Friday, January 3, 2014

Aktiviti Di Cuti Hari Jumaat Yang Pertama...

Hari ini 3Januari 2014 (Jumaat) merupakan cuti hari Jumaat yang pertama di Johor.

Sebelum ini Johor mengamalkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad.

Sebetulnya, Johor pada asalnya telah mengamalkan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu tetapi menukarkannya supaya sama dengan kerajaan persekutuan kalau tidak silap saya sekitar tahun 1994. Dan tahun 2014 merupakan tahun pengembalian kepada asal.

Hari Jumaat tidak perlu diceritakan lagi merupakan penghulu segala hari. Amalan seperti membaca surah al-Kahfi pada malam atau hari Jumaat sudah tidak asing lagi kepada masyarakat Islam di seluruh dunia. Kalau dulu, masyarakat melayu apabila tiba malam Jumaat disinonimkan dengan bacaan surah Yaasin.

Hari Jumaat kita akan berwangi-wangian ke masjid untuk mengerjakan solat Jumaat. Apabila anak-anak sekolah juga turut bercuti maka kita dengan senang dapat membawa mereka bersama ke masjid.

Hari ini setelah solat Subuh aku berehat sekejap sementara menunggu hari siang. Kemudian aku memesin rumput di halaman rumah. 'Ammar bertindak menyapu rumput-rumput yang telah dipotong.


Selesai memotong rumput, aku memakan hidangan pagi iaitu mee hoon bersama air kopi. Keropok lekor goreng dan buah cempedak juga ada tersedia. Aku membeli keropok lekor Terengganu yang di'packed' dalam plastik kedap udara. Cempedak pula diperoleh dari dusun UTM dengan harga RM3 sekilo.

Selesai aktiviti makan, aku kembali mengingati Allah dengan mendirikan solat sunat dhuha. Selesai solat, aku terus membaca surah al-Kahfi. Membaca surah al-Kahfi mengambil sedikit masa kerana ia agak panjang iaitu 110 ayat. Tetapi apabila ia sudah menjadi rutin dan sebati dengan kita maka ia bukanlah lama sangat!

Kemudian aku membaca buku Di Sebalik Ikhwan Muslimin, Youssef Nada.

Menjelang pukul 12 tengahari, aku dan anak-anak bergerak menuju ke Masjid UTM bagi mengerjakan solat fardhu Jumaat. Terasa masih asing di sini (Bandar Dato' Onn) untuk pergi ke masjid yang lain. InsyaAllah apabila masjid Bandar Dato' Onn sudah siap nanti maka kehidupan kami akan lebih selesa.

No comments:

Post a Comment