Tuesday, October 30, 2012

Membuat Sedikit Peraturan Supaya Hati Kita Tenang Semasa Solat Sunat

Mengerjakan solat di masjid nampaknya semakin menjadi pilihan utama bagi kebanyakan kita. Siapa yang tak mahu mendapat ganjaran pahala yang lebih?

Daripada  Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda : “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.”


Walau bagaimanapun, bilangan mereka yang pergi ke masjid boleh dipertingkatkan lagi. Seelok-eloknya biarlah masjid yang begitu indah, besar dan luas di bumi Malaysia ini dimakmurkan dengan sebaik-baiknya.

Kadang-kadang apabila kita ke masjid yang tersergam indah, yang menelan belanja jutaan RM untuk membinanya hanya dipenuhi dengan satu atau dua saf sahaja. Di waktu subuh lagilah... Sungguh mendukacitakan!


Kesedaran untuk bersolat jamaah di masjid nampaknya semakin rancak berbanding puluhan tahun yang lalu. Tidak lagi mereka yang ke masjid hanya dikalangan mereka yang pencen sahaja tetapi sudah ramai anak muda yang hatinya begitu bertaut dengan masjid.

Isu yang ingin saya timbulkan di sini ialah tentang berapa lama sesudah azan, muazzin sesebuah masjid itu melaungkan iqamah?


Ia nampak remeh tetapi kadang-kadang apabila kita sedang menunaikan solat sunat maka tiba-tiba si muazzin melafazkan iqamah maka kitapun tak sempat untuk menyempurnakan solat sunat. Memang solat sunat lebih elok dilakukan dengan banyaknya di rumah.

Tetapi maksud saya ialah seperti solat tahiyyatul masjid, solat sunat fajar dan sebagainya.

Sesetengah masjid yang prihatin, mereka melihat dan memandang ke kiri kanan jika ada para jamaah yang masih melaksanakan solat sunat maka ditunggu dulu sebelum diteruskan dengan iqamah. Sesetengah masjid pula, muazzinnya lebih 'brutal' nampak seperti tidak mempedulikan, bila dia datang terus diqamatnya!


Saya merasa cukup seronok apabila sesebuah masjid itu menetapkan waktu iqamahnya. Contohnya, ada masjid yang menetapkan waktu iqamahnya 10 minit selepas masuk waktu (azan). Bila ada ketetapan begini, kita boleh agak samaada kita masih sempat untuk mengerjakan solat sunat atau tidak.

Kadang-kadang bila tidak ada ketetapan yang dibuat, apabila kita tiba di masjid kita merasa serba salah samaada mahu mengerjakan solat sunat atau tidak. Bagi masjid yang mempunyai bilal yang berhemah kita akan merasa lebih tenang. Mereka menunggu sehingga kita habis solat sunat.


Ya betul, memang kita boleh berhenti mengerjakan solat sunat bila-bila aje apabila iqamah dilaungkan tetapi kita merasakan seperti ada sedikit ketidakadilan. Kalau imam atau khatib dan sebagainya yang mengerjakan solat sunat mereka tunggu tetapi kalau rakyat biasa mereka teruskan iqamah...

Pada pandangan saya, dengan menetapkan waktu iqamah seperti 10 minit selepas azan dan sebagainya akan membuat hati kita lebih tenang untuk kita 'calculate' samaada kita masih sempat untuk bersolat sunat atau tidak?


Dengan berbuat demikian juga, kita boleh mengagak jika kita masih berada di rumah samaada kita masih sempat untuk datang ke masjid untuk berjamaah.

Sesetengah masjid pula tidak ingin meletakkan waktu iqamahnya kerana kadang-kadang imamnya sendiri masih belum sampai walau 10 atau 15 minit selepas waktu azan. Ini berlaku terutamanya di waktu solat subuh.

Saya juga pernah 'terpaksa' naik menjadi imam kerana imamnya tidak datang pada waktu subuh!!!

Monday, October 29, 2012

Terima Kasih Semua...

Assalamu'alaikum wrth. wkth. 
Saya mewakili Pengerusi Badan Keluarga FGHT, Pengarah Program Ibadah Qurban, dan AJK BKFGHT yang lain ingin merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam program ibadah qurban yang julung-julung kalinya kita adakan di FGHT. 
Terlampau ramai untuk dicoretkan nama satu per satu, dari jaga lembunya, tukang lapahnya, tukang potong daging dan tulangnya, tukang masaknya, tukang membeli peralatan memasaknya, tukang memotong bawangnya, tukang pembersihannya dan lain-lain lagi... Tidak ketinggalan juga kepada peserta-peserta qurban kerana tanpa mereka kita tidak dapat menumbangkan 2 ekor lembu dan seekor kambing.

Makanan yang dimasak oleh tukang-tukang masak kita memang best! Sehingga menjilat jari...

Semoga objektif program ini untuk merapatkan hubungan sesama staf dan mahasiswa tercapai. Dan yang paling afdal, kita sama-sama mendoakan semoga ibadah qurban kita ini diterima Allah SWT. Masing-masing dari kita mempunyai saham masing-masing di sisi Allah walaupun kita hanya membantu menjayakan program ini.
Saya juga selaku Ketua Biro Kerohanian, BKFGHT ingin memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya dan AJK BKFGHT yang lain sekiranya ada terkasar bahasa dan mengguris hati mana-mana pihak sepanjang program berlangsung pada hari ini.
Kita mendoakan supaya program seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan. 

Friday, October 26, 2012

Eid Mubarak. Taqaballahu Minna Waminkum...

Seluruh umat Islam menyambut hari raya Eid-ul-Adha pada hari ini. Semalam kita sama-sama mengerjakan ibadah puasa pada hari Arafah. Seperti yang kita maklum pahala orang yang berpuasa di hari Arafah ialah Allah mengampunkan dosa-dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Begitu besar sekali pahalanya.


Maksud hari Arafah ialah hari dimana para hujaj berada di padang Arafah dan berwukuf di sana.

Kita sebagai manusia yang berakal seharusnya merebut peluang apabila adanya tawaran istimewa dari Allah SWT. Kalau kita tidak terpanggil dengan tawaran-tawaran seumpama itu maka amat rugilah kehidupan kita.


Dua bulan yang lepas, kita ditawarkan untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal disamping berpuasa sebulan di bulan Ramadhan untuk mendapat pahala berpuasa setahun.

Di bulan Ramadhan pula kita ditawarkan dengan beribadat di suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam Lailatul Qadr!


Begitu banyak sekali pelawaan dan tawaran yang diberikan oleh Allah SWT.

Kita pula si pendengar, adakah terasa terpanggil? Atau sekadar tahu dan maklum saja dan belum terasa untuk mengambil peluang yang ditawarkan...

Alangkah ruginya kita sekiranya membiarkan semua tawaran berlalu begitu saja tanpa membuat partisipasi.


Yang berlaku hari ini sehingga berakhirnya hari tasyrik ialah berqurban. Kita disunatkan untuk berqurban pada hari raya (10 Zulhijjah) dan pada 3 hari berikutnya (11 hingga 13 Zulhijjah). Jika kita masih merasa berat untuk berqurban maka kita kena membuat muhasabah diri.


Di dalam khutbah hari ini, Khatib membandingkan di antara harga sebahagian dari 7 bahagian qurban iaitu RM450 dengan jumlah langganan ASTRO yang kita buat untuk setahun. Kalau RM450 terasa begitu berat untuk kita membayar satu bahagian dari 7 bahagian qurban maka bayaran untuk kita menonton TV ASTRO sepatutnya lebih-lebih lagi terasa beratnya.


Tetapi ASTRO ok... sebab kita bukan bayar selepuk tujuh lapan ratus. Kita bayar bulan-bulan RM70 atau RM80.

Itulah hujjah kita... Sanggupkah kita memberi hujjah itu di hadapan Allah nanti?


Akhirnya, ingin saya nyatakan di sini bahawa kehidupan kita terlalu banyak tawaran-tawaran istimewa. Bukan setakat tawaran istimewa untuk membeli belah tetapi tawaran istimewa untuk kita merebut peluang pahala akhirat.


