Friday, January 17, 2014

Pengajaran Dan Pembelajaran Ada Di Mana-Mana...

Di dalam al-Quran banyak sekali Allah menyuruh supaya kita berfikir, "afala ta'qilun", "afala ta'lamun", dan sebagainya. Kenapa Allah menyuruh kita berfikir?

Itulah perbezaan kita dengan haiwan. Kita dianugerahkan oleh Allah daya berfikir. Sekiranya kita tidak mahu berfikir maka tiada bezalah kita dengan haiwan yang tidak dianugerahkan akal oleh Tuhan.

Apa yang saya terfikir sekarang ialah detik-detik laluan zaman muda dahulu berkawan dengan 'si penzina', 'si peminum arak', 'si penghisap ganja', 'si pemakan babi' dan sebagainya. Sekiranya, Allah tidak sayang padaku, sudah pasti aku terikut sama menjadi seperti mereka. Tetapi alhamdulillah, jati diriku kuat dan Allah mengasihiku...

Aku teringat kawan-kawan yang pergi 'pub' untuk meneguk air syaitan sewaktu ketika dulu tetapi sekarang sudah mempunyai keluarga dan anak pinak bahkan mereka telah pergi menunaikan fardhu haji. Kalau dibandingkan dengan kehidupan dulu mungkin aku fikir jauh panggang dari api untuk dia berubah.

Kenapa? Kerana si melayu Islam ini telah melakukan ke semua perkara yang diharamkan. Berzina, makan daging babi, minum arak dan segala perkara yang menjijikkan telah dilakukan kesemuanya. Katanya, "Kalau dah aku buat satu, baik aku buat semua...".

Oleh sebab itu, kita jangan mudah menjatuhkan hukuman. Jangan kita mudah menyatakan bahawa si dia ini adalah dari ahli neraka! Jangan, jangan...


Kita yang digelar budak baik inipun, belum tentu berakhir dengan kebaikan... Mungkin boleh tersilap langkah dan tersalah arah, na'uzubillahu min zaalik!

Apa yang aku boleh membuat kesimpulan dari keterfikiran ini ialah walau sejahat mana manusia itu, nun jauh di sudut hati, masih ada rasa keinsafan dan ingin kembali ke pangkal jalan. Masih ada kekudusan hati ingin kembali ke fitrah nurani... Masih ada sekelumit cinta kepada sang Maha Pencipta... Masih ada sekecil zarah rasa takut kepada Yang Maha Kuasa...

Usah kita bertindak menjadi hakim dan usah kita mengambil tugas Tuhan. Jadilah kita penyeru dakwah yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan.

1 comment:

  1. Siapalah kita untuk mengadili, sedangkan kita juga menunggu masa untuk diadili.

    Found this in fb: Don't judge someone just because they sin differently than you.


    Astaghfirullah..

    ReplyDelete