Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Thursday, October 28, 2010
Bentang Paper Di ICUDM2010
International Conference on Urban Development and Management (ICUDM2010) telah dilaksanakan di Dewan Tun Hussein Onn, Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur, pada 26 hingga 27 Oktober 2010. Konferens ini adalah anjuran bersama oleh Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah, UTM dan Institute of Management and Integrity (INSPIN).
Pada petang Isnin (25 Oktober), aku, PM Dzurllkarnain Daud dan PM Mohd Shafie Mohamad bertolak ke KL untuk menghadiri persidangan tersebut. Kami tiba di KL lebih kurang pukul 8.30 malam dan menginap di BATC, UTM. Harga bilik di BATC hanya RM65 sebilik.
Keesokan pagi, kami 'check-out' dan terus ke PWTC. 'Conference' yang sepatutnya dirasmikan oleh YB Dato' Wira Chor Chee Heung, Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, hanya disempurnakan oleh Dato' Hj. Mohd Fadzil Mohd Khir, Ketua Pengarah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sepatutnya memberi ucaptama juga tidak hadir.
PM Dzull & PM Shafie membentangkan kertas kerja mereka pada petang Selasa, manakala aku pada keesokan paginya (jam 9 pagi, 27 Oktober). Mereka kembali semula ke Skudai pada petang itu juga. Aku terpaksa menginap satu malam lagi...
Dikesempatan ini, aku mengambil peluang untuk berjumpa dengan kawan lama, Rosli Yaacob, yang pernah menjadi rakan serumah semasa belajar di University of Southwestern Louisiana dulu. Beliau juga antara kawanku yang berjaya, mempunyai rumah besar dan kereta besar.
Aku dijemput dari Hotel Wira dengan kereta BMW beliau, sekitar jam 8.15 malam. Aku dibawa makan malam agak jauh dari tempat penginapanku, rasanya di Damansara. Selesai makan, aku dibawa pula ke rumah beliau yang tersergam indah. Setelah berada di rumahnya hampir setengah jam, aku meminta beliau untuk menghantar ku pulang ke hotel kerana esok pagi aku perlu membentangkan kertas kerja di konferens.
Peristiwa kereta mereka (Rosli dan seorang lagi kawan, Mat Nor) yang aku pandu untuk mengisi minyak brek melanggar Kedai Serbaneka 24 jam (seperti kedai 7 Eleven) masih beliau ingat. Sebenarnya, aku diminta oleh mereka berdua untuk memandu kereta tersebut kerana kedua-dua mereka pada masa itu tidak mempunyai lesen. Manakala aku, sudah mempunyai lesen semasa di California lagi.
Pemikiran kita zaman muda-muda agak singkat... Kenapa dipandu kereta yang tiada minyak brek dan sudah pasti breknya kadang-kadang berfungsi dan kadang-kadang tidak?
Aku masih ingat kata-kata Mat Nor yang duduk di 'seat' belakang, apabila kereta yang besar itu melompat 'curb' di depan kedai dan terus melanggar cermin kedai. Praaangg! Berderai cermin jatuh ke bumi. "Oh! macam cerita Starsky and Hutch". Nasib baik kereta itu terus berhenti apabila melanggar cermin dan tidak terus melanggar rak-rak makanan yang ada. Rosli yang duduk di sebelah ku terkesima.
Itulah cerita lama yang berlaku semasa aku berusia 20 tahun.
Di konferens ini juga, aku berjumpa dengan Tuan Zohair Md. Zain (YDP Majlis Perbandaran Langkawi), Hj Mohamad Che Nai (orang besar di SADA), PM Dr Hj Hassim Hj Mat (USM), En. Azhar (Putrajaya) dan ramai lagi.
Konferens ini secara keseluruhannya berjaya meningkatkan kesedaran tentang pembangunan mampan (sustainable development) yang perlu kita sama-sama bina. Maksudnya peranan untuk mewujud atau menjadikan 'green cities' bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab ini perlu digalas oleh semua lapisan masyarakat. Rakyat perlu sedar untuk menggunakan bahan-bahan yang 'environmental friendly' dan tidak merosakkan alam sekitar. Konferens juga nampak ingin membuat penambahbaikan kepada Kanun Tanah Negara (KTN) supaya ia lebih 'hijau' dan menjamin masa depan negara yang kita sayangi ini...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment