Thursday, October 21, 2010

Anak Menegur Bapa...

Umar bin Abdul Aziz mempunyai 15 orang anak. Antara anaknya yang tersohor ialah Abdul Malik, baru berusia 17 tahun ketika Umar dilantik sebagai Khalifah.

Semasa permasyhuran Umar sebagai khalifah, beliau berkata; "Hadirin sekalian, orang yang mentaati Allah wajib ditaati. Orang yang menderhakai Allah tiada siapa yang wajib mentaatinya. Sidang hadirin, taatilah saya selagi mana saya mentaati Allah. Jika saya menderhakai Allah kamu tidak wajib mentaati saya."

Selesai berucap di dalam masjid setelah mengerjakan solat berjamaah, beliau terus pulang untuk berehat kerana tersangat letih menguruskan jenazah Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah sebelumnya.

Belumpun sempat melelapkan mata, anaknya Abdul Malik datang seraya bertanya: "Apakah yang hendak dilakukan oleh Amirul Mukminin?"

"Anakku, ayah hendak melelapkan mata sekejap. Sudah tidak bertenaga lagi rasanya tubuh ayah ini," jawab Umar perlahan.

"Apakah Amirul Mukminin akan melelapkan mata sebelum mengembalikan semula segala hak yang telah dirampas kepada pemilik asalnya?" tanya Abdul Malik.

"Anakku, ayah tidak tidur sepanjang malam semalam kerana menguruskan jenazah pakcikmu, Sulaiman. Apabila masuk waktu zohor nanti ayah akan bersolat bersama rakyat. Ayah akan kembalikan semula semua harta yang dirampas kepada pemilik asalnya, dengan izin Allah," jawab ayahnya lagi.

"Wahai Amirul Mukminin, siapakah pula yang akan menjamin ayah akan hidup hingga ke waktu zohor nanti?" balas Abdul Malik.

Kata-kata Abdul Malik ini mula membakar kembali semangat Umar. Hilang segala keinginannya untuk tidur. Lahir pula kekuatan dan tekad dalam tubuhnya yang kelesuan itu.

"Mari sini wahai anakku," panggil Umar lembut. Abdul Malikpun datang kepada ayahnya. Umar terus memeluk dan mencium dahi anaknya seraya berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan daripada sulbi ayah seorang anak yang mampu membantu agama ayah."

Umar pun bangkit dan mengarahkan supaya orang ramai diberitahu bahawa sesiapa sahaja yang pernah dizalimi hendaklah mengadukannya kepada khalifah.

Umar bin Abdul Aziz serta anaknya Abdul Malik dalam 37 Kisah Kehidupan Tabi'in, karangan Dr Abdul Rahman Ra'fat al-Basha.

No comments:

Post a Comment