Tuesday, March 31, 2009

Mengerjakan Ibadah Haji - 1


Ibadah Haji adalah Rukun Islam yang ke-5. Hanya difardukan kepada yang mampu dari segi tenaga fizikal dan wang ringgit. Rata-rata sekarang ini ramai yang mampu, bahkan ada yang pergi selang beberapa tahun sekali.

Ada yang berpendapat lebih baik kita bantu jiran tetangga yang betul-betul miskin dari kita pergi ke Mekah tiap-tiap tahun. Ada pula mengatakan, kalau orang itu mampu biarlah dia pergi Mekah tiap-tiap tahunpun, berbanding dia pergi melancong ke tempat yang bukan-bukan.

Walau apapun, bagi saya niat itu penting! Bukan pergi menunaikan ibadah Haji supaya orang panggil Tuan Haji. Bukan pergi Mekah setiap tahun supaya orang kata kita 'alim atau wara'.

Kadang-kadang menggunakan perkataan Haji di pangkal nama juga menjadi isu. "Apalah nak menunjuk dia dah pi Haji, konon! Nabi Muhammad (SAW) tak taruk nama Haji pun!"

Sesetengah orang sengaja tidak hendak meletakkan nama Haji supaya kalau dia hendak melakukan perkara yang tak elok, tiada siapa yang kutuk dan tiada siapa yang tahu. Walau dah pergi naik Haji, masih ada keinginan untuk membuat kerja-kerja bertentangan dengan syariat....

Ada juga yang sengaja meletakkan nama Haji supaya menjadi peringatan kepada dia untuk menghindarkan diri dari melakukan maksiat. Takkan aku nama Haji Wan, hendak bersekedudukan lagi, hendak mengumpat lagi, dan sebagainya. Pada saya, selagi kita tak marah orang tak panggil kita Tuan Haji maka insyaAllah kita masih ikhlas....

Alhamdulillah, saya bersama isteri telah menjalankan ibadah Haji pada tahun 2003 (1423H). Keinginan untuk menunaikan Rukun Islam ini sudah lama. Dikumpulkan duit, sedikit demi sedikit.

Pada tahun 2000 lagi, kami sudah teringin benar untuk mengerjakan Haji tetapi pada masa itu terpaksa membeli kenderaan besar (van) kerana bilangan anak sudah ramai, iaitu 5 orang. Habis duit simpanan TH dikeluarkan untuk membuat bayaran 'down payment' van.

Tahun 2001, isteri mengandung maka terpaksa ditangguhkan. Tahun 2002 pun sama, isteri mengandung lagi. Pada tahun 2003, kami bertekad untuk melaksanakan juga Rukun Islam ini walaupun terpaksa meninggalkan Sakinah yang baru berusia 52 hari!

Peristiwa-peristiwa di Mekah dan Madinah akan saya coretkan nanti, insyaAllah...

Monday, March 30, 2009

Tabung Haji dan Takaful Siswa


Anak-anak saya apabila berumur sebulan, saya terus membuka akaun Tabung Haji (TH) dan Takaful Siswa (TS). Akaun TH bertujuan supaya mereka tahu bahawa kita ada matlamat untuk ke Baitullah pada suatu masa nanti. Biar lambat tetapi halatuju sudah disetkan. Satu lagi dari aspek pelaburan Islam. Disamping membantu mereka yang ingin mengerjakan ibadah haji, kita juga mendapat sedikit keuntungan. Tiada perasaan yang was-was apabila meletakkan wang dalam TH. Zakatpun telah dikeluarkan. Caruman bulanan untuk anak-anak sekadar RM10 seorang. Biar sikit, lama-lama jadi bukit!

TS pula sebagai simpanan, sementara mereka dapat memasuki IPT. Setiap seorang saya carumkan RM30 sebulan. Apabila umur mereka mencapai 18 tahun, TS menjadi matang dan duit tadi boleh dikeluarkan untuk menampung perbelanjaan kemasukan ke IPT. Sekiranya berlaku sebarang musibah, TS bertindak sebagai insuran. Caruman ini juga dapat dikecualikan dari cukai pendapatan LHDN.

Masyarakat kita kurang prihatin tentang takaful atau insuran. Kaum lain bukan satu polisi yang mereka ambil, bahkan dua atau tiga! Mungkin jugak sebab kita kurang mampu. Hendak makan hari ke haripun masih berkira, inikan pula hendak masuk skim takaful....

Cuma bagi saya, kita kena lihat 'priority'. Kalau kita betul-betul tak cukup untuk makan atau minum, tak apa. Itu lebih penting. Kata orang, 'basic needs' kita masih tak lepas. Tetapi jika kenderaan atau perhiasan rumah yang kita ada melebihi keperluan maka saya rasa kita telah membuat salah pertimbangan. Yang lebih utama dikemudiankan dan yang kurang penting didahulukan.

Pendidikan anak-anak amat penting. Kita selalu dengar orang berkata, "An investment in knowledge pays the best interest". Kalau kita tidak membuat pelaburan di bidang akademik untuk anak-anak maka saya rasa kita akan kerugian nanti. Harta bertimbun ditinggalkan untuk anak yang tak berpelajaran akan hilang dalam sekelip mata.

Saya selalu sebut kepada anak-anak bahawa saya tidak mempunyai harta. Tetapi saya akan pastikan anak-anak saya dapat belajar setinggi mana yang mereka mahu! Dengan kata lain, saya tidak akan memberi mereka ikan tetapi sebaliknya mengajar mereka bagaimana hendak menangkap ikan.

"Courage doesn't always roar. Sometimes it's a quiet voice at the end of the day, saying .... "I'll do it again tomorrow" - Unknown.

Sunday, March 29, 2009

"Don't Bribe Me"


Ketika hendak ke universiti tadi, saya ternampak sebuah kereta polis dan tertera di cermin belakangnya "DON'T BRIBE ME". Ada dua tafsiran, yang positifnya ialah untuk mengajar masyarakat supaya jangan melakukan dan memberi rasuah kepada polis.

Sebaliknya pula menunjukkan pihak polis memang berleluasa menerima rasuah dan terpaksa menyuruh atau 'merayu' kepada masyarakat supaya tidak menghulurkan suapan. "Please don't bribe me". Kalau hulur, apa nak buat, saya terimalah.... Sudah hilang jati diri!

Dalam pemilihan parti UMNO, dua tiga hari lepaspun sama! Perwakilan terpaksa diperingatkan sentiasa supaya tidak menerima habuan politik wang. Apa maksud politik wang? Maksudnya sama iaitu 'bribe', rasuah, sogokan atau suapan. Cuma bunyinya lebih halus. Sama juga dengan 'pig' atau babi, untuk tidak menampakkan kasar bunyinya, dipanggil khinzir.

