Saturday, October 23, 2010

Katibah Anjuran IKRAM Johor Bahru Tengah


Semalam, 22 Oktober 2010, berlangsung satu katibah untuk ahli aktif dan ahli teras IKRAM JBT.

Apa itu katibah? Katibah ialah satu program yang dirancang untuk menghidupkan malam. Ia bermula sebelum Maghrib dan tamat selepas Subuh.

Seelok-eloknya kalau kita boleh bermula dengan iftar secara jamaie. Kalau tidak, kita mulakan dengan solat Maghrib bersama. Kemudian disusuli dengan al-ma'tsurat, zikir dan doa. Setelah itu, kita solat Isya' berjemaah. Selesai solat, kita bertadabbur al-Quran dalam kumpulan supaya kita dapat memperelokkan bacaan masing-masing dari segi tajwid.

Kemudian kita dihidangkan dengan ceramah berbentuk ruhi supaya tautan hati kepada Allah semakin terasa. Sebelum tengah malam kita rehatkan diri untuk bangun qiamul-lail. Hampir jam 4.30 pagi kita memulakan solat tahajjud secara individu kemudian disusuli secara berjamaah.

Selesai solat Subuh, kita baca al-ma'tsurat secara berjamaah. Kemudian diteruskan dengan satu tadzkirah pendek. Akhirnya, sebelum bersurai kita membuat sedikit senaman ringkas bagi memenuhi keperluan jasmani.

Program Katibah direncana sedemikian rupa supaya hati kita merasa dekat dengan Rabbul Jalil, yang menghidupkan kita dan seterusnya mematikan kita dan menghidupkan semula untuk selama-lamanya bagi menilai siapakah yang lebih baik amalannya.

"Maha suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Maha kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha perkasa, Maha pengampun." (Al-Mulk; 1-2)

Program Katibah tidak dicampur dengan pengisian yang berbentuk keduniaan, seperti ceramah kesedaran politik, isu-isu semasa dunia dan sebagainya tetapi pengisian rohani semata-mata.

Terasa amat susah untuk menghidupkan malam secara individu tetapi apabila kita berjamaah, jamaah yang programkan untuk kita. Amat rugi bagi sesiapa yang tidak meluangkan masa untuk menghadiri katibah.

Kalau hendak diikutkan perasaan, usah dipedulikan lagi program-program ini. Siapkan dahulu PhD, kemudian ikutlah segala program yang diaturkan IKRAM. Tetapi bolehkah kita 'guarantee' bahawa kita tidak akan mati sebelum habis PhD?

Saya menyeru kepada diri saya dan rakan-rakan sekalian supaya membahagi masa dengan sebaik-baiknya dan berilah santapan kepada jasad mahupun rohani kita. Ilmu dan amal amat penting bagi memperolehi keseimbangan jasmani, emosi, rohani, dan intelek.

No comments:

Post a Comment