Tuesday, March 30, 2010

Bertegur Sapa...


Saya rasa ramai juga yang saya kenal dikalangan 'orang-orang besar' UTM. Ini adalah kerana saya pernah berkhidmat dengan pejabat HEP, baik sebagai Felo mahupun Pengetua (1996 - 2007). Saya juga penah menjadi Perwakilan dalam Mesyuarat Agung Koperasi UTM beberapa kali (2003/2004, 2006/2007, 2009). Dan saya juga adalah Pegawai Staf PALAPES UTM (1998 - Kini).

Mengenali orang-orang besar bukanlah suatu kebanggaan kepada diri saya. Tiada apapun yang pernah saya minta kepada mereka. Untuk mendapat jawatan Pensyarah Kananpun adalah hasil usaha saya sendiri disamping rezeki yang telah disuratkan oleh Allah SWT dengan 3 kali permohonan.

Ingatlah, "Barangsiapa yang ingin menyakiti atau mencederakan kamu, tiada apa yang akan berlaku kepada kamu melainkan apa yang telah disuratkan oleh Allah SWT; Dan barangsiapa yang ingin memberi manfaat atau kebaikan kepada kamu, tiada apa yang dapat diberikan kepada kamu melainkan apa yang telah disuratkan oleh Allah SWT."

Berpegang kepada prinsip ini, kita tidak merasa takut atau gentar dan mengharapkan kepada sesiapa melainkan kepada Allah jua!

Pagi tadi saya pergi minum di Taman Sri Skudai dengan seorang sahabat. Kebetulan di situ, saya berjumpa dengan Ismail Hj Arshad, bekas Timbalan Pendaftar UTM yang sudahpun pencen beberapa tahun yang lepas.

Saya memaklumkan kepada beliau bahawa Cik Hajjah Lelawati bte Anuar yang juga mantan Timbalan Pendaftar UTM telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad lepas. Beliau tidak mendapat maklumat tentang berita ini.

Apabila beliau berlalu ingin meninggalkan gerai, beliau memaklumkan bahawa nasi dagang saya dan kawan saya telahpun dibayar...

Saya rasa itu adalah kelebihan kita menyapa orang, bukan saya kenal rapatpun. Saya juga pasti beliau tidak mengetahui nama saya... Walau apapun, mudah-mudahan rezekinya bertambah dan melimpah ruah...

Monday, March 29, 2010

Main Bola Tampar Mewakili Fakulti...


Sukan Antara Jabatan UTM bermula kembali... Sebenarnya, ia bermula semasa aku di Australia lagi. Apabila balik ke sini pada 19 Mac lepas, 'game' badminton sudah habis. So, aku 'missed' badminton...

Kawan-kawan ajak untuk 'join' main volleyball. Katanya, sebelum aku balik, depa dah belasah Fakulti Alam Bina (2-0).

Pada 23 Mac, kami telah bertemu dengan Fakulti Bioteknologi. Sebuah fakulti baru. Namun mereka hanya turun 5 orang... Jadi, kita dapat 'walk-over' kerana depa tak nak main.

Keesokannya (24 Mac), kita lawan Fakulti Sains. Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi (FKSG) sekali lagi menang (2-1) dan dapat masuk ke peringkat 'quarter final'.

Bila 'quarter final'? Petang esok (25 Mac) dan bertemu dengan pasukan yang kita tewas peringkat 'quarter final' tahun lepas, iaitu Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Pada 25 Mac 2010, FKSG telah ditewaskan sekali lagi oleh HEP dengan aggregat 2-0.

Sungguhpun tewas, aku merasa agak seronok melihat 'line-up' pemain-pemain FKSG. Hanya aku dan Hj Shaharudin yang berstatus veteran dan yang lain semuanya muda-muda. InsyaAllah, beberapa tahun akan datang FKSG bakal mencipta nama dalam acara sukan antara jabatan di peringkat UTM.

Pada 26 Mac 2010, akupun berurut dengan Hj Qamaruddin. Seorang muallaf yang telah membina kuil semasa zaman Hindunya dan sekarang membina Masjid di kampung halamannya di Indonesia.

Friday, March 26, 2010

Memerdekakan Minda...


