Friday, October 1, 2010

Lagi Penulisan Dari Kunta Kinte Original...

Dalam Berita Harian hari ini (1 Oktober), Kunta Kinte menulis tentang ramai penjenayah terlepas dari hukuman disebabkan isu teknikal; baik mereka itu perogol, penyamun, pembunuh, perasuah, mahupun pengedar dadah.

Kes terbaru ialah semalam dimana Lee Yong Toe, seorang drebar lori yang dituduh edar 753,359 gram dadah bernilai lebih RM200 juta dibebas dan dilepas mahkamah. Puncanya ialah pendakwa gagal untuk memanggil dua saksi penting yang menentukan kes ini.

Cuba bayangkan berapa ramai anak muda yang bakal dirosakkan dengan jumlah dadah sebanyak itu?

Kes-kes lain yang disebut Kunta Kinte ialah kes seorang penghantar gas yang dituduh membunuh seorang tukang urut tradisional juga dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Kes mendiang Tan Sri Eric Chia; kes bekas Ketua Pengarah FELCRA, Datuk Mustapa Juman; kes bekas Menteri Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam; kes bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Saidin Thamby; dan kes bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Kunta Kinte dengan sinis menyindir pendakwa raya dan pihak polis kerana gagal menyiapkan kes yang kukuh. Apatah lagi apabila ia melibatkan kes sensasi dan berprofil tinggi. "Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata nampak-nampaknya kehakiman kita banyak tolak kes sensasi dan profil tinggi semata-mata atas alasan teknikal."

Itu belum sebut lagi kes Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang, kes Lingam, dan lain-lain.

Kunta Kinte menyatakan kerisauan rakyat jelata kerana penjenayah boleh terlepas dan hidup bebas.

"Sekarang rakyat jelata dalam ketakutan. Tengok sajalah pagar, palang besi, tong minyak dan pengawal keselamatan Nepal di merata taman perumahan. Dah macam zaman darurat dulu."

"Rakyat jelata yang dalam ketakutan atau yang sudah jadi mangsa jenayah, bertanya di mana kesejahteraan, keamanan dan keselamatan yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas?"

Pada saya, semuanya terletak kepada integriti. Kalau peguam yang sepatutnya menegakkan peraturan dan undang-undangpun boleh menipu, apatah lagi orang lain... "Agak mendukacitakan apabila 35 peguam ditahan polis sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai penipuan."

Sebagai konklusinya, saya memetik penulisan Abd Razak Hussin berkenaan "Pemergian Cik Tapa kehilangan besar kepada warga UKM".

"Kalau anda mengambil sebatang penyepit kertas UKM untuk kegunaan peribadi anda, anda sudah tidak berintegriti apatah lagi mengambil benda yang lebih besar, membuat tuntutan palsu dan mengular! Anda akan dipersoalkan di akhirat nanti." Itulah kata-kata Allahyarham Cik Tapa (Mohamad Mustafa Mohtar), Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar (HEP), UKM.

Nilai murni dalam perkhidmatan awam baginya bukan untuk disyarahkan dan lulus peperiksaan semata-mata tetapi perlu dihayati...

No comments:

Post a Comment