Rebutlah selagi usia masih ada...

Wednesday, October 24, 2012

Perihal Mengambil Kad Pengenalan Anak...

Petang, sekitar jam 2.05pm, aku, Kak Ngah dan Asmaa bertolak ke Jabatan Pendaftaran Negara, Kulai, Johor. Tujuannya ialah untuk mengambil kad pengenalan Kak Ngah dan Kak Long yang baru.

Apabila tiba di sana, kamipun mengambil nombor; 2119 dan 2120. Pelanggan di pejabat ini agak ramai. Ada yang ingin membuat kad pengenalan baru dan ramai juga seperti kami yang hanya ingin mengambil kad pengenalan yang sudah siap.


Nombor yang dipanggil baru 2111, jadi sempatlah kami berehat sambil memerhati gelagat manusia di dalam pejabat.

Ada seorang berbangsa cina, yang lebih kurang sebaya denganku. Dia agak resah kerana agak lama terpaksa menunggu untuk membuat kad pengenalan baru untuk anaknya.

"Tadi ada olang bagitau wa... kejap aje", ujarnya kepadaku. Aku melihat nombornya dan cuba congak dengan nombor yang dipaparkan sekarang, ada lebih kurang 17 pelanggan lagi sebelum nombornya naik. "You kena tunggu lebih kurang 40 minit atau sejam lagi", maklumku kepadanya.


Kemudian kaunter 4 memanggil nombor kami, 2119. Kamipun beredar ke kaunter.

Kak Ngah menunjukkan surat dan kad pengenalan lamanya kepada pegawai bertugas. Setelah menaip sesuatu ke dalam komputer, pegawai tadipun membuat carian kad pengenalan di dalam laci yang menempatkan semua kad pengenalan yang sudah siap.


Sambil memegang kad pengenalan baru Kak Ngah, pegawai tersebut bertanya, "Ada buat yang kakak sekali ya?". Mungkin dia terpandang I/C Kak Long semasa membuat carian I/C Kak Ngah di dalam laci tadi.

Kak Ngah mengiakan sambil menghulur surat Kak Long. "I/C lama dia tak bawa?", tanya pegawai tersebut.

Kami mengatakan bahawa Kak Long membawanya ke Mesir. Disamping itu kami menjelaskan bahawa Kak Long akan tamat belajar 2 tahun setengah lagi.

"Kita hanya menyimpan kad pengenalan baru selama setahun setengah sahaja kemudian kami musnahkan", jelas pegawai tersebut.


Kebetulan ada seorang pegawai wanita lain yang melalui di belakang pegawai tersebut dan dia menjelaskan keadaan kepadanya. Pegawai wanita tadi masuk ke bilik. Rasanya pergi mendapat pandangan bosnya.

Kemudian dia keluar. "Kalau encik hendak ambil I/C anak tanpa I/C lama kita kenakan bayaran RM40. Kita kata hilang", jelasnya.

Aku malas untuk memberi pandangan atau pendapat lagi.

Setelah pegawai di kaunter mengembalikan I/C lama yang ditebuk 2 lubang (menandakan tidak 'valid' lagi) dan I/C baru kepada Kak Ngah, kamipun berlalu pergi.


Kalau aku ingin 'argue'..., Adakah kad pengenalan lama perlu diserahkan hanya untuk dibuat lubang kemudian menyerahkan kembali kepada pemunya?

Mungkin juga kalau tak diserah untuk dibuat lubang, Kak Long boleh jual I/Cnya kepada rakyat asing yang ingin menjadi penduduk tetap negara kita.



Aku juga tidak menafikan kesilapan Kak Long yang tidak meninggalkan I/Cnya.

Tetapi peraturan yang memerlukan seseorang menunjukkan kad pengenalan sebelum menaiki pesawat satu lagi perkara.

Walau bagaimanapun aku akur dengan keputusan yang dibuat. Mungkin itu peraturannya dan tiada lagi budi bicara...

Tuesday, October 23, 2012

Abang Dah Selesai Peperiksaan STAM Hari Ini...

Kak Ngah dah balik bercuti di rumah semalam dari UIA... bercuti sempena Hari Raya Aidhil Adha.

Abang baru selesai Peperiksaan STAM hari ini dan akan pulang ke rumah dari Pusat STAM IKRAM (PSI) Kajang. Kesian juga padanya kerana perlu membawa balik semua perkakas dan pakaian sepanjang penginapannya di PSI. Macam mana ya? Nak pergi ambil dengan Kancil, rasa tak larat nak 'drive'...


Tak apalah, dia lelaki! Mungkin ada idea yang terfikir olehnya sebagai seorang yang meningkat dewasa. Dah 18 tahunpun umur abang.

Aku pada usianya dulu, seorang diri pergi ke KL untuk mengambil biasiswa JPA, kemudian terbang ke USA. Budak kampung pertama kali ke KL tanpa teman... Kalau hendak difikirkan boleh mengalir air mata. Apakan daya, ibu ayah sudah tua pada masa itu. Adik beradikpun tak belajar setinggi mana...


Banyak pengalaman yang aku timba dan begitulah harapanku kepada anak lelaki yang pertama ini. Semoga pengalaman dan ilmu yang dituntutnya bakal menerangi dan memberi petunjuk kepada masa depannya.

Aku pernah berkata kepada anak-anak bahawa aku tidak punya harta tetapi sekiranya mereka ingin belajar... insyaAllah akan aku usahakan untuk mereka. Teringat kata-kata pepatah Inggeris; "If you give man a fish, it will be enough for a day but if you teach him how to fish, it will suffice (he won't be hungry) for the rest of his life".


Itulah yang dapat abah dan ummi bekalkan kepada kamu, wahai anak-anakku.

Kak Long di Cairo University, Mesir, juga ada peperiksaan hari ni. Anak sulungku ini telah menghantar sms tengahari tadi yang berbunyi; "Salam abah ummi. Kejap lagi Kak Long exam. Nak minta tolong doakan sangat-sangat dapat soalan mudah dan patient yang baik dan Kak Long tak blur. Jzkk".


Mungkin Kak Long diminta untuk memeriksa pesakit dalam peperiksaannya ini.

Apapun ketahuilah anak-anakku bahawa doa dari abah dan ummi sentiasa buat kamu. Dan doa kami yang merangkumi kehidupan kamu bukan setakat di dunia ini malah nun di akhirat sana! Semoga mereka berjaya di dunia dan di akhirat, amin!!!

Monday, October 22, 2012

Kem Pemantapan Jati Diri LADS 2012

Kem motivasi untuk pelajar-pelajar tahun pertama dari Kursus Pentadbiran dan Pembangunan Tanah telah dilaksanakan dengan jayanya pada 19 hingga 21 Oktober 2012.


Pelajar-pelajar ini dibimbing dan diselia oleh 'seniors' dari tahun 2, 3, dan 4. Mereka memulakan program di Kolej Tun Dr Ismail pada hari Jumaat dan kemudiannya bergerak ke Lembah Bio-Tek, Kota Tinggi, Johor pada hari Sabtu. Program berakhir pada hari Ahad dimana mereka bergerak pulang ke kampus dari Lembah Bio-Tek sekitar jam 5 petang.


Pengarah program bagi kem pemantapan ini ialah Saudara Wan Muhammad Yusuf bin Ahmad, pelajar tahun 3 SGT.

Banyak aktiviti yang telah mereka lalui. Antaranya ialah aktiviti trekking, berakit, 'water confident', 'team building games', mengenali kambing (memerah susu dan meminumnya), berkenalan dengan burung hantu, dan bermacam-macam lagi.


Rata-rata pelajar kelihatan begitu seronok dan berpuas hati dengan program yang disusun.

Keseluruhan pelajar yang menyertai program ini adalah seramai 60 orang. Mereka dikenakan bayaran yuran sebanyak RM70 seorang bagi menampung kos penginapan di khemah, makan, dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.


Pada pagi tadi mereka dijamu dengan sebiji kelapa pandan muda untuk setiap orang oleh pihak pengurusan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ). Pada hari sebelumnya, mereka telahpun dijamu dengan nangka madu dan buah belimbing. Lembah Bio-Tek yang keluasannya mengjangkau ratusan ekar telah diletakkan dibawah pengawasan dan pentadbiran PPNJ yang diketuai oleh pengurusnya yang berdedikasi, En. Omar.


Saya sempat menyampaikan sedikit kata-kata peransang selaku penasihat Kelab LAD sebelum mereka menjamu selera makan tengahari. Saya juga menjalankan satu aktiviti yang dipanggil muhasabah diri kepada peserta dan ahli jawatankuasanya.


Alhamdulillah, pada pandangan saya program ini sedikit sebanyak telah mencapai objektifnya.

Wednesday, October 17, 2012

Majlis Konvokesyen Ke-49, UTM

Majlis Konvokesyen amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang bergelar sebagai mahasiswa. Ia merupakan suatu majlis yang meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pelajaran mereka. Bukan setakat pelajar yang bergembira tetapi ibubapa dan adik beradik merekapun turut sama bergembira. Gembira kerana anak kesayangan mereka telah berjaya membawa pulang segulung ijazah!

UTM telah melaksanakan Majlis Konvokesyen Ke-49 pada 13-16 Oktober 2012, bersamaan 27-30 Zulkaedah 1433H di Dewan Sultan Iskandar (DSI).


Sejumlah 5,304 graduan dari pelbagai jurusan telah menerima ijazah mereka. Seramai 116 orang telah berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah; 986 pelajar mendapat Ijazah Sarjana; 3,501 pelajar memperoleh Ijazah Sarjana Muda; dan 701 orang mendapat Diploma.

Pelajar-pelajar dari luar negara juga turut mendapat ijazah mereka. Dari 481 graduan luar negara, pelajar dari Iran merupakan graduan yang teramai iaitu seramai 171 orang graduan di peringkat Sarjana dan 25 orang di peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Graduan dari China menduduki tempat yang kedua iaitu seramai 70 graduan. Seterusnya dari Indonesia iaitu 46 graduan (Sarjana Muda 7 orang; Sarjana 27 orang; Doktor Falsafah 12 orang). Kemudian dari Nigeria seramai 29 graduan; Somalia seramai 21 orang, Pakistan seramai 19 orang, dan sebagainya. Keseluruhannya, 481 pelajar-pelajar dari 30 negara lain telah berjaya menamatkan pengajian mereka di pelbagai peringkat di UTM. Syabas dan tahniah kepada mereka!


Saya telah mendapat jemputan untuk menghadiri sesi keempat bagi meraikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda kepada pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pendidikan dan fakulti saya sendiri iaitu Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah. Dalam surat jemputan menyatakan bahawa saya perlu berada di DSI pada pukul 1.30 petang.


Saya keluar dari rumah sebelum pukul 1 lagi kerana ingin menunaikan solat Zohor berjamaah di Masjid Sultan Ismail (MSI). Isteri menanyakan samaada saya ingin makan tengahari dahulu. Saya menjawab bahawa makan tengahari disediakan (kerana melihat waktu jemputan ialah pada pukul 1.30 petang).

Selesai solat Zohor di MSI, sayapun bergegas ke DSI kerana ingin menepati masa 1.30 petang dan saya rasa, sayalah orang pertama yang mendaftar nama dalam komputer (untuk mengesahkan kehadiran).


Pandanglah kita ke kiri dan ke kanan dewan, kot-kot ada sedikit jamuan ringan untuk mengalas perut. Rupa-rupanya tiada apa kecuali dua tong air; satu berisi sirap dan satu lagi air masak. Syabas kepada UTM kerana mengambil langkah berjimat cermat!

Pada saya, jamuan tidak elokpun diberi kepada kami dikalangan pensyarah malah lebih bererti diberikan kepada ibubapa dan keluarga graduan yang datang dari jauh. Mereka lebih berhak diraikan walaupun dengan sebungkus nasi. Dan saya pasti kos untuk menempah nasi bungkus jauh lebih murah berbanding menyediakan  makanan 'buffet' kepada para pensyarah dan VVIP.


Selesai majlis sekitar jam 5 petang, kami diarahkan untuk minum petang di sebuah bilik yang dihidangkan dengan karipap dan kuih apam (kuih yang seperti orang Cina buat sembahyang tetapi dalam bentuk yang lebih 'cute'). Tahniah sekali lagi kepada UTM kerana mengambil langkah berjimat cermat!

Langkah berjimat cermat yang diambil ini diharapkan tidak hanya kepada kami tetapi seeloknya ia juga merentasi golongan atasan (VVIP). Amat tidak wajar jika kami yang sememangnya mendapat gaji dan elaun yang rendah dicatukan segalanya tetapi pihak atasan yang sememangnya mewah dengan elaun diberi segala-galanya.


Selepas minum petang (alhamdulillah rezeki Allah), kami terus ke tempat memulangkan jubah. Dan terus melangkah pulang ke fakulti.

Dalam perjalanan pulang, seorang sahabat saya berkata, "Semua nama pensyarah luar negara dimasukkan ke dalam buku konvokesyen tetapi kita yang telah berkhidmat 20, 30 tahun tiadapun nama dalam buku itu".

Saya hanya mampu tersenyum... Kita masih dijajah...

Produk tempatan masih dipandang enteng dan jenama luar masih kita agung-agungkan!

Tuesday, October 16, 2012

Memperbaharui Lesen P Anakanda

Lesen P adalah lesen yang diberi bagi tempoh 2 tahun setelah seseorang itu lulus ujian memandu kenderaan. P bermaksud 'probation' atau percubaan. Ini untuk memastikan seseorang itu memandu secara berhemah selama mana ia memegang Lesen Memandu Percubaan Malaysia. Dan sudah pastinya, ia bukan bermaksud kita boleh memandu secara 'gila-gila' apabila tempoh P itu tamat.

Setelah berakhirnya tempoh 2 tahun, barulah seseorang itu diberikan Lesen Memandu Malaysia.


Saya bertolak dari rumah sekitar pukul 6.20 pagi semalam dari Taman Pulai Utama dan sampai di JPJ sekitar jam 6.50 pagi. Saya rasa sayalah pelanggan pertama yang sampai. Tujuan saya bertolak awal ialah untuk mengelakkan dari kesesakan lalulintas di sepanjang perjalanan menghala ke Pasir Gudang.

Apa yang baiknya mengenai pejabat JPJ ini, ia mula memberi nombor dan beroperasi seawal jam 7.30 pagi.

Apabila nombor saya dipanggil, saya memaklumkan kepada pegawai bertugas bahawa saya ingin memperbaharui lesen memandu bagi tempoh 5 tahun. Satu tempoh pembaharuan yang maksimum bagi negara kita.


Berbeza dengan UK, apabila kita lulus ujian memandu kita akan diberi lesen yang akan tamat tempoh sehingga umur kita mengjangkau 60 tahun.

Di USA pula, lesen memandu perlu diperbaharui seperti di Malaysia tetapi kadarnya agak murah. Di USA juga yang mempunyai 50 buah negeri, setiap negeri mengeluarkan lesen memandu masing-masing. Dengan kata lain, hasil bayaran lesen memandu tadi akan masuk kepada kerajaan negeri.

Kalau tidak silap saya, jika seseorang itu berhijrah dari sebuah negeri contohnya, California ke sebuah negeri yang lain, contohnya, Arizona maka lesen memandu California itu hanya 'valid' untuk 3 bulan sahaja di Arizona. Pemandu tersebut hendaklah pergi ke DMV (Department of Motor Vehicle) di mana-mana bandar di Arizona untuk menukar lesen memandunya tanpa menjalani ujian memandu lagi. Apabila lesen memandu Arizona dikeluarkan maka lesen memandu California akan diambil oleh pihak DMV Arizona.


Ini adalah kerana lesen memandu di USA merupakan satu ID yang penting yang digunakan untuk pelbagai urusan.

