Sunday, August 29, 2010

Malam Badar Hidayah 1431


Semalam berlangsung acara tahunan Hidayah iaitu Malam Badar. Pada paginya, persiapan memotong bawang, daging, tulang, dan sebagainya. Tengahari, mereka mula memasak.

Kumpulan usrahku ditugaskan untuk membantu dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Aku bersama Firdaus, dan anak-anak, 'Ammar dan Rasyid ke Hidayah untuk membantu.

Pada masa yang sama, kumpulan mengumpul dana yang diketuai oleh Prof Madya Dr Kamarul Baharin Tawi telah membuat persiapan mengecop nombor siri resit atau kupon di Hidayah. Resit-resit bernilai RM5 dan RM10 ini akan diberi kepada penderma sebagai bukti pendermaan mereka kepada Dana Hidayah.

Bertungkus lumus kumpulan pengumpulan dana untuk mencari RM1.8 juta untuk menaikkan 2 bangunan tambahan Hidayah. Yang terkumpul sekarang baru RM0.5 juta.

Salah satu bangunannya (bangunan kayu bersebelahan surau) akan mula dirobohkan pada 1 September ini dan akan mula dibangunkan dengan bangunan baru. Manakala, satu lagi bangunan terpaksa menunggu dulu sehingga duit mencukupi.

Alhamdulillah, hasil kutipan Malam Badar malam tadi menjangkau melebihi RM70 ribu. Disamping menerima sumbangan secara berterusan, anak-anak Hidayah akan dibekalkan dengan resit-resit tersebut untuk mencari dana semasa cuti raya nanti.


Sekolah yang telah terbukti bagus dari segi prestasinya, baik dari aspek akademik mahupun sahsiah pelajar, juga susah mendapat simpati dan bantuan dari kerajaan.

Sepatutnya, sekolah seperti inilah dibantu kerajaan! Muridnya berakhlak mulia, gurunya berdedikasi, prasarananya sederhana, tetapi pencapaian akademik dan ko-kurikulum melebihi dari sekolah biasa.

Sekolah seperti ini yang gejala sosialnya boleh dikatakan sifar sepatutnya mendapat sokongan dan dokongan dari pihak kerajaan. Sekolah ini perlu mendapat bantuan kerana ia mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam menyelesaikan segala penyakit sosial akibat dari sistem pendidikan yang tidak seimbang.

Tetapi kita kurang prihatin tentang apa yang orang lain boleh lakukan untuk menyelesaikan masalah negara. Yang lebih penting bagi kita ialah kita terus menerajui negara!

Kadang-kadang aku merasa agak kecewa apabila melihat sebuah sekolah cina yang didirikan di Taman Impian Emas. Sekolah Cina ini dijanjikan semasa pilihanraya umum yang lepas. Sekarang ini ia siap tersergam indah tetapi masih tiada penuntut yang belajar di situ.

Setiap hari aku menghantar anak ke Hidayah, aku melintasi sekolah tersebut. Dalam hati aku berkata, kenapa ya sekolah Cina yang dibina kerajaan boleh bernama Sekolah Thai Hong? Kenapa kerajaan tidak menamakan sekolah tersebut dengan nama cina yang telah berbakti kepada negara, seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yap Ah Loy dan sebagainya, kalaupun tidak dinamakan dengan nama yang lebih nampak kemalaysianannya.

Aku juga bertanya, perlukah masyarakat cina kepada sekolah itu? Aku nampak seperti ia tidak diperlukan tetapi kita terpaksa memberikannya kerana telah dijanjikan. Sudah berapa lama ianya siap tetapi nampak seperti hanya guru-guru dan staf sahaja yang berulang-alik ke sekolah itu. Pelajarnya tiada!


Di sekitar Johor Baharu, masyarakat cina lebih gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang lebih berprestij seperti Sekolah Menengah Seri Omega atau Sekolah Menengah Foon Yew. Walaupun yuran Sekolah Seri Omega agak mahal (menurut kawan cina RM700 sebulan) tetapi mereka masih menghantar anak ke sana kerana sistem pembelajarannya bagus.

Pernah juga terjadi, guru dari Hidayah pergi berkhidmat di Sekolah Seri Omega kerana bayaran gajinya lebih lumayan. Mereka mampu membayar gaji yang mahal kerana mereka mengenakan yuran yang mahal kepada pelajar.

Sekolah Hidayah lebih kepada memenuhi keperluan sosial. Kita ingin seramai mungkin yang mampu belajar di Hidayah. Kita tidak mengutamakan keuntungan sama sekali. Gaji guru Hidayah jauh bezanya berbanding dengan sekolah kerajaan mahupun swasta yang lain. Gaji guru-guru Hidayah sangat rendah dan tidak mempunyai kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan sebagainya.

Kadang-kadang terasa sedih juga apabila kerajaan boleh memberi bantuan kepada sekolah swasta cina tetapi tidak kepada sekolah swasta melayu. Lihat aje petikan di bawah;

Kerajaan Johor mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM3.2 juta kepada sekolah Cina dan untuk membina rumah ibadat di Johor.

Wang tersebut akan disalurkan melalui MCA, termasuk RM1.5 juta untuk semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK(C)), RM400,000 kepada lapan sekolah menengah Cina swasta dan RM300,000 untuk Kolej Selatan.


Cuma, kadang-kadang apabila kita berjaya bangkit tanpa bantuan orang lain, kita akan merasa begitu puas... Puas kerana kita mampu berdikari!

Semoga Sekolah Hidayah terus maju dan melahirkan lebih ramai cerdik pandai yang amilin dan muttaqin, insyaAllah...

Friday, August 27, 2010

Perlu Cuba Menjadi Pemurah Jika Ingin Berjaya...

Kita selalu dengar ustaz berceramah bahawa harta atau wang milik kita yang sebenar ialah wang yang telah kita belanjakan. Yang berada di bank atau dalam simpanan di rumah, ia belum tentu menjadi milik kita...

Apabila kita mengeluarkan RM100 dan diberikan kepada surau untuk majlis iftar atau berbuka puasa, maka malaikatpun mencatitnya. Begitu juga, apabila kita mendengar Sekolah Islam Hidayah memerlukan RM1.8 juta untuk membina bangunan sekolahnya hujung tahun ini, maka kita keluarkan RM100 untuk itu. Malaikat sekali lagi mencatit perbelanjaan yang telah kita buat.

Wang yang telah kita belanjakan tadi memang sah milik kita dan kita mendapat habuan pahala hasil darinya. Wang yang masih dalam bank mungkin sekadar transit untuk menjadi milik orang lain selagi kita belum membelanjakannya.

Kita juga selalu dengar ustaz bercerita bahawa duit yang kita infaq di jalan Allah tidak akan berkurangan malahan makin bertambah. Susahkan logik akal untuk menerimanya? Itulah hakikat sebenar yang berlaku. Makin kita menderma makin banyak rezeki yang Allah berikan.

Juga boleh dikatakan makin banyak kita menderma makin berkurangan ujian atau musibah yang datang. Setiap musibah memerlukan perbelanjaan atau penggunaan wang ringgit.

Contoh yang mudah ialah, mungkin kereta kita tidak banyak mengalami kerosakan. Walaupun telah memakainya berpuluh-puluh tahun tetapi rosak baru sekali dua aje. Mungkin juga rosaknya tidak melibatkan alat komponen yang mahal-mahal. Anak isteri jarang sakit atau demam yang memerlukan rawatan yang tinggi. Paip air di rumah tidak bocor. Dan macam-macam lagi.

Bulan Ramadhan ini, aku cuba untuk memenuhi semua permintaan atau keperluan orang lain. Sesiapa yang meminta, akan aku cuba tunaikan. Kalau tidak banyak, sikit pasti diberikan.

Cuba kita bayangkan dalam kesusahpayahan Rasulullah, beliau masih mampu menjadi insan pemurah.

Tidak kurang juga mereka yang bersedekah mengharapkan mendapat ucapan terima kasih, penghargaan, sanjungan, pujian, dan penghormatan.

Semoga kita dijauhkan dari mempunyai niat yang keliru apabila bersedekah. Apabila kita bersedekah, kita mengharapkan kita bersedekah dengan niat tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.

Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin telah menjelaskan bahawa sekiranya tujuan mengeluarkan zakat adalah hendak mendapatkan kemasyhuran, maka amal menjadi rosak kerana tujuan berzakat adalah bagi menghilangkan rasa sayang atau cinta kepada harta.

Mudah-mudahan dengan baki bulan Ramadhan yang ada ini, kita makin giat untuk membuat sedekah dan beramal. Dan akhirnya mencapai objektif puasa yang sebenar iaitu mencapai ketaqwaan (la'allakum tattaqun).

Tuesday, August 24, 2010

Sahur Kami Saban Hari...

Sudah hampir separuh Ramadhan berlalu pergi, aku belum lagi ke Bazar Ramadhan untuk membeli kuih muih untuk berbuka. Entah kenapa, tiada rasa keinginan untuk ke bazar.

Sekarang memadai dengan sardin roll atau jemput-jemput buatan isteri. Pernah juga isteri membuat cream caramel (puding gula hangus), custard jagung, dan air susu bersama custard, jelly, dan buah-buahan.

Atau kerana aku rasa semua penjual di bazar hanya pentingkan keuntungan dunia saja. Tiada perasaan untuk menjual sambil menderma untuk orang berbuka yang mana pahalanya kita tahu begitu besar sekali.

Kalau menjual kuih muih sambil memberi makan orang berbuka, saiz kuih mungkin lebih besar atau harga kuih mungkin lebih murah.

Pernah seorang kawanku membeli kuih carai sebanyak beberapa belas ringgit untuk majlis berbuka puasa di surau, dan baki kuih yang tinggal ialah 2 biji. Tiada sepatah katapun dari penjual, "Oklah yang dua biji ni saya sedekahkan untuk berbuka!".

Kami juga tidak pernah 'missed' untuk bersahur. Saban malam, ummi akan bangun jam 3 pagi untuk memasak 'campbell soup' cicah dengan roti, atau 'hash brown' makan dengan sos tomato, atau 'fish and chips' atau 'sausage' dengan roti.

Jarang-jarang, ummi akan goreng nasi yang tak habis masa berbuka semalam! Kalau nasi bersama lauk dan kuah memang tak jalan untuk kami sekeluarga. Dah berpuluh-puluh tahun, itulah menu kami untuk sahur.

Apabila bersahur di rumah datuk dan neneknya di Pengkalan Chepa, boleh pula anak-anak makan nasi.

Mungkin segala-galanya bermula dariku. Bagiku, bersahur kadang-kadang memadai hanya dengan air masak segelas. Tetapi apabila berbuka, nasi mesti ada!. Apabila anak-anak melihat kita tidak makan nasi, merekapun tidak ingin makan nasi.

Walau apapun, yang utama dan penting ialah kita perlu bersahur!. Kita mendapat pahala dengan berbuat demikian...

Monday, August 23, 2010

Buat Kad Pengenalan 'Ammar

Semalam (Ahad), 22hb. Ogos adalah hari lahir 'Ammar. Genap umurnya 12 tahun.

Anakku 'Ammar di masa kecilnya agak susah hendak dijaga. Bukan susah yang bagaimana, cuma susah apabila dia demam! Apabila 'Ammar demam, kami amat risau sekali kerana dia akan mudah kejang.

Umminya selalu mengambil langkah waspada dengan memandikannya atau mengelapkan kepalanya dengan kain basah apabila 'Ammar demam.

Kami sangat risau kerana takut 'Ammar mengalami masalah saraf otak jika demam terlalu panas.

Alhamdulillah fasa itu telah berlalu, 'Ammar tidak lagi diserang 'fit' jika dia demam. Sudah lama rasanya, mungkin sejak dia mula masuk sekolah dulu...

Beza umur 'Ammar dengan abangnya Luqman @ Achik ialah 2 tahun, manakala dengan adiknya Rasyid ialah 3 tahun.

'Ammar ialah satu-satunya anakku yang terpaksa memakai 'hearing aids' kerana telinga kanannya kurang dengar. Darjah pendengaran telinga kanannya ialah 65dB, manakala telinga kiri ialah 25dB. Ini mungkin rentetan dari pengalaman selalu kejang semasa bayi dahulu (Hanya Allah yang Maha Mengetahui punca sebenarnya).

Sungguhpun 'Ammar anak yang istimewa, kami tetap menyayanginya sama seperti 8 orang anak-anak yang lain.

Malam tadi, jam 2337, Kak Long dari Mesir menghantar mesej padaku...

"Salam abah. Nak mintak tolong abah sampaikan: Happy 12th Birthday 'Ammar! Sanah helwah... Moga menjadi hamba Allah yang taat, anak yang soleh, abang yang menjadi contoh, adik yang baik, pelajar yang success... Didoakan semoga 'Ammar berjaya dalam UPSR dan SPPM... Dan yang utama semoga menjadi pejuang buat Islam, biar sehebat 'Ammar bin Yassir... 'Ammar belajar rajin-rajin tau, biar makin pandai... Score banyak-banyak. Tahun depan insyaAllah kita jumpa. Dan jangan lupa solat, qiam dan doa banyak-banyak pada Allah. Sayang 'Ammar..."


Itulah sms Kak Long yang aku tunjukkan kepada 'Ammar pagi tadi semasa sahur.

Pagi tadi sebelum jam 7, kami sudah bergerak ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Kulai Jaya. Dalam masa 15 minit kami tiba dari Skudai, dan didapati ada sebuah kereta lain sudah menunggu.

Apabila pejabat dibuka pada pukul 8 pagi, mungkin dalam 15 orang hingga 20 arang yang ingin berurusan dengan JPN. Sangkaan kami, JPN masih ramai yang beratur dan perlu datang awal pagi kerana takut nombor habis adalah meleset.

Disamping membuat kad pengenalan 'Ammar, kami juga mengambil kad pengenalan ummi yang mengubah alamat, dan kad pengenalan abang yang hilang semasa menjadi fasilitator mukhayyam untuk pelajar SRIH, awal tahun ini.

Kad pengenalan 'Ammar akan siap dalam masa sebulan...

Sunday, August 22, 2010

Iftar IKRAM Johor Bahru Tengah (JBT)


Suasana bantu membantu memasak seperti di kampung masih boleh dilakukan walaupun kita berada di bandar. Biah ini akan merapatkan hubungan sesama kita dan menjelmakan ikatan ukhuwwah yang saling hormat menghormati dan sayang menyayangi.

Di bandar kita mempunyai pilihan, samaada kita ingin bergotong royong memasak ataupun untuk mengupah orang memasak. Jalan senang ialah sudah pastinya membekalkan bahan mentah dan mengupah orang untuk memasak atau kita hanya menyediakan wang dan membiarkan pihak 'caterer' membuat segalanya, dari membeli bahan mentah, sehinggalah menyediakan makanan di atas meja.

Pilihan untuk memasak sendiri, sudah pasti mempunyai agendanya. Disamping merapatkan ukhuwwah sesama kita, kos memasak juga dapat dikurangkan. Tetapi yang penting, ramai ahli yang sanggup membantu. Perancangan dari semua aspeks, dari awal hingga akhir perlu dibuat dan dipantau sepenuhnya.

Agenda yang paling utama apabila kita memasak sendiri ialah untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Suasana percakapan yang tidak formal semasa memotong bawang, membasuh ayam, atau menggoreng rempah lebih tulus. Tidak skema seperti dalam majlis formal... Dan ini merapatkan ukhuwwah!

Sungguhpun begitu, setiap proses perlaksanaan rewang perlu diagihkan mengikut kumpulan supaya ada pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya. Ada kumpulan membeli barang-barang mentah, ada kumpulan memasak yang merangkumi memotong bawang dan sebagainya, ada kumpulan pembersihan, ada kumpulan membuat hidangan, ada kumpulan menyambut tetamu, dan lain-lain.

Setiap kumpulan perlu berkerja secara 'teamwork' dan saling bantu membantu dengan kumpulan-kumpulan lain. Barulah nikmat ukhuwwah itu terasa.

Jika kita tidak mempunyai kumpulan yang mantap, akan berlaku kekurangan di sana sini, dan objektif untuk saling kenal mengenali akan berubah menjadi saling kutuk mengutuk dan suasana keakraban tidak tercapai.

Pertubuhan IKRAM cawangan JBT telah melakukan rewang iftarnya semalam diketuai oleh YDPnya sendiri, Prof Madya Dr Hj Tholuddin Mat Lazim. Acara memasak telah diadakan di surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama, dan majlis iftarnya pula di Rumah Alumni, UTM.

Alhamdulillah, begitu ramai pemuda yang datang untuk membantu memasak. Dan hampir 300 orang telah berbuka bersama di Rumah Alumni.

Program berjalan lancar dengan majlis berbuka, disusuli dengan solat maghrib, kemudian sedikit peringatan atau tazkirah dari YDP. Majlis diteruskan dengan solat Isya dan solat sunat tarawikh bersama. Majlis bersurai hampir jam 10 malam.

Friday, August 20, 2010

Adat Berpuasa Di Bulan Ramadhan - 12



"Barangsiapa yang hendak beri'tikaf bersamaku, hendaklah ia melakukannya pada 10 terakhir!". (Riwayat Bukhari)

Kita digalakkan untuk beri'tikaf di masjid di 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan.

Orang yang sedang beri'tikaf disarankan supaya memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat serta menyibukkan diri dengan solat, membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, tahlil, bertakbir, beristighfar, berdoa, membaca selawat atas Nabi (SAW), dan membuat kebaktian lain yang mendekatkan kita kepada Allah Ta'ala dan menghubungkan manusia dengan Penciptanya Yang Maha Agung.

Kita juga disuruh mempelajari sesuatu ilmu, menelaah kitab-kitab Tafsir dan Hadis, serta membaca riwayat Nabi-nabi dan orang soleh, buku-buku fikih dan keagamaan.

Perkara-perkara yang membatalkan i'tikaf adalah;

i) Sengaja keluar masjid tanpa sesuatu keperluan walau hanya sebentar
ii) Murtad
iii) Hilang akal disebabkan gila atau mabuk
iv) Haid
v) Nifas
vi) Bersama isteri

"Bahawa Rasulullah (SAW) biasa beri'tikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan. Berkata Nafi': "Abdullah bin Umar memperlihatkan sendiri kepada saya tempat yang biasa diduduki oleh Rasulullah (SAW) untuk beri'tikaf". (Riwayat Ibnu Majah)

Thursday, August 19, 2010

Usrah Berjalan Seperti Biasa Di Bulan Ramadhan Kareem

Petang semalam kami sekeluarga berbuka puasa di Surau at-Taqwa, Taman Pulai Utama. Iftar yang disediakan adalah anjuran Fasa 1, Taman Pulai Utama, iaitu fasa kami.

Malam ini, fasa lain pula menganjurkannya. Begitulah sehingga 27 Ogos, dah 'fully booked' jadual berbuka puasa di Surau at-Taqwa.

Alhamdulillah, masyarakat makin sedar tentang fadhilat menjamu orang berbuka. Pahala begitu besar sekali, yakni pahala puasa semua orang yang memakan makanan kita tanpa mengurang pahala mereka walaupun sedikit. Huh, banyak tu...

Kalau kita kurang mampu untuk memberi orang lain makan walau sebiji kurma, walau secawan air, walau sekeping kueh, maka bantulah menyediakan makanan untuk orang berbuka. Dapat pahala juga!

Semalam saya membantu menuang bubur lambuk ke dalam plastik di Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM. Bubur lambuk ala bubur lambuk Kg. Baru, Kuala Lumpur telah disediakan oleh 'team' Sahabat YADIM dari Kuala Lumpur untuk diedarkan kepada pelajar dan staf. Sekejap aje, semua habis dan ramai yang tak sempat merasa...

Selesai berbuka di Surau at-Taqwa, kami sekeluarga beransur ke MSI untuk solat Isya' dan Tarawikh, iaitu tempat tarawikh kami sejak menjadi felo dan pengetua dulu sehinggalah sekarang.

Sebelum ini, ada menerima sms dari naqib bahawa usrah malam ini bermula dari 10 malam hingga 11.30 malam. Walaupun puasa, usrah tetap berjalan!

Selesai solat tarawikh, kami terus bergerak pulang. Selalunya kita sempat mendengar tazkirah dulu sebelum balik. Malam tadi, 'turn' PM Dr Ustaz Azhar untuk memberi tazkirah.

Selesai menghantar anak isteri pulang ke rumah, saya terus ke rumah rakan usrah.

Banyak 'reminder' dari naqib tentang kebesaran, keberkatan, dan kepentingan bulan Ramadhan. Sia-sialah kita membiarkannya berlalu pergi. 10 hari yang pertama ialah rahmah, 10 hari kemudiannya ialah pengampunan dosa, dan 10 hari terakhir ialah menjauhi diri dari api neraka.

Setiap detik dan setiap saat adalah begitu berharga di bulan Ramadhan. Tidurpun mendapat pahala, subhanallah!

Rugilah kalau kita membiarkan Ramadhan berlalu pergi... Sedar-sedar dah hujung bulan... Astaqfirullah al 'Azim!!! Tahun depan belum tentu akan ketemu lagi...

Ayuh kawan-kawan, kita masih di bulan Ramadhan Kareem, diambang fasa 10 malam yang kedua. Marilah kita banyak membaca "Allahumma Innaka 'Afuwwon Kareemun Tuhibbul 'Afwafa' Fuanni" disamping zikir dan doa-doa yang lain. Semoga dosa-dosa kita diampuni Allah SWT. Tentukan sekurang-kurangnya kita khatam Al-Quran sekali dalam sebulan.

Kita masih ada 20 hari untuk bersedekah. Jika ada sikit, memang sikit sekarang kerana belum gaji lagi, berilah sedikit... Jika ada banyak beri banyak sikit. InsyaAllah, sedikit perngorbanan dan perbelanjaan kita akan dicatat sebagai amal qawiyy oleh Allah SWT.

Minggu depan, insyaAllah usrah kami bermula lebih awal dan disusuli dengan iftar jamaie.

Wednesday, August 18, 2010

Balik Raya Naik Bas UTM

Aku rasa UTM telah lama mengadakan 'trip' ke Kelantan dan Terengganu apabila musim Raya ataupun cuti semester. Tak pasti pula IPTA lain... Mungkin juga ada, demi kebajikan pelajar.

Aku berpandangan idea ini adalah satu langkah yang bijak. Pertama, ia sebagai satu khidmat kebajikan kepada pelajar. Kedua, pelajar-pelajar UTM tidak perlu untuk membeli tiket bas luar seperti Transnasional, Cepat, dan sebagainya. Tiket bas luar sepatutnya dibiarkan untuk memenuhi keperluan atau pasaran orang lain di waktu puncak seperti hari perayaan dan lain-lain. Kalau tidak, pelajar-pelajar UTM saja sudah memenuhi permintaan pasaran bas luar. Orang lain dah tak boleh beli tiket!

Lagipun, UTM rugi kalau tidak menggunakan bas yang tersedia! Kita mempunyai berpuluh-puluh bas yang berkualiti tetapi hanya digunakan di waktu semester berjalan aje... 'Futhermore, they are all very well maintained'!

Pelajar juga dapat mengelak dari 'terkena' membayar tambang bas yang tinggi kepada ulat-ulat yang menjual tiket. Pelajar juga dapat dilindungi dari tertipu dengan kualiti bas tambahan yang dijanjikan.

Banyak lagilah kalau hendak disenaraikan kebaikan-kebaikannya, baik kepada pelajar, ibubapa mereka, mahupun pihak kerajaan.

Kepada pihak kerajaan, sekurang-kurangnya perkhidmatan bas UTM yang digunakan untuk membawa pelajar balik ke destinasi mereka semasa hari perayaan dapat mengatasi masalah kekurangan bas yang mana kerajaan terpaksa mengeluarkan permit kepada bas-bas sekolah yang mana kualitinya belum tentu terjamin dari segi keselamatan dan sebagainya.

Perkhidmatan bas UTM untuk balik raya ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu mendapat sambutan yang menggalakkan. Pada tahun ini, 'trip' yang awal kalau tidak silap saya bermula pada 1 September dan yang terakhir pada 4 September.

'Trip' balik semula ke UTM Skudai pula bermula pada 17 September dan mungkin sehingga 3 atau 4 hari selepas itu.

Dengar-dengar khabar, saban tahun sambutan yang diterima amat menggalakkan. Menurut En. Ali, pengendali perkhidmatan ini dari Pejabat Harta Bina UTM, satu hari sehingga 12 bas berlepas ke Kota Bharu pada tahun ini.

UTM juga pernah membuat perkhidmatan untuk ke utara Semenanjung bagi memberi keadilan kepada semua pelajar. Tetapi katanya, sambutan kurang menggalakkan! Pada tahun lepas, 2 bas yang digunakan pun tidak penuh...

Ini mungkin pelajar yang ingin ke utara mempunyai banyak pilihan syarikat bas berbanding ke pantai timur.

Pada tahun ini, aku dan keluarga juga menggunakan perkhidmatan bas UTM untuk balik beraya di kampung. Rasa tidak larat untuk membawa van ke Kota Bharu. Mungkin faktor usia sudah meningkat!

Masa muda-muda dulu untuk merentasi Arizona dan Texas, tidak menjadi masalah. Aku juga pernah membawa kereta berseorangan dari New Orleans ke Kansas City!