Saya terbaca dalam Harakah Daily tentang satu artikel berbunyi 'Utusan biadab dan bodoh kepada Sultan Selangor - Zaid'. Di dalamnya juga disiarkan satu penulisan Datuk Zaid Ibrahim di blognya tentang 'Pagar Makan Padi'.

Kita sering mendengar peribahasa berbunyi 'Harapkan pagar, pagar makan padi'. Kita membina pagar supaya ayam, itik dan binatang lain tidak datang memakan padi yang dijemur. Kepercayaan kita kepada pagar begitu tinggi... Kalau tidak, masakan kita membuat pagar.

Padi yang menjadi makanan ruji rakyat malaysia dijagai begitu rapi. Sesetengah orang mengatakan padi ini sebagai 'security food'. Ramai tak selesa kalau tak boleh makan nasi sekurang-kurangnya sekali sehari.

Namun pagar yang diberi kepercayaan oleh masyarakat rupa-rupanya seperti musang berbulu ayam... Hanya baik di depan tetapi jahat di belakang.

Pagar tidak makan padi bersendirian. Dikongsi juga sesama mereka. Pagar tiada masalah membenarkan padi dimakan orang luar. Yang penting pagar masih berdiri teguh seperti pagar. Biarkan peranan pagar tidak berfungsi... Siapa peduli?

Pagar tidak kisah orang luar makan padi. Bahkan pagar menjemput orang luar untuk memakan padi secara terhormat. Biarlah orang berkata, 'Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan'. Biarlah... Penat berkata, berhentilah mereka...

Yang penting pagar mesti naik taraf... Dari pagar kayu reja bertukar menjadi pagar kayu cengal; dari pagar kayu cengal menjadi pagar simen atau besi.

Selagi pagar ini tidak dirobohkan, maka selagi itu pagar ini makan padi! Siapa berani meroboh pagar yang tegak berdiri dan ditampakkan seolah-olah menjaga dan melindungi padi? Tiada, tiada siapa yang berani...

Sesetengah orang bertanya, "Kenapa pagar berlaku demikian?" Umum memaklumkan bahawa sudah itu fitrahnya. Tiada lagi pagar yang tidak makan padi...

Wednesday, March 24, 2010

Gawatnya Negara Kita...


Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.


Ya Allah! Gawatnya masalah sosial negara kita! Kita bukan sahaja gawat dari masalah ekonomi tetapi masalah sosial juga turut gawat... 74,723 dari 214,033 bayi dari mereka yang terbabit adalah orang Islam, lebih kurang 30%!!! Dan trend menunjukkan bilangan mereka yang beragama Islam meningkat saban tahun; 17,303 (2009), 16,541 (2008), 16,100 (2007).

Sungguh menakut dan mengerikan... Cuba bayangkan jika Rasulullah (SAW) masih bersama kita, apa tindakan beliau? Masih bolehkah kita berdiam diri tanpa melakukan sesuatu?

Di Radio IKIM, selama 2 hari mereka membincangkan perkara ini. Setakat perbincangan dan selepas itu senyap sunyi kembali sehingga dibangkitkan lagi pada tahun depan?

Pada saya, jalan penyelesaian atau langkah pencegahan perlu dimainkan oleh semua pihak. Pihak yang paling asas ialah kedua ibubapa. Didiklah anak dikala mereka masih kecil. Berilah didikan agama, setidak-tidaknya dengan menghantarkan anak-anak kita ke sekolah agama. Apabila mereka dewasa, jagalah pemakaian anak-anak kita. Jangan biarkan mereka berpakaian yang menjolok mata. Seluar ketat, baju sendat, ditambah pula dengan berlubang di sana sini mengundang pemangsa!

Masyarakat kena peka! Jangan biarkan saja tanpa menegur anak-anak jiran atau kawan taulan. Dalam hal ini, biar kita suka jaga tepi kain orang! Itupun cara Islam yang sebenarnya, Addin Nun Nasihah!

Apabila nasi sudah menjadi bubur, nasihat sudah tidak berguna lagi!

Peringkat terakhir ialah pihak pemerintah. Tak usahlah lagi mengadakan atau menyokong program-program yang berunsur hedonisme. Jom Heboh ke? Pesta Sambutan 'Countdown' ke? Konsert Artis Barat yang sudah tentu berpakaian tidak cukup ela?