Saya dulu pernah berhijrah dari California ke Arizona, kemudian ke Louisiana, kemudian ke Kansas, dan berpindah semula ke California. Untuk memiliki dan menyimpan lesen memandu dari pelbagai negeri tersebut sebagai kenangan, saya terpaksa menjalani ujian memandu bagi setiap negeri yang saya duduki. Dengan ini, saya dapat menyimpan lesen-lesen memandu setiap negeri tersebut.


Lesen memandu yang saya perbaharui untuk anak saya sepatutnya tamat tempoh pada 14 Oktober 2017 kerana untuk tempoh 5 tahun. Tetapi pihak kerajaan (JPJ) memanjangkannya sehingga tarikh hari lahir anak saya iaitu 14 Mac 2018. Terima kasih kerajaan (JPJ)!

Langkah ini amat wajar memandangkan ramai dikalangan kita yang terlupa bilakah lesen memandu mereka tamat tempoh. Dengan menyamakan tarikh tamat tempoh lesen dengan tarikh hari lahir, maka ia akan mengurangkan masalah kelupaan untuk memperbaharui lesen memandu kerana semua orang ingat akan tarikh lahir mereka. Jika pihak kerajaan dapat memanjangkan terus tempoh tamat sehingga ke umur 60 tahun seperti di UK, saya kira ia amat memudahkan dan sangat dialu-alukan oleh pelbagai pihak.

Saya selesai berurusan di kaunter tepat jam 7.45 pagi.

Wednesday, October 10, 2012

Qurban Anjuran FGHT

Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT), UTM, buat julung-julung kalinya akan melaksanakan ibadah qurban di perkarangan FGHT. Program ibadah qurban ini adalah anjuran Badan Keluarga FGHT.

Pihak AJK BKFGHT telah menetapkan tarikh 29 Oktober iaitu hari Isnin bagi tujuan yang murni ini. 29 Oktober merupakan hari tasyrik terakhir (13 Zulhijjah) bagi individu muslim menunaikan ibadah qurban.


Pada hari tersebut, 2 ekor lembu akan disembelihkan. Daging dan tulang akan dimasak secara gotong royong oleh semua staf dan pelajar FGHT. Selesai memasak, kita akan sama-sama menikmati juadah yang disediakan. Kalau tidak silap saya, menunya ialah nasi putih, daging masak kurma, sup tulang dan roti perancis. Secara tidak langsung, program seumpama ini akan merapatkan lagi ukhuwwah atau hubungan persaudaraan diantara pelajar dan staf FGHT.

Peserta-peserta qurban juga dibenarkan untuk mengambil 1/3 dari 1/7 daging lembu yang diqurbankan.


Pada hemat saya, program yang berbentuk sebegini elok dilaksanakan dengan lebih kerap lagi. Disamping kita menunaikan ibadah, kita juga dapat menjamu pelajar-pelajar yang mana mungkin ada diantara mereka yang sudah kehabisan duit pinjaman PTPTN dan terpaksa mengikat perut.

Pelajar-pelajar juga dapat diterap tentang ilmu penyembelihan, masak memasak, dan sebagainya. Ilmu yang tidak diajar di dalam bilik kuliah ini bakal dipraktikkan oleh pelajar apabila mereka keluar ke dunia nyata.


Saya yakin banyak lagi kebaikan yang boleh kita senaraikan. Antaranya memupuk semangat untuk berqurban bagi mereka yang belum pernah menjalani ibadah ini. Ia juga bakal menjadi contoh yang baik kepada pelajar-pelajar dan staf yang bukan Islam. Semangat bergotong royong yang kian pupus di bandar dapat diterapkan kembali, dan banyak lagi.

Pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap anaknya Nabi Ismail AS menggambarkan bahawa Islam ini bukanlah agama Nabi Muhammad SAW tetapi agama Allah sejak dari zaman Nabi Adam AS lagi.


Suasana ini juga dapat menghilangkan rasa 'tension' atau 'stress' yang kian dihadapi oleh staf akademik yang mana mereka seringkali disarankan supaya mencapai KPI (Key Performance Index) yang ditetapkan.

