Friday, October 15, 2010

Penerimaan Doa Orang Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapanya


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar (RA), daripada Rasulullah (SAW), sabdanya:

"Ketika 3 orang lelaki sedang berjalan bersama-sama, mereka telah ditimpa hujan. Lalu mereka berlindung di dalam sebuah gua di sebuah bukit. Tiba-tiba sebiji batu besar daripada bukit itu jatuh menghempap mulut gua tempat mereka berlindung, lalu batu itu memerangkap mereka. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: "Renungkanlah tentang amalan-amalan soleh yang telah kamu lakukan kerana Allah. Seterusnya berdoalah dengan menyebut amalan-amalan itu. Semoga Allah akan mengalihkan batu ini daripada kamu."

"Salah seorang daripada mereka pun berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku mempunyai 2 orang ibu bapa yang sangat tua dan isteriku. Aku juga mempunyai anak-anak yang masih kecil. Aku juga membela haiwan ternakan untuk menyara mereka. Apabila aku pulang pada waktu petang membawa haiwan ternakan kepada mereka lalu aku memerah susu, aku mulakan dengan ibu bapaku. Aku memberi mereka minum dahulu sebelum anak-anakku. Pada suatu hari, aku pergi jauh kerana mencari pokok dan tumbuhan (untuk makanan haiwan ternakanku). Aku tidak pulang, sehinggalah sampai waktu petang. Lalu aku dapati ibu bapaku telah tidur. Aku pun memerah susu sebagaimana yang selalu aku buat. Aku membawa susu yang diperah itu, lalu aku berdiri di sisi kepala mereka berdua, tetapi aku tidak suka mengejutkan mereka daripada tidur. Aku juga tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum ibubapaku, sedangkan anak-anakku meraung-raung kelaparan di sisi dua belah kakiku. Itulah keadaanku dan keadaan mereka sehingga terbit fajar. Oleh itu, jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan semua itu kerana menuntut keredhaanMu, maka bukakanlah untuk kami satu bukaan yang melaluinya kami boleh melihat langit." Lalu Allah membuka untuk mereka satu bukaan, sehingga mereka boleh melihat langit melalui bukaan itu.

"Lelaki yang kedua pula berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku ada seorang sepupu perempuan yang aku cintai, seperti sekuat-kuat rasa cinta lelaki kepada perempuan. Aku telah menggodanya supaya menyerahkan dirinya kepadaku (untuk berzina), tetapi dia enggan kecuali aku membawa seratus dinar kepadanya. Lalu aku berusaha, sehingga aku dapat mengumpul 100 dinar, lalu aku datang kepadanya membawa duit itu. Tatkala aku berada di antara dua belah kakinya (bersedia untuk menjimaknya), dia berkata: "Wahai hamba Allah, bertakwalah kepada Allah. Janganlah kamu membuka cincin (memecahkan selaput dara) melainkan dengan haknya." Lantas aku bangun meninggalkannya. Oleh itu, jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan perbuatan itu kerana menuntut keredhaanMu, maka bukalah satu bukaan untuk kami." Lalu Allah membuka satu bukaan untuk mereka.

"Lelaki yang terakhir pula berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku pernah mengupah seorang pekerja dengan upah sebanyak satu faraq (3 gantang) padi. Tatkala dia selesai melakukan kerjanya, dia berkata kepadaku: "Berikanlah kepada saya akan hak saya." Lalu aku tawarkan kepadanya satu faraqnya itu. Tetapi dia tidak menyukainya (dan terus pergi tanpa mengambil upahnya). Aku sentiasa menanam benih padi yang menjadi upahnya itu sehingga aku telah menghimpunkan banyak lembu dan pengembalanya daripada hasil padi itu. Tiba-tiba (pada suatu hari), dia datang kepadaku, lalu berkata: "Bertakwalah kepada Allah. Janganlah kamu menzalimi saya pada hak saya." Akupun berkata: "Pergilah ambil lembu-lembu itu dan pengembala-pengembalanya." Lalu dia berkata lagi: "Bertakwalah kepada Allah. Janganlah mempersendakan saya." Lalu aku berkata: "Sesungguhnya saya tidak mempersendakan kamu. Ambillah semua lembu dan pengembalanya." Dia pun mengambil semua harta itu, lalu membawanya pergi. Oleh itu, jika Engkau mengetahui bahawa aku telah melakukan semua itu kerana menuntut keredhaanMu, maka bukakanlah apa yang masih berbaki." Lalu Allah membuka apa yang masih berbaki." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment