Saturday, January 4, 2014

Abah Minta Abang Beritahu Jika Duit Tak Cukup...

Abah sayang semua anak-anak abah. Abah hantar abang belajar di Mesir supaya abang dapat mempelajari ilmu agama dengan sebaik mungkin. Mentelaah kitab-kitab dari syeikh-syeikh yang muktabar. Mungkin dengan cara bertalaqi secara langsung.


Memperkemaskan lagi hafazan dan bacaan dan menjadi seorang al-hafiz yang baik dan lunak bacaannya. Di usia semuda ini insyaAllah, abang boleh menggarap ilmu sebanyak yang mungkin. Abah, ummi dan adik-adik mendoakan kejayaan abang menuntut ilmu di sana.

Dari segi kewangan, sebenarnya abah tidak tahu berapa yang sepatutnya abah hantar setiap bulan. Abang kena maklumkan kepada abah sekiranya duit yang dihantar tidak mencukupi. InsyaAllah, abah akan menambahkannya.

Pelajarilah ilmu yang baik-baik di sana untuk kita amalkan. Mudah-mudahan dengan ilmu yang dipelajari dapat membentuk syakhsiah diri.

Jauhkan diri dari fenomena masyarakat Mesir yang tidak elok. Ingat tujuan asal kita ke sana.

Sentiasakan solat di masjid. Abah dan adik-adik mungkin tidak sekerap dulu ke masjid berbanding semasa kita di Taman Pulai Utama. Masjid Bandar Dato' Onn dalam proses pembinaan. Mungkin hujung tahun ini baru siap.

Abah juga mengharapkan supaya abang meluangkan masa untuk berbual dengan Achik, setidak-tidaknya melalui facebook. Mungkin boleh menasihatkan dia tentang bidang pengajian yang bakal dipilih setelah keputusan SPM keluar nanti.


Sekarang ini dia sibuk dengan program R2P2. Sebulan sekali dia ke KL untuk program pentarbiahannya. Abahpun kurang tahu perancangannya. Abah tanya samaada dia ingin belajar memandu tetapi tiada jawapan yang konkrit darinya.

Jangan lupa untuk turut memberi perangsang kepada adik 'Ammar dan Rasyid. Begitu juga kepada Sakinah dan Syakir.

Semalam Asmaa tanya abah pasal abang. Katanya rindu pada abang. Mungkin kalau abang dan ummi 'install' skype, maka mereka boleh berhubung dengan abang.

No comments:

Post a Comment