Sunday, June 26, 2011

Bil Elektrikku Bulan Ini...


Pertama kali dalam sejarah, aku mendapat bil elektrik yang kadarnya ada 5 tahap dalam satu bil. Sebelum ini, paling banyakpun hanya 2 kadar dalam satu bil.

Ini rentetan pengisytiharan kerajaan tentang kenaikan tarif bil elektrik bermula 1 Jun 2011.

Jumlah penggunaan elektrik ialah 487 KWH. Perkiraan yang dibuat ialah;

198 unit X 0.286 = RM56.63
127 unit X 0.218 = RM27.69
63 unit X 0.334 = RM21.04
63 unit X 0.400 = RM25.20
36 unit X 0.402 = RM14.47
JUMLAH RM145.05

Ini bukanlah bil tertinggi yang pernah aku terima… Cuma aku rasa ralat sedikit kerana gaji seperti biasa (tiada bonus) atau penyelarasan gaji dibuat tetapi bil elektrik meningkat. Dengar khabar bil air juga akan turut naik.

Sekiranya kerajaan prihatin dan rakyat diutamakan, aku kira bil-bil yang melibatkan keperluan asas seperti air dan elektrik amat tidak wajar dinaikkan sama sekali.

Keperluan asas seperti pendidikan, elektrik, dan air sewajarnya ditanggung oleh pihak kerajaan walaupun tidak sepenuhnya. Lainlah kalau bil Astro, bil ‘hand phone’, bil ‘internet’ dan lain-lain, yang merupakan perkhidmatan sampingan, yang mana kita mempunyai pilihan untuk melanggannya atau tidak. Bil-bil ini yang sepatutnya dinaikkan harga.

Kerajaan yang baik, yang berjiwa rakyat sudah pasti mengkaji tentang keperluan dan kepentingan rakyat melebihi keperluan mereka sendiri. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, kita harus meneliti dan mengkaji terlebih dahulu, apa impak dan kesan yang bakal berlaku…

Benar, rata-rata TV dan Radio mencanangkan bahawa tarif ini tidak akan mengesani golongan bawahan kerana penggunaan mereka tidak banyak. Tetapi ia tetap memberi kesan terhadap golongan pertengahan.

Kadang-kadang, aku merasa agak cuak, apabila kerajaan mula saja menaikkan harga sesuatu barang atau perkhidmatan, maka keluarlah hujah-hujah yang menyokongnya oleh akhbar, atau berita TV. Seolah-olah, kadar harga barangan dan perkhidmatan kita ini adalah termurah di dunia dan sudah berzaman tidak pernah dinaikkan. Tiada akhbar yang berani untuk membuat penilaian sebaliknya atau setidak-tidaknya membuat perbandingan ilmiah kecuali akhbar pembangkang.

Wahai pemberita, cubalah hidup di alam nyata! Usahlah membuat berita yang engkaupun kadang-kadang ‘senak perut’ hendak menelannya! Dimana letaknya etika kewartawananmu? Alangkah zalimnya, jika kita menulis tetapi penulisan kita tidak berteraskan kenyataan atau kebenaran. Usahlah menjadi pelapor berita palsu… Cuba bayangkan… di suatu hari di mana semua anggota menyalahi diri kita kerana kita tidak mempersaksikan kebenaran!!!

Aku tidak meminta yang lain. Tidak lebih dan tidak kurang dari kebenaran. Tidak memihak kepada kerajaan apatah lagi kepada pembangkang! Yang penting ialah menyatakan berita yang sebenar dan biarkan masyarakat menilainya sendiri...

1 comment:

  1. Bil elektrik aku di Amerika bulan ini adalah 127.44 x 3.12=RM398 untuk apt satu bilik 700 kaki persegi. Pasang a/c cuma lebih kurang 7 hari sebab summer belum masuk lagi. Bil dibahagikan kpd 12 bahagian. Bulan ini guna 543kwh. Take it for whatever it worth.

    ReplyDelete