Pada mulanya, ingatkan hendak balik ke KB pada 8 September dan kembali ke Skudai 3 atau 4 hari selepas Raya. Lagipun 'Ammar akan menghadapi peperiksaan UPSRnya pada 20 September nanti. Tetapi perkhidmatan bas UTM yang terakhir ke KB ialah pada 4 September dan bas pertama ke Skudai pula pada 17 September.

Tak apalah, pada tahun ini anak-anak akan bersama datuk dan neneknya lama sikit. Dapat bermain dengan sepupu-sepupu mereka sampai puas, lagipun bukan selalu balik kampung, setahun hanya sekali!!!

Cuma yang susahnya, apabila hendak ke sana sini di KB nanti. Tak apa, pandai-pandailah guna 'public transport'... Atau naik beca, anak-anak mesti suka dapat naik beca atau dipanggil 'teksi' di Kelantan.

Satu lagi yang bagus berkaitan perkhidmatan bas UTM ialah dari segi tambangnya. Amat murah berbanding dengan perkhidmatan bas konvensional yang lain. Tambang ke KB hanya RM45, pergi dan balik RM90. Dengar khabar, tambang bas biasa untuk ke KB lebih kurang RM70 satu hala. Aku membayar RM810 untuk 9 tiket!

"Ada tiga jenis doa yang pasti diterima tanpa syak lagi, iaitu: Doa bapa, doa orang yang bermusafir, dan doa dari orang yang teraniaya". (Riwayat Ahmad, Abu Daud & Turmudzi)

Tuesday, August 17, 2010

Iftar Bersama Anak Usrah

Pada hari semalam (Ramadhan ke-6), kami telah berjaya melaksanakan iftar jama'ie sesama ahli usrah. Usrah yang biasanya berjalan pada pukul 9.15 malam telah diawalkan kepada jam 6 petang dan diteruskan dengan iftar bersama.

Lebih kurang 6.20 petang, kami memulakan usrah. Saya membuka majlis dan diteruskan dengan sesi pembentangan tentang seerah Nabi oleh saudara Skem atau Suhaimi. Buku seerah yang digunakan ialah dari karangan Dr Mustafa as-Sibaie, dari muka surat 9 hingga 26.

Saudara Skem menjelaskan tentang perlunya kita mempelajari seerah sebagai panduan dan ikutan kita kepada junjungan Nabi Muhammad (SAW) dan bukan sekadar hanya menjadi cerita-cerita penglipur lara.

Ahli usrah yang hadir semalam ialah saudara Skem @ Suhaimi, Saudara Hadi, Saudara Firdaus, dan Saudara Syed Abdul Hakim. Saudara Muhaimin tidak dapat datang kerana ibunya telah dimasukkan ke wad kerana disyaki mengidap penyakit darah tinggi (Didoakan semoga ibu Muhaimin cepat sembuh seperti biasa). Manakala Cikgu Ariff juga tidak dapat datang kerana kelas mengajarnya habis agak lewat di sekolah.

Hj Abdullah Zawawi yang merupakan naqib bersama juga turut hadir. Sudah 2 sesi, Tn Hj Abdullah Zawawi bersama-sama kami.

Suhaimi menceritakan tentang 4 asas rujukan yang digunakan untuk menulis seerah. Yang pertama ialah kitab al-Quran. Di dalamnya ada diceritakan oleh Allah (SWT) tentang akhlak nabi dan sebagainya. Kedua ialah dari sumber hadis yang dihafal oleh para sahabat. Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, An-Nasai, Tarmizi, dan lain-lain adalah dirujuk.

Sumber yang seterusnya ialah syair-syair arab di zaman kerasulan. Dan akhir sekali, ialah kitab-kitab seerah seperti Ibnu Ishak, Ibnu Hasyim dan lain-lain.

Selesai pembentangan Seerah Nabi, saya mengingatkan kepada semua ahli tentang Program Iftar IKRAM JBT pada 21 Ogos ini di Rumah Alumni dan Program Malam Badar di Sekolah Hidayah pada 28 Ogos.

Kami berbuka puasa dengan buah tamar, martabak, tembikai, sardin roll, dan buah dokong. Kemudian kami solat maghrib berjamaah dan meneruskan agenda terakhir iaitu menjamu selera dengan daging masak kurma, cencaru goreng, dan sayur.

Dan seterusnya, masing-masing bergerak ke masjid untuk menunaikan solat Isya' dan tarawikh di sana.