Nampaknya pembangunan modal insan yang dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun lepas masih kurang berkesan. Masyarakat masih melihat kepada duit dan wang ringgit dan cuba mendapatkannya dengan cara mudah. Jati diri, nilai, integriti, amanah, jujur dan pelbagai perkataan-perkataan yang baik hanya memenuhi rangka teori semata-mata. Dari segi amalan, lain pula caranya. Kita sebagai institusi kekeluargaan perlu lebih berperanan mendidik anak-anak supaya akan lahir masyarakat yang benci rasuah.

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)" (Al-Baqarah; 188).

Saturday, March 28, 2009

Konvokesyen UTM Ke 42


Hari ini dan esok adalah Majlis Konvokesyen UTM ke 42. Ramai yang datang untuk meraikan para graduan, baik isteri atau suami, mahupun ibubapa dan adik beradik.

Hari ini, kawan-kawan saya, Dr Mazlan dari Universiti Utara Malaysia, Dr Pri dan Dr Djur dari Universiti Gajah Mada naik ke pentas bagi mendapatkan Ijazah kedoktoran mereka dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.

Saya bersama mereka dibawah penyeliaan Prof. Madya Dr Ismail Omar. Saya dijadualkan menamatkan pengajian PhD pada bulan Julai 2010 nanti.

Jam 5 petang tadi, Prof. Madya Dr Ismail menjemput Dr Pri dan Dr Djur bersama isteri masing-masing, Dr Mazlan bersama isteri dan anaknya, saudara Fahmey juga pelajar PhD yang diseliakan Dr Ismail dan saya sendiri ke 'high-tea' di rumahnya.

Di sebelah malam pula, Dr Ismail sekali lagi meraikan kami dengan jamuan makan malam di Pulai Springs Resort. Begitulah telatah seorang penyelia yang begitu bangga dengan kejayaan anak buahnya. Beliau mendoakan Fahmey dan saya juga akan berjaya nanti, insyaAllah.

Apa yang hendak saya nukilkan di sini ialah berkaitan upacara Majlis dan Pesta Konvokesyen. Semasa saya mendapat Ijazah Sarjana Muda dari University of Southwestern Louisiana dulu (1986), upacaranya begitu ringkas. Kami semuanya ditempatkan di dalam stadium 'basketball' dan kemudian Presiden universiti akan mengisytiharkan bahawa kami telah mendapat ijazah masing-masing. Lepas itu, masing-masing membaling 'mortar board' ke atas. Tiada jalan lalu depan ahli senat dan sebagainya. Kemudian masing-masing balik.

Semasa saya mendapat Ijazah Sarjana dari Kansas State University (1988), upacara agak meriah kerana saya dipanggil ke pentas dan bersalaman dengan orang atasan universiti. Di sini, saya ditemani isteri.

Begitulah bezanya majlis konvokesyen kita dengan luar negara. Konvokesyen kita amat-amat meraikan, tak kira Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, Ijazah Kedoktoran, hatta anak-anak Tadikapun diberi pengiktirafan konvokesyen sedemikian rupa. Kita lebih suka acara berbentuk 'ceremonial' berbanding dengan majlis ilmiah atau akademik!

Walau apapun, yang pasti ibubapalah yang berbangga dengan kejayaan anak masing-masing.

Thursday, March 26, 2009

Di Pondok Kecil.....


Satu lagi nasyid syahdu oleh Aeman bertajuk "Di Pondok Kecil...". Nasyid ini selalu dialunkan oleh anak-anakku, baik 'Ammar ataupun Rasyid. Rasa sayu di kalbu bila mendengar dendangan mereka.

Ayahku, aku sayang padamu...
Walau diri ayah tidak kurasai sangat keakrabannya,
Dek kerna ayah sudah tua ketika ku kecil,
Tidak dapat berkasih manja dengan ayah.

Buku rekod, seingatku setakat Darjah 3 dapat ayah tandatangani...
Ayah pergi semasa aku hampir menghadapi SPM,
Walaupun begitu, doaku tetap bersamamu,
Rabbiq Firli Waliwa Lidayya, Warhamhuma Kama Rabbayani Soghira.

Masihku ingat, pada malam 19hb September 1981, aku mendapat panggilan dari anak saudaraku, Wan Zakaria Wan Yaakob, mengatakan ayahku sudah tiada. Aku menangis di asrama Sekolah Menengah Teknik Terengganu memikirkan bagaimana hendakku pulang menemui arwah ayah.

Aku menelefon abang sulungku yang berada di Kuala Berang untuk berangkat pulang ke Palekbang pada malam itu juga. Tetapi abangku baru membeli kereta dan kurang mahir untuk berjalan malam. Walau bagaimanapun, abangku berjanji untuk datang mengambilku besok pagi.

Keesokan paginya, aku tidak mampu untuk menunggu abangku datang. Penantian, ku rasakan begitu lama sekali. Aku terus 'hitch hike' dari Sekolah Menengah Teknik ke Kuala Terengganu. Nasibku baik pagi itu, ada insan terpuji sanggup menghantarku ke stesen bas. Alhamdulillah, aku sempat menaiki bas ekspress dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, seawal 8 pagi. Setibanya di Kota Bharu, aku mengambil 'boat' penambang ke Palekbang.

Setibanya di rumah, aku berlari ke bilik ayah. Tapi ayah sudah tiada. Ibuku datang memaklumkan jenazah ayah baru saja dibawa ke tanah perkuburan. Aku menangis semahu-mahunya di situ. Ibu menyuruh supaya aku berkejar ke tanah perkuburan. Tapi aku sudah tidak mampu lagi....

Ayahku pergi pada 19hb September 1981, jam 1845 (6.45pm). Umurnya tercatat 82 tahun tapi ku pasti umurnya yang sebenar lebih dari itu. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati roh arwah ayahku, Haji Wan Ismail bin Haji Wan Mohd Salleh. Semasa hayatmu, ayat 128-129 dari Surah At-Taubah tidak pernah lekang dari bibirmu. Sehingga aku terhafal ketika masih kecil dek mendengar bacaanmu.

Semoga roh arwah ayahku bahagia di sana!

Wednesday, March 25, 2009

Who Should You Give Your Love To After Allah And Rasulullah?


Who should you give your love to, after Allah and Rasulullah? Comes your mother! Diulang-ulang selama tiga kali kemudian baru dijawab, your father! Nasyid ini selalu kedengaran di Radio IKIM.

Kita faham, kita setuju, dan kita akur betapa besarnya pengorbanan ibu sehingga ianya ditingkatkan taraf sedemikian rupa. Jasa ibu yang mengandungkan kita selama 9 bulan, dibawa ke sana ke mari bersama. Kadang-kadang sehingga urat di betis dan paha timbul membiru dek menanggung beban extra 3kg.

Pernah ibu cerita kepada kita, susah payahnya ini? Tak....

Setelah 9 bulan berlalu dan masa bersalin sudah tiba. Ibu menunggu masa, detik demi detik, saat demi saat.... Kadang-kadang pukul 3 pagi, ibu terasa sakit yang teramat sangat. Maka saat ini, ayah berperanan membawa ibu ke hospital. Di hospital, ibu menanggung keperitan untuk mengeluarkan kita dari rahimnya. Bahasa Inggeris panggil 'push' dan bahasa kita kata 'teran'. Proses peneranan ini agak sukar apabila ibu sudah berumur! Kadang-kadang tanpa sedar sehingga terberak ibu!

Pernah ibu cerita kepada kita, susah payahnya ini? Tak....

Dari besar tapak tangan, ibu membelai kita tak kira waktu, siang atau malam. Lalat hendak hinggap, ibu tidak benarkan. Apatah lagi nyamuk yang cuba menghisap darah, mati ibu kerjakannya! Sakit urat, sakit badan, ibu merasa.

Pernah ibu cerita kepada kita, susah payahnya ini? Tak....

Apabila besar, kita jarang kenang jasa. Ibu suruh kita buat sesuatu, kita buat tapi bukan dengan sekali seru. Suruhan ibu kita tangguh tapi suruhan 'orang lain' kita tidak tangguh. Ibu minta tolong, kita jarang tolong kerana kita banyak kerja. Apabila ibu marah sikit, kita terasa.

Pernah ibu cerita kepada kita apabila dia terasa? Tak....

Kepada mereka yang masih punya ibu!
Sayangilah ibu ketika ia masih ada,
Kembalilah menemuinya jika ada waktu,
Belailah ibu bila bersamanya....

Oh ibu, aku menyintaimu...., aku menyanjungimu...., aku menghormatimu...., moga ibu aman di sana....

Tuesday, March 24, 2009

Derma Darah


Saya mula menderma darah pada 4hb Disember 1999. Itupun sebab ada program Kempen Derma Darah di Kolej Siswa Desa Skudai pada masa itu. Takut juga, tengok jarum agak besar dimasukkan ke saluran urat lengan bagi mengeluarkan 450ml darah.

Oleh kerana hendak menunjukkan contoh kepada mahasiswa, maka dikeraskan hati... Kalau kita sebagai pensyarah tunjuk kita takut, apatah lagi mereka? Sejak dari itu saya kerap menderma! Dan saya mengajak pelajar-pelajar menderma. Semasa menjadi Pengetua, agenda Kempen Derma Darah diadakan setiap semester di kolej saya. Saya memberitahu mereka bahawa darah yang diderma selalunya digunakan oleh pelajar UTM. Sebabnya ialah pelajar UTM kerap kemalangan motosikal dan sebagainya!

Pagi tadi, saya sekali lagi ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) untuk menderma kali ke 17. Dua bulan lepas semasa menderma darah, saya berjumpa dengan seorang pemuda India telah menderma sebanyak 50 kali. Pemuda ini agak sebaya dengan umur saya. Beliau berkhidmat di Singapura tetapi memilih untuk menderma di negaranya, Malaysia.

Perbuatan menderma darah adalah satu usaha yang baik. Saya selalu sebut kepada pelajar; kita hendak sedekah duit, kita tidak ada duit; kita hendak memberi bantuan fizikal, mungkin kita tidak ada masa dan kepakaran. Tetapi kita mempunyai darah, yang mungkin hari ini orang lain sangat-sangat memerlukannya. Hari lain, mungkin kita pula perlu darah. Oleh itu, lapangkan masa setidak-tidaknya setahun sekali bagi kita mengeluarkan sedikit darah bagi membantu orang lain.

Derma darah boleh dilakukan seawal-awalnya 2 bulan sekali. Kalau kita sentiasa 'keep track', senang-senang kita dapat derma 4 atau 5 kali setahun.

Satu lagi, saya lihat tidak ramai dikalangan bangsa Melayu menderma. Yang ramai adalah bangsa Cina dan India. Mungkin statistik saya kurang tepat... Walau bagaimanapun, jika kita agak sukar untuk menderma darah apatah lagi hendak menderma organ!

Sesekali, ingatlah mereka yang memerlukan!!!

Rakus Mencari Ilmu


Semalam seorang profesor tamu berkunjung ke Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi, UTM. Profesor Salleh Buang, seorang pakar dalam bidang pentadbiran dan pembangunan tanah telah menyampaikan 3 syarahan. 2 syarahan telah diadakan di peringkat Fakulti dan satu di peringkat Universiti.

Syarahan beliau agak relevan kepada isu-isu semasa. Yang pertama, berkaitan kerajaan Perak yang dulu (Pakatan Rakyat), yang ingin memberi hakmilik kekal tanah-tanah yang berada di Kampung Baru dan Kampung Tersusun. Ia melibatkan 149,000 pemilik tanah di 349 Kampung Tersusun dan 134 Kampung Baru di Perak. Keseluruhan tanah yang terlibat ialah 0.01% dari keluasan tanah di Perak.

Masalah yang berlaku ialah pertembungan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Prof. Salleh menghuraikan bahawa isu tanah ialah isu kerajaan negeri walaupun TPM (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak) menyatakan bahawa ia dibawah bidang kuasa Majlis Tanah Negara iaitu kerajaan persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Jadual ke-9, Senarai II, Perkara 2, jelas menyatakan bahawa hal berkaitan tanah adalah dibawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, selagi tiada keputusan yang dibicarakan di mahkamah maka masing-masing, Datuk Seri Nizar dan Datuk Seri Najib boleh mengatakan bahawa mereka betul...

Apa yang menarik ialah Kerajaan Perak (Datuk Seri Nizar) dan Kerajaan Pulau Pinang (Lim Guan Eng) ingin melakukan perkara yang sama iaitu menukar hakmilik 'leasehold' kepada 'freehold', demi kebaikan rakyat negeri masing-masing. Cuma 'approach' yang diambil berbeza, Perak secara 'head on' dengan Putrajaya manakala Pulau Pinang lebih berhemah. Jadi, kita lihat Putrajaya lebih senyap kepada Pulau Pinang walaupun 99% tanah di 'Penang Island' adalah milik 'bukan bumiputera'.

Pada petangnya, Prof Salleh menyampaikan syarahan di Dewan Senat, UTM, berkaitan isu kerajaan Perak. Beliau memberi pandangan samaada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional dari aspek legalnya, yang sepatutnya mentadbir kerajaan negeri Perak sekarang.

Isu-isu yang dibentangkan memang menarik dan tidak dapat diperolehi dimana-mana. Untuk mendapat peluang berbincang secara ilmiah dan bersemuka dengan pakar undang-undang juga bukan senang tanpa membuat sebarang bayaran. Tetapi masyarakat kita masih kurang rakus menimba ilmu! Bilik dan dewan seminar masih lompong...

Kalau di negara barat, apabila seorang pakar bercakap tentang sesuatu isu, apatah lagi isu itu adalah isu semasa maka dewan tersebut penuh sesak. Tak cukup tempat duduk, mereka berdiri!

Kita masih jauh... Mahasiswa kita masih memilih samaada perkara yang dibincangkan itu masuk 'exam' atau tidak? Kalau tidak, biarkan, biarkan...

"Tuntutlah Ilmu Dari Buaian Hingga Ke Liang Lahad".

Sunday, March 22, 2009

Tangan Di Atas Lebih Mulia Dari Tangan Di Bawah


Setiap persahabatan mengharapkan keakraban. Akrab dalam erti kata saling bantu-membantu dan tolong-menolong di kala susah. Bantuan yang dimaksudkan mungkin berbentuk fizikal, spritual atau emosi, mahupun kewangan.

Kadang-kadang 'sharing stories' dapat meringankan beban yang ditanggung. Tetapi tidak semua kawan yang kita boleh berkongsi masalah. Hanya kawan karib yang memahami perasaan kita dan sanggup memasang telinga terhadap luahan hati kita yang dapat kita kongsi masalah. Dengan kata lain, kawan yang boleh menjadi 'good listener'. Begitu juga dengan kawan berkongsi berita kegembiraan. Hanya kawan sejati yang kita boleh kongsi berita kegembiraan...

Kita selalu dengar orang berkata, kawan dikala senang ramai tetapi kawan dikala susah sangat sedikit bilangannya. Begitu juga, kawan yang seronok mendengar kejayaan kita tak ramai tetapi kawan yang seronok apabila kita ditimpa musibah memang ramai. Ini semua kawan makan kawan!

Apabila kita menjumpai kawan sejati, kita merasa sungguh seronok. Kawan yang sebegini, kadang-kadang lebih rapat dari adik-beradik. Duit sedikit sebanyak tidak berkira. Apa yang penting, perasaan atau hati sahabat kita mesti dijaga!

Apabila berkawan, jangan selalu kita memohon pertolongan! Bertepatan dengan hadis nabi yang berbunyi "Tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah". Maksudnya, orang yang memberi adalah lebih mulia dari orang yang meminta.

Walau bagaimanapun, jangan selalu kita tolak orang yang ingin menolong! Beri peluang kepada sahabat untuk berbakti kepada kita. Sahabat kita akan merasa lebih bahagia apabila dia dapat menolong kita. Satu perasaan kepuasan akan terasa kepada mereka yang memberi pertolongan...

Ceramah Maulidur Rasul



Malam tadi sempat ke Surau Taman Pulai Utama, mendengar ceramah Maulidur Rasul bersama 5 orang anak laki-laki. Ceramah yang disampaikan Ust Rifki memang menarik sekali. Ustaz begitu fasih menggunakan teknologi komputer dalam penyampaiannya.

Ustaz menyiarkan juga 'ranking' pembaca Al-Quran dari 1 hingga 5. Sheikh Abdul Rahman Sudais, imam Masjidil Haram mendapat tempat ke-5. Dan Sheikh Saad Sa'id Al-Ghamidy mendapat 'top ranking'. Tidak ketinggalan orang lama, Sheikh Abdul Basit juga tersenarai dalam 'ranking' tersebut. Seingat saya suara Sheikh Abdul Basit saya dengar sejak dari kecil lagi.

"Ceramah Maulid ni, kita dengar saban tahun tapi apa yang kita dapat?", tanya Ust Rifki. Tahun lepas beliau memberi ceramah Maulid sehingga 2hb Ogos. Begitu lama sekali masyarakat Johor menyambut Maulidur Rasul... "Kalau kita dapat ambil atau amal satu sunnah pada setiap tahun, maka amat beruntunglah kita", ujarnya. Apa yang ditekankan beliau ialah supaya ada sesuatu terkesan kepada diri kita hasil dari mendengar ceramah.

Ustaz menceritakan bahawa berita tentang kelahiran Muhammad (SAW) kepada masyarakat Arab telah diketahui oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka mengetahui tentang Muhammad (SAW) sama dengan mereka mengetahui tentang anak pinak mereka sendiri yang tertulis dalam kitab-kitab mereka. Berita tentang akan lahirnya Muhammad juga tertulis dalam kitab-kitab Hindu menurut kitab yang ditulis Sa'id Hawa.

Ustaz juga menceritakan perihal hadis Nabi riwayat At-Tabarani, berkaitan seorang badwi dengan binatang dhobnya. Si badwi ini berjumpa dengan Rasulullah yang pada masa ini bersama-sama sahabat baginda. Badwi ini berkata kepada Nabi bahawa dia akan beriman jika biawak dhobnya juga beriman kepada Allah dan Muhammad. Ini hanyalah sebagai helah dan cubaan untuk menghina Nabi. Dan 'Umar (RA) pada ketika itu telah meminta izin kepada Rasulullah untuk membunuh si badwi ini. Tapi Rasulullah, seorang yang berakhlakkan Al-Quran telah melarang Saidina 'Umar.

Subhanallah, dhob ini berkata-kata dalam bahasa arab sehingga semua yang hadir mendengar perbualan antara Rasulullah dan dhob tersebut. Si badwi yang mengaku sebelum ini tiada yang paling dibencinya ialah Muhammad sekarang telah mengaku "Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah".

Ustaz juga menceritakan suasana kegeringan baginda selama 13 hari sehingga saat wafat. Bagaimana ar-Rasul bersusah payah cuba menghadirkan diri untuk solat berjamaah setiap waktu di masjid. Bagaimana Nabi masih cuba untuk menggilirkan rumah antara isteri-isteri baginda sehinggalah semua isteri bersetuju supaya Nabi hanya menginap di rumah 'Aisyah (RA) sahaja bagi menyenangkan baginda ke masjid. Bagaimana Rasulullah tidak meninggalkan harta selepas kewafatan baginda.

Dan sehari sebelum kewafatan, baginda telah memanggil Fatimah (RA) dan membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah dan 'Aisyah melihat Fatimah menangis. Kemudian Rasulullah sekali lagi membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah dan kelihatan Fatimah senyum gembira. 'Aisyah (RA) kemudiannya bertanya peristiwa tersebut kepada Fatimah (RA). Fatimah menjawab bahawa Rasulullah sudah hampir untuk menemui Tuhannya dan Fatimah adalah orang pertama dari kalangan keluarga baginda akan menuruti baginda. 6 bulan kemudian Fatimah menyusuri ayahandanya ke alam baqa'...

Setidak-tidaknya kita boleh mulakan dengan mengikuti sunnah ar-Rasul dengan memperbanyakkan solat berjamaah untuk tahun ini, insyaAllah...

Wednesday, March 18, 2009

Kenangan Lalu...


Pada hari Isnin, 22 Mei 1995, aku sekeluarga mendapat jemputan makan malam di rumah Dr Tajul. Selepas solat Isya, sambil bersiap-siap untuk ke rumah Dr Tajul, tiba-tiba kawanku, Maarof sampai. "Kakak demo telefon, mak demo sakit tenat, minta balik selalu!", pesannya tegas.

Aku mengucapkan terima kasih kepada kawanku yang terpaksa datang dari Bayan Baru untuk menyampaikan berita tersebut. Rumah aku tiada telefon.

Dengan segera kami bergegas ke rumah Dr Tajul bagi memenuhi pelawaan beliau sekeluarga. Setelah menjamah sedikit makanan, aku memaklumkan kepadanya bahawa aku perlu balik ke Kelantan segera untuk melihat ibu yang sakit.

Sebenarnya, aku baru saja balik ke Kelantan dari 5 hingga 14 Mei kerana Cuti Hari Raya Puasa. Aku masih ingat pada hari raya, ibuku dengan bersusah payah turun ke surau untuk menunaikan solat sunat Hari Raya walaupun beliau demam. Selepas Hari Raya, aku memujuk ibu untuk ke hospital. Usaha yang sama telah dibuat oleh adik beradikku yang lain sebelum ini tetapi semuanya tidak berjaya. Ibu tetap tidak mahu ke hospital.

Aku telah berjanji untuk membawa ibu ke Pulau Pinang apabila ibu sihat nanti. Akhirnya, ibu menerima pujukanku. Aku terus mengangkat ibu masuk ke dalam kereta dan membawanya ke Hospital Besar Kota Bharu.

Keesokannya aku datang bersama isteri dan tiga orang anak-anakku menziarahi ibu sebelum kembali ke Pulau Pinang. Aku bertanya kepada ibu samaada bolehkah aku pulang ke Pulau Pinang? Ibu menyuruh aku pulang kerana katanya diapun belum pasti berapa lama lagi dia akan berada di Hospital. Seorang demi seorang, ibu mencium anak-anakku. Dan yang terakhir ibu mencium Abdul Rahman, berusia 11 bulan. Sampai ke hari ini, masih terdengar bunyi ciuman itu di telingaku!

Sebelum bertolak dari rumah Dr Tajul, aku menegaskan kepada isteriku, jika tidak kerana ibu, aku tak akan bawa kereta melalui Lebuhraya Timur Barat pada jam 10 malam sebegini. Sepanjang perjalanan, fikiran hanya berkisar tentang nasib ibu yang telah keluar dari Hospital. Ibu sebenarnya merajuk kerana 2 kali diminta untuk berpuasa sebelum jari kakinya dipotong. Apabila ibu berpuasa, doktor tidak jadi untuk membuat 'operation' tersebut. Keesokannya, disuruh berpuasa lagi kemudian sekali lagi tidak jadi. Akhirnya, ibu minta untuk pulang ke rumah. Doktor mengizinkan ibu pulang dengan berat hati. Kata doktor, jika ibu datang balik ke Hospital, kita kira ia kes baru! Setelah pulang, pada hari pertama ibu sungguh ceria. Tetapi pada hari kedua, ibu telah jatuh koma, tidak sedarkan diri.

Sekitar jam 4 pagi, aku sampai di rumah kakak dimana ibu berada. Aku lihat ramai orang berkerumun sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terus aku peluk dan cium ibu. Tapi ibu hanya diam dan pejam mata. Nafas ibu begitu jelas kedengaran. Aku dan isteri terus membaca surah Yasin bagi memohon supaya Allah menyembuhkan penyakit ibu. Dan akhirnya, pada jam 6.30 petang, 23 Mei 1995, ibuku pergi buat selama-lamanya. Ibuku dimandikan di atas ribaku dan dikebumikan sekitar jam 10 malam pada hari yang sama...

"Wahai Tuhanku! Sayangilah kedua orang tuaku sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil." (Al-Isra'; 24).

Tuesday, March 17, 2009

Bacalah al-Quran...


Semasa pertama kali wahyu diturunkan kepada Muhammad (SAW), malaikat menyuruh beliau untuk membaca.

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya, manusia itu benar-benar melampaui batas, apabila melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya, hanya kepada Tuhanmulah tempat kembali(mu)." (Al-'Alaq;1-8).

Membaca Al-Quran seharusnya menjadi agenda harian kita. Janganlah Al-Quran itu hanya dijadikan azimat untuk menghalau hantu syaitan sahaja dan dibiarkan suci dalam debu di dalam almari usang.

Sesetengah orang hanya membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya hanya di bulan Ramadan. Selepas itu, tunggulah Ramadan tahun depan pula! Ada pula yang hanya membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Dan ada juga yang hanya mengumandangkan bacaan Yasin apabila tiba saat kematian saudara mara. Dan ada juga yang langsung tidak pandai baca kerana tidak pernah diajar oleh orang tua mereka.

Walau apapun, saya rasa kita perlu secara konsisten atau istiqamah membaca Al-Quran setiap hari. Jadikan sebagai rutin. Kalau tak baca rasa tak selesa. Kepada yang dah biasa jadikan target untuk khatam sekurang-kurangnya sebulan sekali. Kepada yang kurang mahir, bacalah sehelai sehari atau sekurang-kurangnya 2, 3 ayat sehari. Dan kepada yang tak tahu baca, ia tidak terlambat. Kita masih ada masa untuk mempelajarinya. "If there is a will, there is a way".

Seeloknya kita cuba hayati apa yang dibaca. Mudah-mudahan menjadi pengajaran dan tauladan kepada kita. Jadikan amalan untuk membaca surah Al-Kahfi setiap malam Jumaat atau hari Jumaat. Kalau sempat bacalah surah Al-Waqiah dan surah Al-Mulk setiap malam. Semoga ia menjadi budaya ....

Monday, March 16, 2009

Usaha untuk Dunia atau Akhirat Berpaksi kepada Niat


Kita tak pasti sampai bila kita akan hidup. Cuma yang pasti, hari kematian semakin dekat, saat demi saat...

Sudahkah kita bersedia dari segi bekalan untuk menuju ke alam yang kekal abadi buat selama-lamanya? Atau kita belum bersedia untuk memikir tentangnya lagi? Bila dah tua nanti, umur sudah 60 atau 70, baru kita fikir tentang persiapan itu. Bila dah pencen, baru pergi naik haji. Sekarang 'enjoy' dulu, hidup hanya sekali...

Cari dulu bekalan dunia. Anak-anak masih kecil. Makan, pakai mereka perlu dipenuhi dulu. Rumah perlu diperbesarkan supaya masing-masing mempunyai keselesaan. Itulah tanggapan kebanyakan kita. Kita fikir kematian masih jauh nun di hujung sana...

Satu lagi kesilapan kita ialah kita memisahkan diantara bekalan dunia dan akhirat. Usaha mencari rezeki untuk keluargapun sebenarnya ada pahala akhiratnya. Usaha melindungi tubuh badan anak dengan pakaian menutup aurat juga ada nilai pahalanya. Yang penting ialah niat. Setiap amalan kita diambil kira apabila adanya niat!

Duduk dalam masjid tanpa niat beriktikaf, macam duduk di tempat biasa, tiada pahala! Makan nasi tanpa doa dan niat supaya badan sihat untuk mengerjakan ibadah juga tiada pahalanya. Begitu juga buang air dan sebagainya. Setiap amalan perbuatan perlu ada lintasan niat kerana Allah SWT, nescaya mendapat keberkatan dan pahala dariNya.

Dari 'Umar bin Al-Khattab (RA), katanya dia mendengar Rasulullah (SAW) bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah".

