? Beliau menjawab: Wahai Rasulullah, aku sedang menghadapi masalah dan dibebani dengan hutang. Baginda SAW berkata: Mahukah kamu jika aku ajarkan sesuatu ucapan jika kamu baca nescaya Allah akan hilangkan masalah kamu dan menyelesaikan hutang-hutang kamu? Abu Umamah menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda SAW berkata lagi: Bacalah doa ini (di atas) setiap pagi dan petang. Akupun mengamalkannya lalu Allah telah menghilangkan masalahku dan menyelesaikan hutangku." Hadis riwayat Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya.




Dalam suasana teknologi begitu cepat berubah dan selalu 'updated', kita kadang-kadang terasa ingin mengikuti perkembangan terkini. iphone 5, samsung galaxy, ipad, ipod dan segala macam 'gadget' menggamit perasaan kita. Kita tidak mahu digelar sebagai seorang manusia yang jauh ketinggalan dalam teknologi terkini.

Tetapi apa yang penting untuk kita jawab ialah mampukah kita? Tidak terbebankah kita? Dan yang tak kurang penting juga ialah adakah ia satu keperluan atau satu kehendak? Jika ia merupakan satu keperluan maka 'by all means' kita wajib mendapatkannya tetapi mungkin kita terpaksa mengurangkan perbelanjaan yang kurang penting di sana sini.




Dan janganlah kita menjalani kehidupan seperti kata pepatah melayu, "Biar papa asal bergaya!"

Kita tak mampu untuk hidup papa...