Pertubuhan IKRAM Malaysia buat julung-julung kalinya mengadakan Muktamar Tarbawi Nasional 2010 dengan tema "Nuqaba' Berwibawa: Teras Kecemerlangan IKRAM". Muktamar telah diadakan pada 9 Oktober 2010, bersamaan 1 Dzulkaedah 1431 di Malaysian Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang.
Alhamdulillah, hampir 1,900 peserta telah menghadirinya dari seluruh pelusuk tanah air, dari Utara, Selatan, Timur dan Barat. Tidak ketinggalan juga dari Sabah dan Sarawak. Peserta dari Johor sahaja memenuhi 2 buah bas tempahan khas disamping mereka yang menaiki kenderaan sendiri.
Program ini telah menggabungkan ahli teras dan ahli aktif untuk sama-sama mendengar ucaptama dari al-akh Presiden IKRAM, Dr Sheikh Parid Sheikh Ahmad disamping pengisian dari ceramah, forum, dan perkongsian dari luar negara.
Pada pandangan saya, ia merupakan satu program yang amat baik. Pertama, ia membakar semangat kepada golongan tua untuk terus bersama jamaah dan bekerja lebih kuat demi mendapat mardatillah, dan akhirnya beroleh syurga Allah.
Kepada golongan muda yang sudah bersemangat, ia akan merapatkan lagi saf jamaah dan memberi keyakinan bahawa kita umpama "bunyanun marsus" (bangunan yang tersusun kukuh), yang batu batanya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti satu bangunan yang tersusun kukuh." (Surah As-Saff; Ayat 4)
Ketiga, ia mengikat sillaturrahim (saling kenal mengenali) dan memperbaharui persahabatan lama sesama ahli yang sekian lama terjalin. Saya sendiri berjumpa dengan salah seorang responden kajian PhD saya yang berkhidmat di MADA iaitu Hj Nasiruddin Abdullah, Jurutera Kanan Pengurusan Air. Sebelum ini, saya tidak pernah mengenali beliau.
Saya juga berjumpa sahabat lama Dr Abdul Rahman Bidin, PM Dr Ahmad Hariza Hashim (UPM), Ar Hj Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf, Prof Dr. Abdul Latif Bin Mohamed (CUCMS), dan ramai lagi.
Ia juga memberi peluang untuk kita bertanya khabar tentang sahabat-sahabat lain yang masih memikul tanggungjawab untuk menyampaikan risalah yang mulia ini.
Dan yang tak kurang penting juga ialah perjalanan kita yang menggunakan bas, sedikit sebanyak memberi ruang sekali sekala untuk kita berrehlah secara berjamaah. Usik mengusik sesama kita semasa dalam bas, merapatkan lagi ukhuwwah yang sedia terjalin.
Semoga IKRAM terus menempa nama dalam masyarakat dan kita terus istiqamah dalam mengajak manusia ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran, insyaAllah.
Mudah-mudahan MTN menyuntik semangat golongan tua dan muda. Amat tepat kata al-banna: Hikmat us-Syuyukh wa hamaasat us-Syabab".
ReplyDelete