Saturday, March 14, 2009

Pemimpin Zuhud


Dalam kemelut pemilihan bagi jawatan tertinggi, beberapa hari ini, kita disajikan dengan berita rasuah. Sedih rasanya kerana hendakkan jawatan terpaksa memberi rasuah! Orang-orang yang membuat pemilihan dirasuahkan supaya perasuah mendapat jawatan dan terus mendapat keuntungan rasuah.

Sa'id bin 'Amir (RA) dilantik oleh Khalifah 'Umar bin Al-Khattab sebagai gabenor di Hims, wilayah Syam.

Tidak berapa lama setelah Sa'id menjadi gabenor, Amirul Mukminin 'Umar (RA) telah dikunjungi oleh rombongan penduduk Hims. Maka 'Umarpun mengarahkan mereka untuk menyenaraikan nama-nama fakir miskin di Hims agar dapat beliau membantu mereka.

Setelah senarai diserahkan, ada terdapat nama Sa'id bin 'Amir. 'Umar (RA) tersentak lalu bertanya, "Siapa Sa'id bin 'Amir?". "Gabenor kami", jawab mereka serentak. "Gabenor kamu miskin?", tanya 'Umar penuh kehairanan. "Benar, demi Allah! sehinggakan dapurnya tidak berasap beberapa hari", jawab mereka.

'Umar (RA) menangis sehingga janggutnya basah. Kemudian beliau memasukkan 1,000 dinar ke dalam uncang dan berpesan kepada rombongan tersebut, "Sampaikan salam saya kepadanya dan katakan kepada gabenormu, Amirul Mukminin mengirimkan wang ini untukmu agar keperluan saraan harianmu tertunai."

Dipendekkan cerita, apabila wang tadi diserahkan kepada Sa'id (RA), beliau mengagihkan wang tersebut kepada fakir miskin yang lain.

Subhanallah! Masih adakah pemimpin sebegini? Atau kita hanya membaca cerita-cerita lama yang tak mampu diulang lagi perlaksanaannya?

Apabila saya melihat rumah Menteri Besar Kelantan, dan dibandingkan dengan rumah wakil rakyat yang lain, maka saya berkata dalam hati, "Perlukah kita mencari MB lain yang belum tentu kezuhudan dan ketakwaannya kepada Allah?".

Friday, March 13, 2009

Keputusan SPM


Seronoknya apabila melihat pelajar-pelajar yang berjaya! Dalam suratkhabar hari ini, terpampang gambar seorang pelajar di Kelantan bersama bapanya, seorang nelayan dengan keputusan 20A. Saya tak dapat bayangkan betapa seronoknya sebagai seorang ayah menerima keputusan anak yang sedemikian.

Tahun ini, tiada keputusan SPM untuk anak saya! Bahkan seorang (anak ke-2) akan menduduki peperiksaan SPM dan seorang lagi (anak ke-3) akan mengambil PMR pada tahun ini. Anak ketiga saya alhamdulillah diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk menghafaz Al-Quran. Sekarang sudah berjaya menghafaz 15 juzuk. Mudah-mudahan dimakbulkan doa kami sebagai ibubapa dan adik beradiknya yang lain untuk menjadi seorang Al-Hafiz.

Kejayaan dalam SPM sangat penting sebagai permulaan dalam kerjaya. Keputusan yang diperolehi dapat dihalusi dan diselaraskan dengan cita-cita anak-anak kita. Keinginan untuk menjadi jurutera, contohnya, perlu dilihat kembali apabila subjek matematik, matematik tambahan dan fizik tidak begitu baik. Begitu juga kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi doktor perubatan. Sekiranya matapelajaran biologi, kimia dan fizik kurang baik maka cepat-cepatlah kita mencari minat yang lain.

Walau bagaimanapun, keputusan kurang baik dalam SPM tidak bermakna gelap masa depan. Seorang kawan saya, dulu mendapat gred 3 dalam SPM. Kemudian menyambung pelajaran di ITM (sekarang dikenali sebagai UiTM), di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Seterusnya menyambung pelajaran di UK di peringkat 'Master' dan PhD. Sekarang menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor di salah sebuah IPTA!

Dengan kata lain, keputusan SPM bakal memberi gambaran kepada kita samaada laluan ke IPT boleh diambil melalui jalan 'shortcut' atau terpaksa melalui jalan jauh. Pada saya, laluan jauhpun tidak mengapa, dan kadang-kadang masa depannya lebih baik dari yang mengambil 'shortcut' dari segi pengalaman dan kematangannya. Apa yang saya maksudkan dengan jalan jauh ialah, seseorang itu perlu mengambil Sijil dulu, kemudian Diploma, dan barulah Ijazah Sarjana Muda, seterus dan seterusnya.

Bekas pelajar saya, dulu pernah mengambil Sijil di Politeknik Sultan Ahmad Shah kemudian sambung Diploma di Politeknik Ungku Omar, kemudian menyambung Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di UTM. Sekarang sedang menjalani pengajian di peringkat PhD.

"An Investment in Knowledge Pays the Best Interest" - Benjamin Franklin.

Wednesday, March 11, 2009

Siapa Idola Kita?


Setiap kita mempunyai idola masing-masing. Sesetengah menjadikan bapa mereka sebagai 'role model', dan tak kurang juga yang menjadikan artis sebagai idola mereka.

Jarang kita tengok, artis yang baik dari aspek tingkah laku, tutur kata, pemakaian dan tatasusila. Gosip tentang artis tak pernah tak ada! Tetapi masyarakat terkedu melihat kekayaan artis, rumahnya, keretanya, pakaiannya ... Hidup penuh "glamour", sering terpampang di akhbar-akhbar. Pendekata, jarang sekali orang tak kenal artis, hatta kanak-kanakpun kenal mereka.

Jarang juga kita lihat orang Islam mengenali sahabat Rasulullah (SAW) dan menjadikan idola mereka. Antara sahabat Baginda ialah Anas bin Malik (RA). Siapa Anas ini?

Anas bin Malik (RA) ialah anak kepada Ghumaisho' binti Milhan. Mereka berdua menunggu-nunggu penghijrahan Nabi ke Madinah. Setelah ketibaan Rasulullah (SAW), ibunya berjumpa dengan Rasulullah. "Wahai Rasulullah... semua lelaki dan wanita Ansar telah memberi hadiah kepada tuan. Namun saya tiada apa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini... Ambillah dia. Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu...", kata ibu Anas kepada Nabi (SAW). Pada masa itu, Anas (RA) atau panggilan manjanya, Unais baru berusia 10 tahun.

Selepas kewafatan Rasulullah, Anas bin Malik (RA) hidup lebih 80 tahun. Anas berkata, "Sesungguhnya saya telah melihat wajah Nabi (SAW) ketika hari Baginda masuk ke Madinah. Saya juga melihat Baginda ketika hari beliau diambil dari kami. Pada saya tiada hari yang setanding dengan 2 hari tersebut. Pada hari Baginda masuk ke Madinah, seluruh Madinah bersinar. Manakala pada hari Baginda pergi mengadap Ilahi, gelap seluruh Madinah."

