Friday, April 10, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 7


Selepas 'breakfast', kami menaiki bas di depan hotel dan bertolak lebih kurang jam 9.30 pagi. Sepanjang perjalanan, Mutawif akan menceritakan tempat-tempat bersejarah yang kita lalui dan kita ziarahi.

Program Ziarah Luar agak menarik. Destinasi pertama ialah Masjid Quba'. Masjid pertama dibina oleh Rasulullah (SAW), sebaik saja tiba di Madinah pada hari Isnin, 12 Rabi'ul Awwal bersamaan 20 September 622M. Ia terletak 3km di selatan Madinah. Setelah selesai membinanya, Rasulullah mengimami solat jamaah di kalangan Muhajirin dan Ansar berkiblatkan Baitul Maqdis.

Menurut riwayat al-Nasa'iy dan Ibnu Majah, hadis Rasulullah (SAW), "Sesiapa yang keluar daripada rumahnya sehinggalah sampai di Masjid Quba' dan bersembahyang di dalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah". Jadi, kamipun menunaikan solat di dalam masjid yang tertua ini!

Destinasi kedua ialah Bukit atau Jabal Uhud. Bukit Uhud adalah bukit terpanjang di Madinah, 6km panjang dari timur ke barat. Ia terletak 5km di utara Madinah. Peristiwa terpenting berlaku di sini ialah Peperangan Uhud. Tentera muslimin seramai 700 orang menentang tentera musyrikin pimpinan Abu Sufyan seramai 3000 orang.

Peringkat pertama peperangan, kemenangan di pihak Islam kerana hasil strategi Rasulullah menempatkan 50 orang pemanah di atas bukit yang diketuai oleh Abdullah ibn Jubair al-Ansary. Peringkat kedua, tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid Ibn Walid berjaya menggempur saki baki pasukan pemanah tentera Islam yang tinggal di atas bukit. Peperangan ini menyebabkan 70 orang tentera Islam syahid, 64 golongan Ansar dan 6 orang golongan Muhajirin. Pasukan musuh hanya mengalami 22 kematian. Antara sahabat yang gugur syahid ialah Saidina Hamzah ibn Abdul Mutalib, Abdullah ibn Jahsy dan Mus'ab ibn 'Umair. Maqam mereka adalah bersebelahan dengan Bukit Uhud yang kita lawati.

Seterusnya, kami ke Masjid Al-Qiblatain (Masjid Dua Kiblat). Ia terletak berdekatan dengan Universiti Islam Madinah. Rasulullah (SAW) bersama beberapa orang sahabat telah pergi ke perkampungan Bani Salamah kerana menerima jemputan jamuan makan tengahari daripada Ummu Bisyr ibn al-Bara'. Apabila tiba waktu Zohor, Rasulullah dan sahabat mengerjakan solat Zohor berkiblatkan Baitul Maqdis. Ketika berada pada rakaat kedua, turun firman Allah, "...Maka sesungguhnya Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram..." (Al-Baqarah;144).

Dengan turunnya ayat tersebut, Rasulullah segera mengubah arah kiblat baginda dengan berpusing ke belakang (180 darjah) lalu mengadap ke Baitullah dan terus menyempurnakan solat. Dengan kata lain, Rasulullah mengerjakan solat Zohor ini dengan menghadap ke arah 2 kiblat, iaitu Baitul Maqdis di Palestin dan kemudiannya Baitullah di Mekah.

Seterusnya, kami dibawa melihat kawasan bekas khandaq (parit) yang digali tentera muslimin sebagai persediaan menghadapi tentera Ahzab. Idea untuk menggali parit ini adalah datang dari Salman Al-Farisi. Peperangan Khandaq berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Walau bagaimanapun kini sudah tiada lagi sebarang kesan parit yang digali lebih 1400 tahun dahulu....

Labbaikallah Hummalabbaik Labbaikala Syari Kala Kalabbaik.....

No comments:

Post a Comment