Hari ini Ahad, 5 Januari 2014 merupakan hari bekerja bagi semua penjawat awam di Johor. Mungkin ada sesetengah daripada kita masih merasa kekok.
Dalam perjalanan ke UTM hari ini, saya nampak Pasar Tani Taman Sri Pulai masih beroperasi macam biasa. Kelihatan ramai penjual dan juga pembeli, seperti hari Ahad yang kita bercuti sebelum ini.
Bila sampai di pejabat fakulti pukul 8.43, pintu masih berkunci dan beberapa orang staf menunggu untuk pintu dibuka. Kebiasaannya pukul 7.30, pintu pejabat sudah terbuka luas.
Alah bisa tegal biasa, itulah pepatah kata. Mungkin minggu depan suasana akan menjadi biasa. Sama seperti masa balik bekerja pukul 3.30 petang pada hari Khamis lepas, ramai nampak macam susah untuk balik awal!
Semua benda baru akan mengalami sedikit kepayahan. Yang penting kita mudah untuk membuat adaptasi.
Jangan jadi macam dinasour! Orang kata dinasour pupus dari muka bumi kerana kesukarannya untuk membuat adaptasi dengan persekitaran baru. Tetapi hakikatnya Allah yang Maha Mengetahui, menghidupkan spesis baru dan mematikan spesis lama.
Kita rata-ratanya susah untuk membuat perubahan. Kita suka benda lama yang sudah menjadi rutin. Tidak perlu untuk menggunakan akal fikiran dan tenaga untuk menghadapi perkara baru.
Kadang-kadang perkara lama menjadi nostalgia kita. Contoh yang paling mudah bagi saya ialah kehidupan keluarga kita. Dulu keluarga kita hidup secara 'extended family', di situ ada ayah, ibu dan adik beradik yang lain.
Makan minum tidak menjadi masalah. Banyak sedikit kita kongsi bersama. Penjagaan anak-anak juga bukan suatu halangan. Adik beradik ada untuk melihat atau menjaga anak kita sekiranya kita suami isteri bekerja.
Sekarang perkara seperti itu sudah tidak diamalkan lagi. Masing-masing apabila berumahtangga akan mempunyai rumah sendiri. Setidak-tidaknya rumah sewa.
Isteri atau suami merasa lebih selesa untuk tidak bersama mertua.
Secara tidak langsung maka di sini masalah bermula. Kemana hendak dihantar anak untuk dijaga? Pendapatan yang tidak seberapa habis untuk sewa rumah, duit jagaan anak, belanja makan, duit minyak kereta dan sebagainya.
Usah difikirkan lagi untuk memberi sumbangan kepada orang tua. Sekarang kerja pagi petang siang malam hanya untuk 'survive' keluarga sendiri. Kalau ada yang berbaki maka mula berfikir untuk membeli kereta baru. Motosikal sudah tidak selesa. Anak makin ramai. Kalau hujan susah hendak pergi kerja. Kereta lama banyak cacat cela.
Bila beli kereta baru, langkah makin jauh. Mana mungkin hujung minggu hanya duduk lepak di rumah? Dengan alasan kesian anak-anak hendak pergi berjalan maka hujung minggu sudah terencana. Minggu ini ke mana dan minggu depan pula ke mana?
Akhirnya simpanan bulanan sudah tiada dana. Bulan ke bulan hidup merana! Gaji bulan ini dikumpul untuk membayar hutang bulan lepas. Dan begitulah seterus seterusnya...
Hubungan kekeluargaan sudah terkesima. Hidup dalam kesempitan mula membuat perasaan menjadi gundah gulana.
Kalau mempunyai seorang isteri yang bersederhana hati tidaklah terlalu merana. Tetapi sekiranya isteri hendak itu dan hendak ini maka hidup si suami tak akan lama.
Apapun kita perlu mengukur baju di badan sendiri. Kalau mampu, tak salah kita berbelanja tetapi simpanlah sedikit untuk hari tua.
No comments:
Post a Comment