Susah macam ni, masyarakat jadi pening... Kita suruh mereka menjadi masyarakat berakhlak, masyarakat madani beridentiti ketimuran tetapi kita pula (pembesar-pembesar) menghadiri atau merasmikan program yang tidak senonoh...

Gejala ini bukan hanya berlaku dikalangan anak remaja!

Semasa saya di Sydney, ada seorang pensyarah sebuah IPTA di Malaysia (seorang doktor gigi) pergi untuk menyambung pelajaran dan membawa seorang anak kecil (berumur 7 bulan). Anak-anak yang besar ditinggalkan kepada suami di Malaysia. Kalau tidak silap, suami berkerja dengan Petronas.

Ketua Jabatan pensyarah tersebut turut pergi sama untuk beberapa hari. Ketua Jabatan ini juga merupakan kekasih pensyarah tersebut. Pensyarah tersebut telah meninggalkan anak kecilnya untuk dijagai oleh orang lain untuk beberapa hari kerana ingin tidur bersama kekasihnya! Astagfirullah...

Nauzubillahu min zaalik, anak-anak kita diajar oleh pensyarah yang berakhlak sedemikian.

Rabbana hab lana min azwa jina wa zurriyyaa tina qurra ta'a yunin waj 'alna lil muttaqina imama...

Tuesday, March 23, 2010

SMIH, Kebanggaan Kita Semua...

Kedudukan Keputusan SPM SMIH (Sekolah Menengah Islam Hidayah) 2010 di JOHOR BAHRU, JOHOR DAN NASIONAL
--------------------------------------------------------------------------
Prof Dr Tarmizi, suami pengetua SMIH, telah membuat analisis tentang pencapaian SPM SMIH. Dari apa yang dipaparkan di bawah, ia membuatkan kita berbangga! Berbangga kerana sekolah agama yang telah kami jadikan sebagai sekolah alternatif kepada sekolah kerajaan; baik sekolah berasrama penuh mahupun MRSM mampu bersaing.

Kita menghantar anak ke SMIH kerana ia adalah sebuah sekolah yang pembelajaran dan pengajarannya adalah holistik, mencakupi semua aspek duniawi dan ukhrawi.

Dari statistik di bawah, ini bermakna SMIH berada dalam golongan 3% teratas di antara sekolah-sekolah di Malaysia. Dalam kata lain, kalau mengambil kira sekolah swasta dan MRSM yang tidak disenaraikan oleh Kementerian Pelajaran, SMIH boleh dianggarkan berada dalam lingkungan 100 sekolah terbaik di Malaysia. Alhamdulillah.


10 teratas, Sekolah-sekolah di Daerah Johor Bahru (GPS);

1. Sekolah Tun Fatimah, STF 1.29 (no. 4, nasional)
2. SMK Infant Jesus Convent 1.40 (no. 9, nasional)
3. SMK Sultan Ismail, SIS 2.21
4. Sekolah Menengah Islam Hidayah, SMIH 2.24
5. SMK Mohd Khalid (20 pelajar) 2.35
6. SM Teknik Johor Bahru 2.65
7. SMK(P) Sultan Ibrahim, SIGS 2.72
8. SMKA Johor Bahru 2.94
9. Maktab Sultan Abu Bakar, EC 3.71
10.SMV Azizah 3.72


5 teratas, Sekolah-sekolah Agama di Negeri JOHOR (GPS);

1. Sekolah Menengah Islam Hidayah, SMIH 2.24
2. SMKA Maahad, Muar. 2.88
3. SMKA Johor Bahru 2.94
4. SMKA Segamat 3.16
5. SMKA Kerajaan Johor, Kluang 3.38

Menurut PM Dr Md Nor Bakar pula kategori sekolah KPM adalah seperti yang tersenarai di bawah;

Prestasi sekolah oleh KPM ialah mengikut nilai gred purata sekolah (GPS):

Cemerlang (GPS: 0 - 2.25)
Baik (GPS: 2.26 - 4.50)
Memuaskan (GPS: 4.51 - 6.75)
Berpotensi (GPS: 6.76 - 9.00)

Jelaslah bahawa SMIH dengan GPS 2.24 adalah termasuk dalam kategori cemerlang (walaupun hampir 'borderline'!!).

