Monday, March 1, 2010

Pertemuan dengan Prof Chris Eves...

Kami menaiki bas bernombor 116 dari Moorooka ke Queensland University of Technology (QUT) untuk berjumpa dengan Prof Chris Eves. Kami perlu cepat sampai ke pejabatnya kerana Chris mempunyai temujanji lain pada pukul 3.30 petang.

Semasa di 'bus stop', kami menanyakan makcik yang juga sedang menunggu bas samaada bas 116 akan ke QUT atau tidak? Beliau menerangkan bahawa bas 116 tidak akan ke QUT tetapi kita perlu berhenti di Adelaide St., kemudian berjalan kaki ke QUT.

Apabila sampai di Adelaide St., kami tersesat jalan. Sepatutnya kita ke QUT, kampus Gardens Point tetapi kita telah berjalan ke kampus Kelvin Grove.

Saya menelefon saudari Najwa Adnan, bekas pelajar saya yang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang "construction management" di QUT. Beliau merupakan staf USM. Najwa (Wawa) turun ke Adelaide St. untuk menunjukkan jalan kepada kami.

Perbualan kami dengan Prof Eves tidak begitu lama tetapi cukup untuk memberi sedikit idea mengenai halatuju kajian kami. Saya dan saudara Mus akan kembali menemui beliau pada pagi Rabu ini. Pada sebelah petangnya pula, beliau mempunyai kelas dari pukul 1 hingga 5 petang. Minggu ini adalah minggu kedua semester bermula.

Pada hari Khamis, kami dan beberapa pelajar QUT akan membentangkan kajian masing-masing dalam kolokium yang dirancangkan oleh Prof Eves.

Setelah selesai dengan Chris, kami sempat minum kopi dan memakan kentang 'wedges' bersama Wawa di kafe QUT.

Semasa Wawa di tahun pertama di UTM, saya telah membawa beliau dan rakan-rakan sekelasnya melawat sambil belajar ke Penang Development Corporation (PDC), Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP). Pada masa itu, beliau yang berasal dari Pulau Pinang telah mengajak kami semua untuk menjamu selera di rumahnya. Wawa akan melangsungkan perkahwinan pada bulan Oktober nanti.

Kami balik semula ke rumah dengan menaiki bas bernombor 116 dari Maters Hospital. Malangnya, saya menyangka kita telah sampai ke destinasi dan beredar turun dari bas. Rupa-rupanya masih jauh, 3.6km lagi dari rumah!

Kami menunggu semula bas tetapi bas tidak juga muncul! Setelah lebih sejam menunggu, kami pulang dengan menaiki teksi...

No comments:

Post a Comment