Allah SWT memakbulkan doa Rasulullah kepada Anas dengan mengurniakan harta dan anak yang ramai. Bilangan anak dan cucunya melebihi 100 orang. Dan umur Anas menjangkau 103 tahun.

Anas (RA) hidup di bawah jagaan Rasulullah genap 10 tahun dan merupakan perawi ke 3 terbanyak meriwayatkan hadis selepas Abu Hurairah (RA) dan Abdullah bin Umar (RA).

Selamat Mengenali Sahabat Rasulullah (SAW)!

Tuesday, March 10, 2009

Saling Kenal Mengenal


Allah SWT berfirman, "Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal..." (Al-Hujurat; 13).

Kita dijadikan Allah SWT dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Dusun, dan sebagainya. Dan kita disuruh kenal mengenali diantara satu sama lain. Setakat mana dah kita kenal orang Cina? Kenal budaya mereka, hati budi mereka dan kalau boleh bahasa mereka. Begitu juga orang India, berapa ramai dah kita kenal?

"To tell the truth", tak ramai yang saya kenal. Orang Cina yang menjadi kenalan saya hanya dikalangan pelajar saya. Kalau pelajar seramai 100 orang, lebih separuh adalah kaum Cina. Di sinilah, saya cuba rapatkan hubungan. Berceritakan perihal budaya dan agama orang Melayu. Dan pelajar-pelajar Cina pula menceritakan, perihal budaya dan adat resam mereka.

Saya rasa kita mempunyai perasaan prejudis kerana kita tidak mengenali antara satu sama lain. Mungkin juga kita tidak inginpun untuk mengenali dan mengambil tahu budaya orang lain. Kita hanya selesa dengan bangsa kita dan mengharapkan orang lain supaya memahami budaya kita. Akhirnya, masing-masing tidak faham budaya dan agama masing-masing. Seterusnya, perasaan tidak puas hati sentiasa bergolak dalam dada.

Saling tidak mengenal siapa ini, bermula dari bangku sekolah lagi. Orang Cina di SRJK Cina, orang India di SRJK Tamil dan orang Melayu di SRKnya. Ada juga seorang dua Melayu masuk ke sekolah Cina dan begitulah pula sebaliknya. Tetapi ia tidak signifikan.

Mereka hanya bertemu dan mula berkawan apabila berada di peringkat Universiti. Sepatutnya, proses asimilasi ini berlaku di peringkat hulu lagi dan bukannya apabila sudah berada di muara, baru nak diberikan pendedahan.

Seharusnya, kita mengikut firman Allah SWT itu supaya kita saling kenal mengenali dan peribahasa Melayu jua ada menyebut, "Tak Kenal Maka Tak Cinta".

Hati...



Banyak perumpamaan melayu dikaitkan dengan hati. Antaranya, "Makan Hati", "Hati Batu", "Sakit Hati", "Iri Hati", "Busuk Hati", "Hati Mati" dan sebagainya. Begitu bermakna sekali hati ini ...

Hati memang berperanan dalam setiap individu. Kadang-kadang gelagat atau perwatakan kita dibentuk oleh hati atau perasaan ini. Kalau kita tak berapa suka kepada seseorang, maka mimik muka kitapun tak begitu ceria untuk menemuinya.

Begitu juga sebaliknya, kalau hati dah suka kepada seseorang maka perkara buruk yang dilakukannya nampak baik belaka.

Kadang-kadang hati kita terpengaruh dengan orang yang menceritakan keburukan seseorang. Kita sendiri belum pernah berinteraksi dengan individu tersebut. Maka satu "pre-conceived idea" atau "judgement" telah dibuat terhadapnya. Ini adalah kurang baik kerana kita telah membuat satu penilaian awal tanpa mengenalinya sendiri.

Setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza dan bercakap diatas kapasiti yang berbeza. Oleh itu, berwaspadalah dan jangan kita mudah berprasangka!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang" (Al-Hujurat; 12).

Saturday, March 7, 2009

Resmi Padi, Makin Berisi Makin Tunduk!


Petang kelmarin, saya dengar radio IKIM. Memang radio IKIMlah yang menjadi pilihan keluarga saya.

Kebetulan pada masa itu disiarkan wawancara antara Tun Dr Ahmad Sarji (mantan KSN) dengan DJ Nik Hasnah Ismail. Apabila saya dengar, saya dapat rasakan betapa 'humble'nya Tun Dr Ahmad Sarji apabila menceritakan pengalaman-pengalaman beliau.

Antara yang saya masih ingat ialah beliau telah diminta oleh Tun Dr Mahathir untuk mengadakan radio IKIM ini. Tujuannya ialah untuk memberi penerangan Islam kepada yang bukan Islam dan juga kepada orang Islam sendiri. Banyak lagilah yang dipeloporinya seperti PNB dan sebagainya.

Apabila ditanya tentang bagaimana Tun Ahmad Sarji boleh mengekalkan kesihatan sampai sekarang, 89 tahun. Beliau dengan tawaduknya menjawab, "Alhamdulillah, ini anugerah Allah. Kalau saya cakap lebih, mungkin hari ini nampak sihat dan mungkin besok saya dah tiada ...". Beliau tidak membuat apa-apa 'exercise' kecuali bermain golf. Makan tiada pantang. Dan yang penting bagi beliau ialah perasaan gembira, berjenaka dengan kawan-kawan dan anak-anak.

Banyak disebutkan pasal solat dan diimbas kembali perbualan dengan ibunya. Apabila ibunya melihat beliau cepat selesai mengerjakan solat dan ibunya menanyai beliau samaada beliau sudah berwirid dan berdoa...

Tun Ahmad Sarji juga suka membaca. Menurut beliau, kalau tak sempat baca, melihat tajuk buku dan mengimbas gambar-gambarpun sudah memberi kepuasan kepada beliau.

Saya merasakan bahawa wawancara ini begitu bermanfaat sekali.

"Success is not the key to happiness. Happiness is the key to success. If you love what you are doing, you will be successful" - Albert Schweitzer.

Thursday, March 5, 2009

Budaya Berubah....


Pada pandangan saya, budaya atau adat resam sangat dinamik. Hari ini kita lihat sesuatu amalan itu mungkin sebahagian dari budaya kita tetapi beberapa abad kemudian sudah tiada lagi. Dan begitulah sebaliknya pula, dulu tiada, sekarang telah menjadi budaya kita. Rata-ratanya, ia bergantung kepada diri kita sendiri sebagai mizan atau neraca yang menilai dan menerimanya.

Saya teringat masa kecil-kecil dulu, jangankan nak minum berdiri, minum dalam botol tanpa cawanpun pasti mendapat teguran dari orang tua. Tapi sekarang, masyarakat sudah menerima untuk kita minum air mineral terus dari botol secara berdiri. Pada awalnya, nampak sungguh kurang sopan tapi lama kelamaan apabila ramai orang melakukannya, ia menjadi biasa. Begitu juga makan secara berdiri, kalau dulu pantang mak nenek makan berdiri. Sekarang lihatlah di hotel-hotel, di pasar-pasar malam dan sebagainya...

Di UTM pada suatu masa dulu, tiada sesiapa berani untuk membonceng bersama lelaki dan perempuan. Tapi sekarang, sudah menjadi biasa. Semasa menjadi pengetua kolej dulu, saya pernah menahan seorang pelajar lelaki Libya membonceng pelajar perempuan Indonesia. Saya bertanya kepada lelaki tersebut, “Do you do this back home in Libya?”. “Of course, not”, jawabnya. “So, why do you do it here?”, tanya saya lagi. “Because everybody is doing it”, jawabnya lagi. Kita lihat di sini, budaya yang dipegang kemas selama ini terus dibuang apabila mendapati ramai orang yang mengamalkan sebaliknya di sini.

Berzina juga akan menjadi satu budaya baru, jika ia boleh dikatakan sebagai budaya. Lihatlah berapa ramai pelajar sekolah yang mengakui pernah melakukan hubungan seks. Statistik mencatitkan seramai 257,411 kelahiran tanpa bapa dari tahun 2000-2008. Negeri Johor mendapat tempat kedua dari segi bilangan kes buang bayi tertinggi selepas Selangor diantara tahun 2004-2006. Sungguh menggerunkan!

Budaya atau adat resam berubah mengikut masa, samaada ke arah kebaikan atau keburukan. Tetapi bagi saya, jangan dengan hanya melihat majoriti boleh menerima budaya baru tersebut dan kitapun menerimanya. Ini adalah kurang tepat. Sepatutnya Al-Quran dan As-Sunnah menjadi neraca kita…

Tuesday, March 3, 2009

Tali Pinggang Keledar Belakang


Tadi dalam hujan lebat, saya bergegas ke Perodua Tampoi untuk pasang tali pinggang keledar belakang. Temujanji dibuat dari tahun lepas, jam 11 pagi, 3 Mac 2009! Itu yang paling awal.

Bila sampai di sana, jumpa kawan yang sedang menunggu Kenarinya diservis. Kawan saya adalah seorang arkitek, Saudara Norzam Damin. Anaknya adalah kawan anak saya. Anaknya membuat pengajian dalam bidang arkitek di Malaysia 3 tahun dan di Australia 3 tahun. Manakala anak saya di Cairo University dalam bidang Perubatan selama 6 1/2 tahun.

'Reception' Perodua memang nampak anggun dan menawan. Siap dengan gula-gula dan air mineral. Setelah bertanya, saya dibawa ke satu kaunter oleh penyambut tetamu. Begitu sopan sekali.

Di kaunter, sayapun memperkenalkan diri dan telah disahkan tentang tarikh dan masa temujanji. Pegawai yang melayan saya memaklumkan bahawa kereta saya tak perlu dipasang tali pinggang keledar. Hanya memadai memasang 'sticker' pengecualian di cermin pintu belakang sebelah kiri.

"Kenapa tak maklumkan pada saya dari dulu, so tak payahlah saya tunggu 3 bulan untuk dapatkan 'sticker'?", tanya saya. "Orang yang ambik temujanji dengan abang dulu tak berapa mahir", jawabnya.

Di luar masih hujan. Sayapun keluar untuk menampal 'sticker' yang diberi. Kopek dari atas koyak, kopek dari tepipun koyak. Lantas saya masuk kembali ke tempat kaunter.

"Dik, tak boleh pasanglah, koyak!", kata saya. "Oh, memang bang, dia buat macam tu, supaya orang tak boleh pindah-pindahkan 'sticker' ke kereta lain", jawabnya. "Mari bang, saya tolong lekatkan", tambahnya lagi.

Setelah selesai, saya memayunginya balik ke kaunter.

Bukan susah nak buat hati pelanggan 'happy'. Mulakan dengan sapaan, layan dengan senyuman, bantu jika diperlukan.

Pengalaman saya yang sebaliknya berlaku di sebuah bank di Taman Universiti. Masa saya datang, tiada pelanggan lain kecuali saya. Sayapun ambik nombor dan terus dipanggil. Saya membuat bayaran bil letrik. Kemudian menghulurkan buku akaun, slip deposit dan duit untuk dimasukkan. "Maaf encik, deposit kena guna mesin", kata pegawai di kaunter. "Tak apalah dik, buat ajelah, kan tak ada pelanggan lain yang menunggu. Sayapun nak cepat ni", balas saya. "Tak boleh encik, encik kena guna mesin", tegasnya lagi. Sayapun berlalu pergi...

Tak pernah saya lihat mana-mana bank di 'oversea', tak nak terima orang nak masukkan duit. 'Worst comes to worst', dia datang dan tunjukkan bagaimana nak buat dengan mesin itu. Mungkin niat dia bagus, nak suruh kita belajar dan 'try to educate us'.

Dan Bank ini juga, jangan cuba nak 'update'kan akaun anak kita ke, isteri kita ke, memang dia tak layan! Sayapun tak faham, bukan saudara mara lain, anak isteri sendiripun tak boleh di'update'kan buku... Mungkin ada polisi tertentu yang saya tidak tahu.

Apapun bagi saya,
People will forget what you said,
People will forget what you did, but
People will never forget how you made them feel.

Sunday, March 1, 2009

Anak Sulung Anak Bongsu


Anak sulung adalah anak yang membawa keceriaan kepada sesebuah rumahtangga. Setelah melayari kehidupan berkeluarga, saat yang paling dinanti-nanti ialah kelahiran anak pertama.

Tidak kurang juga kebimbangannya, baik ibu mahupun bapa. Ibu bimbang apakah selamat diri dan anaknya? Sakitkah nanti bila nak bersalin? Ayah pula bimbang adakah anak ini akan cukup sifatnya? Doa sentiasa di bibir ibu dan ayah selama 9 bulan ini. Saban malam, ibu membaca Surah Maryam supaya Allah memudahkan kelahiran dan menjadikan anaknya anak yang soleh.

Apabila ibu disahkan hamil, pakaian, mainan, peralatan bayi, semuanya dibeli baru. Sungguh teruja rasa dihati untuk menimang cahaya mata. Tak sabar untuk menukar status bergelar bapa dan ummi.

Setelah lahir, anak sulung diazan dan diiqamahkan. Anak sulung disayangi bagaikan puteri.

Anak bongsu, kelahirannya tidak secemas anak sulung. Pengalaman lalu menyediakan sedikit bekalan. Pakaian lama kakak atau abang menjadi pakaian anak bongsu. Semuanya 'second hand'...

Anak bongsu agak rapat dengan ibu kerana yang lain sudah besar untuk dibelai manja. Anak sulung kini dijadikan rujukan buat bicara. Pandangan, buah fikiran diambil kira.

Tapi Anak Sulung dan Anak Bongsu, kamu tetap sama di hati kami. Tiada pilih kasih, semua tetap mesra...

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama 2 tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang ayah menderita kerana anaknya..." (Al-Baqarah; 233).