Secara keseluruhannya, saya amat mengalu-alukan kesediaan BKFGHT untuk melaksanakan proram ini dan diharapkan pada masa hadapan banyak lagi program yang menjalin gabungkan staf dan pelajar dapat dilaksanakan!

Monday, October 8, 2012

Musim Menjalani Ibadah Qurban Tiba Lagi...

Ibadah qurban menjelma lagi. Kita sebagai umat Islam amat digalakkan untuk melaksanakan ibadah ini.

Seperti biasa Qurban Kasih Ummah bagi tahun 1433H anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Aqsa Syarif Berhad menawarkan kepada kita untuk menjalankan ibadah qurban di tempat yang lebih memerlukan. Mereka menawarkan kepada kita untuk melaksanakan ibadah ini di 15 buah negara iaitu di Afghanistan, Bangladesh, Filipina, Indonesia, Iraq, Kemboja, Lubnan, Myanmar (Arakan), Palestin (Gaza), Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Thailand, Vietnam, dan di negara kita sendiri Malaysia.


Mereka berpengalaman selama 13 tahun dalam melaksanakan ibadah ini. Pada tahun ini, mereka mensasarkan sebanyak 550 ekor haiwan bagi tujuan qurban dan aqiqah.

Pengorbanan hanya dilakukan oleh orang yang terpilih oleh Allah SWT. Tiadalah kesanggupan melakukannya melainkan ke atas orang yang benar-benar bertaqwa dan juga bertawakkal kepada Allah sahaja.


"Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj; ayat 37).


Qurban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki 4 (al-An'am) pada hari Raya Eidul Adha atau hari-hari tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum ibadah qurban adalah sunat muakkad bagi orang yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.


Ibadah ini dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sanggup menyembelih anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih.


Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka berdua kepada perintah Allah lebih daripada yang lain. Lalu Allah telah menggantikan tempat nabi Ismail dengan seekor kambing (qibasy). Ibadah qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Antara hikmah melaksanakan ibadah qurban adalah;
* Melatih diri sanggup berkorban untuk perkara kebaikan.
* Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak.
* Tanda kesyukuran di atas nikmat pemberian Allah.
* Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.
* Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.
* Mengembirakan fakir miskin dengan pemberian daging qurban.
* Merapatkan silaturrahim di kalangan umat Islam.


Syarat-syarat sah ibadah qurban pula merangkumi;
+ Berniat qurban ketika menyembelih.
+ Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar segalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
+ Penyembelihan orang Islam.
+ Tidak terdapat kecacatan pada binatang qurban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
+ Binatang ternakan yang halal dimakan.
+ Binatang yang hendak disembelih mestilah sudah cukup umur.


Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan qurban adalah seperti berikut;
Binatang                                       Umur
a) Biri-biri/Kambing                      1 tahun atau lebih
b) Lembu/Kerbau                         2 tahun atau lebih
c) Unta                                         5 tahun atau lebih


Pembahagian daging qurban pula adalah seperti berikut;
i) 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
ii) 1/3 dimasak untuk jamuan ramai
iii) 1/3 untuk orang yang berqurban


Perkara-perkara sunat untuk diamalkan ketika melaksanakan ibadah qurban;
a) Membaca basmalah atau takbir
b) Selawat kepada Nabi SAW
c) Menyembelih pada waktu siang
d) Memilih binatang yang gemuk dan sihat
e) Disembelih oleh orang yang berqurban
f) Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat
g) Orang yang berqurban makan sebahagian daging qurban
h) Menggunakan alat sembelihan yang tajam


Marilah kita sama-sama mengerjakan ibadah qurban pada tahun ini, baik di negara kita mahupun di luar sana. Sekiranya kita ingin melaksanakan ibadah qurban melalui program "Qurban Kasih Ummah 1433H", maka bolehlah tuan-tuan dan puan-puan melayari laman sesawang www.ramadhan-qurban.org.


Akhir kata, marilah kita sama-sama mendoakan supaya pengorbanan kita untuk melaksanakan ibadah qurban ini diterima Allah dan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

IBADAH BUAT KITA, KEGEMBIRAAN BUAT MEREKA!!!