Untuk makluman, berdasarkan keputusan SPM 2009 hanya 66 buah sekolah sahaja (daripada lebih 2000 sekolah Kementerian Pelajaran) yang mencapai kategori cemerlang, satu kedudukan yang sangat sukar untuk dicapai, manakala yang lain, baik 278 sekolah, memuaskan 1654 sekolah dan berpotensi 143 sekolah.

Ini bermakna keputusan akademik SMIH adalah amat baik! Pencapaian akademik ini digandingkan pula dengan kecemerlangan sahsiah, akhlak dan tarbiah pelajar yang sentiasa diberi perhatian berat oleh para uztaz dan uztazah kita di sekolah akan meningkatkan lagi kualiti pelajar. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal.

Friday, March 19, 2010

Touch Down Di KLIA...

Perjalanan dari Sydney ke KLIA mengambil masa lebih kurang 7 jam setengah. Perjalanan yang melawan perjalanan matahari... Bermula dari jam 1540 di Sydney dan bergerak perlahan-lahan ke Malaysia. Perjalanan yang sentiasa terang dengan cahaya matahari... Tiba di KLIA jam 2045.

Kalau masa pergi dulu, perjalanannya seiring dengan pergerakan matahari.

Tiba di Senai airport keesokannya, hampir jam 1200 tengahari.

Banyak perkara terpaksa dilunaskan apabila tiba di Malaysia. Biasalah, sebulan tinggalkan bumi Malaysia yang tercinta...

Ada berita baik, dan ada yang kurang baik! Semuanya ingin menguji tahap kesabaran dan keimanan...

Sempat juga berborak dengan kawan lama semasa di Kuala Lumpur sebelum menaiki 'connecting flight' ke Johor Bahru. Antaranya mengikut pandangan beliau, Malaysia akan berkurangan 'Foreign Direct Investment' (FDI) kerana kes DSAI. Banyak negara barat akan menarik balik 'investment'.

Lihat saja pendirian 50 Ahli Parlimen Australia yang menggesa agar kes Anwar digugurkan demi untuk menegakkan prinsip demokrasi. Perkara yang sama dialami dengan negara Myammar (dulu dikenali sebagai Burma) kerana tindakan yang dibuat ke atas bekas pemimpin Burma Aung San Suu Kyi.

Tambah kawan saya lagi, "Kalau dulu semasa kita belajar Ilmu Alam atau Geografi, Rangoon merupakan salah sebuah pelabuhan yang terkemuka. Sekarang dimana tahapnya? Kalau tidak diboikot oleh negara barat, pasti ia masih boleh bertahan..."

Saya hanya mendengar hujah beliau... Mungkin ada betulnya! Kita sekarang hidup dalam 'global village', atau sesetengah orang memanggilnya 'borderless world'.

Setiap apa yang berlaku di satu-satu negara bakal memberi impak kepada negara yang lain. Lebih-lebih lagi, sekarang ini 'information travels very fast!' Taip aje dan kemudian 'send', seluruh dunia akan mengetahuinya...

Kawan saya ialah seorang usahawan. Bisnes kawan saya agak kurang baik pada tahun lepas, 'getting better' tahun ini, dan 'will get even better next year'. Begitulah kata atau 'prediction' beliau.

Beliau mempunyai beberapa orang pekerja dalam syarikatnya. Ada yang 'performed' dan ada yang tidak 'performed' langsung. Tetapi naluri hati kawan saya agak lembut. Beliau tidak sampai hati untuk mengenepikan pekerja yang kurang mencapai KPI yang telah ditetapkan. "Biarlah kita sama-sama makan sedikit sebanyak dari apa yang syarikat telah berjaya mendapat keuntungan", jelas kawan saya lagi.

Thursday, March 18, 2010

Ada Siaran Radio Islam Di Sydney...


2 hari lepas, saya cuba pasang radio 'hand phone'... Tukar punya tukar 'channel' terdengar suara orang mengaji Al-Quran. Aik, ini macam radio IKIM aje... Selesai mengaji, ada satu ceramah yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris.

Penceramah ini (lupa namanya) menjelaskan tentang hubungan ibubapa dengan anak-anak (tarbiyyatul aulad) yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Lebih-lebih bagi mereka yang tinggal di bumi Australia ini.

Ada 2 perkara yang menangkap hati saya dari ceramah ini. Pertama, mengenai kisah seorang petani miskin di Egypt.

Petani ini berhempas pulas mengumpul wang. Akhirnya, apabila wang sudah mencukupi, si petani ini memanggil anaknya dan memberi wang tersebut kepada anaknya sambil berkata, "Pergilah kamu belajar di Universiti Al-Azhar!" "Aku berharap engkau akan menjadi orang yang berguna kepada masyarakat", tambahnya lagi.

Setelah beberapa tahun berlalu, anaknyapun tamat belajar. Suatu hari, anaknya menaiki mimbar dan memberi khutbah. Mata si bapa bergenang air mata melihat anaknya memberi khutbah.

Kawan si petani di sebelah bertanya, "Kenapa kamu mengalir air mata melihat anakmu berkhutbah? Adakah engkau merasa bangga?"

"Tidak!", jawab si petani. "Aku merasa ingin belajar dan menjadi orang yang berilmu seperti anakku", sambungnya lagi.

Si petani tadi mempunyai kecekalan hati untuk belajar dikala umurnya sudah menjangkau 50 tahun.

Alhamdulillah, dari tahap tidak tahu membaca dan akhirnya beliau juga berjaya memasuki Universiti Al-Azhar. Akhir sekali, penceramah menceritakan bahawa si petani tadi berjaya memegang jawatan yang agak tinggi di Universiti Al-Azhar.

Perkara kedua yang ditekankan penceramah ialah mengenai kebolehan kita bercerita kepada anak-anak. Anak-anak memang suka mendengar cerita... Cerita yang didengar, kadang-kadang diingati sehingga mereka besar.

Oleh itu, kita sebagai ibubapa perlu belajar bagaimana untuk bercerita kepada anak-anak. Sudah pasti cerita yang ingin kita berikan kepada anak-anak adalah cerita benar. Jangan kita bercerita dongeng yang tiada asas kepada mereka.

Sebelum kita pandai atau mahir bercerita, kita bolehlah menggunakan buku-buku dan membacanya kepada anak-anak kita. Lama-kelamaan, insyaAllah kita akan mahir bercerita.

Wednesday, March 17, 2010

Alhamdulillah Dapat Menginap Di Malaysia Hall Sehari Lagi...

Kita merancang, Allah merancang dan Allahlah sebaik-baik Perancang. Alhamdulillah, aku dapat menyambung penginapan sehari lagi di Malaysia Hall.

Orang yang sepatutnya datang (2 famili) tidak mahu untuk duduk berasingan dengan isteri. Mereka mahu 2 bilik!

Mereka tidak mahu, suaminya duduk sebilik dengan lelaki lain dan begitu juga isteri tidak mahu berkongsi dengan pelajar wanita lain.

Jadi dapatlah semalam lagi tinggal di sini. Kalau tidak, terpaksa pergi mencari motel atau tempat penginapan 'backpackers'.

Esok flight balik ke Malaysia, jam 1530. Sampai di KLIA lebih kurang 2030 dan terpaksa duduk kat airport untuk menunggu flight ke Senai jam 1000 pagi besoknya. Hendak pergi ke rumah saudara mara di KL, takut menyusahkan mereka...

Alhamdulillah, jaulah ke Australia dan New Zealand telah terlaksana. Cuma yang penting nanti ialah untuk fokus menulis mengikut saranan dan cadangan dari para profesor yang dijumpai.

Banyak juga kerja menunggu di UTM. 'Progress report' PhD untuk semester ini belum hantar lagi, 'report' perjalanan ke sini perlu dihantar ke HRD dan Bendahari, borang permohonan kemasukan ke IPT Angah perlu dilihat juga...

Walau bagaimanapun, yang penting sekali ialah dapat balik Malaysia! Sebulan di Australia dan New Zealand terasa cukup lama.

Dua tahun lepas, di Northern Ireland selama 2 bulan setengah tidak terasa seperti ini! Mungkin kerana di Belfast ada 'car boot sale' setiap hujung minggu. Dapat membeli 'toys' dengan harga 20P, 30P, 50P atau satu pound setiap satu terasa begitu menghiburkan. Pembelian yang mempunyai 'connection' dengan anak-anak.

Di Australia dan New Zealandpun ada juga, mereka paggil 'sunday market'. Tetapi harga barang-barang 'second hand' mereka Aus$5 atau NZ$10. Lebih mahal lagipun ada...

Ia bukan berkonsepkan untuk mengosongkan barangan yang tak terpakai di rumah masing-masing tetapi lebih kepada perniagaan untuk mendapatkan keuntungan.

Apapun, Selamat Tinggal New Zealand dan Selamat Tinggal Australia...

Tuesday, March 16, 2010

Beberapa Pengajaran Yang Boleh Dilakarkan...

Kita digalakkan untuk mengembara bagi melihat penciptaan Allah SWT. Ini memberi banyak pengajaran bagi mereka yang berfikir. Berjalan bukan sekadar berjalan tetapi cuba 'relate' dengan tuan punya dunia!

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik. (Ali-Imran;14)

Beberapa perkara yang menjadi trend di Australia dan New Zealand ialah yang pertamanya dari segi tattoo. Rata-rata masyarakat di dua negara ini ber'tattoo'. Dari sekecil-kecilnya, samaada di tangan atau lengan sehinggalah ke seluruh badan.

Kedua, budaya 'piercing' atau dalam bahasa melayu 'bertindik'. Ramai sekali mereka yang bertindik. Kalau tidak di telinga, di hidung dan di mulut juga ada... Sesetengahnya bertindik di lidah, di kening dan di badan.

Ketiga, dari segi pemakaian baju. Masyarakat perempuan di sini begitu ghairah untuk memakai baju T-Shirt yang lehernya boleh memuatkan 2 atau 3 kepala orang!

Mungkin boleh saya katakan sama seperti masyarakat perempuan di IPT kita yang suka memakai 'jeans' sendat. Tidak kira yang kurus melidi atau yang gemok gedempol... Seronok mereka berjalan dalam 'jeans' yang mengikut potongan badan mereka. Acap kali saya memberitahu rakan-rakan pensyarah untuk menegur secara berhemah.


Keempat, masyarakat barat sanggup melakukan apa saja bagi mencapai matlamat mereka tanpa ada batas tatasusila, dan nilai agama. Pada 3 minggu lepas, 5,200 manusia sanggup bertelanjang bulat di Sydney Opera House. Tua, muda, lelaki, perempuan, semua ada!

Mereka bertelanjang supaya 'photographer' dari USA, Spencer Tunick dapat merakamkan satu gambar telanjang teramai yang pernah diambil. Katanya, ini adalah simbol keterbukaan dan 'freedom' negara Australia yang tidak menindas mana-mana pihak...

Gambar telanjang beramai-ramai itu telah dinamakan "Mardis Gras: The Base".

Kelima, masyarakat di New Zealand dan Australia meletakkan 'trustworthy' begitu tinggi sekali nilainya. Contohnya, seperti di pasaraya, pembeli boleh mengendali sendiri proses pembayaran barangan di kaunter (self check-in) tanpa ada syak wasangka dari pihak penjual atau pekedai.

Keenam, masyarakat di sini rajin bersenam. Kalau hari minggu, di pagi hari lagi sudah penuh kereta di tepi taman rekreasi. Mereka meletakkan kenderaan mereka di situ sebelum menjalankan aktiviti riadah. Ada yang berbasikal, ada yang berlari, ada yang berjalan, malah ada yang berkuda.

Di hari kerjapun, ramai yang beriadah. Mungkin mereka berkerja mengikut 'shift'. Ada yang muda, ada yang tua, ada lelaki, dan ada perempuan...

Ketujuh, sebutan perkataan 'Thank You' kepada pemandu sudah menjadi darah daging mereka apabila ingin turun dari bas.

Apa yang tidak elok yang diperkatakan di atas, lambat laung akan menjadi turutan anak muda kita. Kita memang mudah meniru tetapi kerapnya kita meniru yang tidak baik.

Langkah-langkah yang sewajarnya (seperti teguran ibubapa kepada anak-anak) perlu diambil supaya kita tidak mudah meniru perkara-perkara yang bertentangan dengan amalan agama dan tatasusila budaya kita...