Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Sunday, October 31, 2010
Berlaku Adil Kepada Semua Manusia...
Kadang-kadang kita agak sensitif apabila sesuatu keburukan dilakukan oleh diri kita atau mereka yang rapat dengan kita. Kita mencuba sedaya upaya untuk meringankan hukuman atau balasan yang setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan.
Sebaliknya pula, apabila ia dilakukan oleh orang lain, yang tiada kaitan dengan kita, kita ingin mereka diadili sekeras-kerasnya tanpa belas kasihan.
Acapkali kita lihat, apabila 'orang besar' dibicarakan di mahkamah, mereka dihukum dengan hukuman yang agak ringan. Mungkin kerana mereka mampu untuk membayar peguam yang handal-handal untuk mewakili mereka. Sesetengah kes pula, dilambatkan perbicaraan atau terus dibuang kes tanpa pembicaraan atas alasan teknikal.
Tetapi apabila orang bukan kenamaan dibicarakan, maka hukuman dikenakan sepadan dengan kesalahan mereka.
Peristiwa yang sama berlaku di zaman Rasulullah (SAW) dimana seorang wanita bani Makhzum telah didapati mencuri dan masing-masing ingin mendapat syafa'at bagi pihak perempuan tersebut dari Rasulullah (SAW).
Ikuti hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari 'Aisyah (RA);
"Sesungguhnya golongan Quraisy pernah susah hati lantaran kes wanita bani Makhzum yang mencuri pada zaman Nabi (SAW). Mereka pun berkata: "Siapakah yang sanggup bercakap dengan Rasulullah (SAW) tentang perempuan itu (untuk memberi syafa'at kepadanya)?" Sebahagian mereka menjawab: "Siapakah lagi yang berani berbuat demikian selain Usamah bin Zaid, kekasih Rasulullah (SAW)." Lalu Usamah bercakap dengan baginda (SAW). Lantas Rasulullah (SAW) bersabda: "Adakah kamu ingin memberi syafa'at dalam salah satu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah (SWT)?" Kemudian baginda (SAW) bangun lalu berkhutbah. Kemudian baginda (SAW) bersabda: "Sesungguhnya orang-orang yang ada sebelum kamu dibinasakan oleh tindakan mereka: apabila orang yang mulia di kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila orang yang lemah di kalangan mereka pula mencuri, mereka melaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya pasti akan memotong tangannya."
Itulah pengadilan yang hakiki, tiada siapa yang terlepas dari hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah (SWT)...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment