Thursday, December 24, 2009

Tiada Yang Lebih Membanggakan Kedua Ibubapa...


Menunggu keputusan peperiksaan besar sentiasa menjadi debaran kepada ibubapa. Tiada yang lebih membanggakan kedua ibubapa selain melihat anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Di negara kita, UPSR, PMR, SPM dan STPMlah yang menjadi kayu pengukurnya.

Pagi tadi, jam 11 pagi, ibubapa dan pelajar-pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Islam Hidayah menunggu keputusan PMR yang akan diumumkan di dewan besar SMIH, Dewan Qadisiyyah. Masing-masing nampak gelisah, baik pelajar mahupun ibubapa.

Lebih kurang 11.15 pagi, Penolong Kanan Ustazah Hajjah Norimah dan Pengetua Ustazah Hajjah Kamaliahpun membentangkan keputusan dan membuat penganalisaan. Selalunya pihak Jabatan Pendidikan menyediakan keputusan dalam bentuk disket tetapi pagi tadi ianya tidak disediakan. Jadi pihak sekolah terpaksa membuat perkiraan sendiri. Itu yang menyebabkan keputusan agak lewat diumumkan.

Bilangan yang mendapat 9A ialah seramai 18 orang; 8A - 21 orang; 7A - 11 orang; 6A juga 11 orang dan 5A ialah seramai 9 orang pelajar.

Mereka yang mendapat 9A agak berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Keseluruhannya, purata setiap matapelajaran adalah 1 'point' lebih kecuali matapelajaran Bahasa Arab Komunikasi yang agak tinggi kerana agak ramai yang gagal.

Alhamdulillah, abang (Wan Abdul Rahman) adalah salah seorang yang mendapat 9A. Petang besok, abang dan achik (Wan Ahmad Luqman) akan pulang ke rumah setelah menghadiri Kem Tahfiz selama 2 minggu. Sudah pasti mereka begitu merindui masakan ibunya.

Esok juga adalah hari lahir Wan Abdullah Syakir yang ke 5.

Kepada yang berjaya dengan cemerlang, saya mengucapkan tahniah dan siapa yang kurang berjaya, teruskan usaha kerana SPM adalah jauh lebih penting dari PMR....

Jangan lupa pada hari Selasa (29 Disember) nanti, temuduga saringan untuk ke Tingkatan 4 akan dibuat di sekolah pada jam 9 pagi. Selamat Maju Jaya....

2 comments: