Sunday, October 31, 2010

Kelate Benae, Negeri Sembilae Kaloh


Male tadi cubo jugo cari 'channel' nok tengok bola, Kelate lawae Negeri Sembilae. Pechet se, TV3... pechet lagi tubit TV9... rupo-ruponye TV1. TV kawe, TV1 dok tubit. Nok pase Astro raso maha bedoah. Lagipun dok lamo mano duk depa TV. Tak dok maso nok ngadap TV. Tak po lah, tahu-tahu pagi ni, Kelate benae; Duo - Se.

Wala duk Johor, semangat jugok nok tengok Kelate benae... Semangat sajo jah. Kalu ore suruh gi tengok di stadium, dok tahu lagi, gi ko dok...

Tahniah buat Red Warriors! Penantian yang begitu lama berhasil juga. Piala Raja-Raja memang selalu Kelantan menang tapi Piala Malaysia, kali pertama sejak 55 tahun yang lalu.

Kemenangan Kelantan di Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.


Apapun, kita harus memahami tujuan sukan itu diwujudkan. Sukan diwujudkan supaya kita berlawan bola dan bukannya berlawan orang demi merapatkan persefahaman dan perhubungan di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Baik pemain mahupun penyokong...

Suatu ketika dulu, antara satu negara dengan negara yang lain selalu berperang maka sukan diwujudkan. Maka dengan adanya sukan ini, rakyat semua negara sibuk bersukan dan persengketaan dapat diminimakan.

Republic of Ireland dan Northern Ireland, 2 buah negara berasingan boleh bersatu dalam satu pasukan untuk mewakili Ireland dalam pertandingan sukan bolasepak dan ragbi di peringkat dunia.

Selain itu, tujuan sukan diwujudkan ialah supaya ia mendatangkan rasa keseronokan kepada penggemar sukan. Apabila peminat sukan hidup ceria dan seronok maka hilanglah rasa kerunsingan dan keresahan, dan tahap kesihatan dan produktiviti mungkin bertambah baik.

Hidup bersukan juga menjadikan rakyat sesebuah negara cergas dan mempunyai minda yang positif.

Sukan juga akan membuka rantaian ekonomi kepada pengusaha-pengusaha makanan, minuman, cenderamata, dan sebagainya. Sebaliknya pula, ia mungkin memudaratkan masyarakat apabila sukan disinonimkan dengan judi. Mahu tidak mahu, sudah pasti ada segelintir masyarakat yang cuba mengambil kesempatan ini untuk memperbesarkan industri judi mereka.

Kita juga nampak, banyak pihak cuba mengadakan kemudahan sukan, baik kerajaan mahupun swasta. Gelanggang futsal, boleh dikatakan ada di mana-mana. Cuma, kita harus pandai menggunakannya. Bermain futsal hingga ke pukul 3 atau 4 pagi tidak menjadi masalah, asalkan solat Subuh tidak ditinggalkan.

Kita seharusnya mengetahui keutamaan dan kepentingan bersukan. Bersukan ialah supaya badan kita sihat. Bila badan sihat, lebih banyak dan lebih mudah untuk kita beramal kepada Allah (SWT). Majulah Sukan Untuk Agama!!!

No comments:

Post a Comment