Wednesday, March 18, 2009

Kenangan Lalu...


Pada hari Isnin, 22 Mei 1995, aku sekeluarga mendapat jemputan makan malam di rumah Dr Tajul. Selepas solat Isya, sambil bersiap-siap untuk ke rumah Dr Tajul, tiba-tiba kawanku, Maarof sampai. "Kakak demo telefon, mak demo sakit tenat, minta balik selalu!", pesannya tegas.

Aku mengucapkan terima kasih kepada kawanku yang terpaksa datang dari Bayan Baru untuk menyampaikan berita tersebut. Rumah aku tiada telefon.

Dengan segera kami bergegas ke rumah Dr Tajul bagi memenuhi pelawaan beliau sekeluarga. Setelah menjamah sedikit makanan, aku memaklumkan kepadanya bahawa aku perlu balik ke Kelantan segera untuk melihat ibu yang sakit.

Sebenarnya, aku baru saja balik ke Kelantan dari 5 hingga 14 Mei kerana Cuti Hari Raya Puasa. Aku masih ingat pada hari raya, ibuku dengan bersusah payah turun ke surau untuk menunaikan solat sunat Hari Raya walaupun beliau demam. Selepas Hari Raya, aku memujuk ibu untuk ke hospital. Usaha yang sama telah dibuat oleh adik beradikku yang lain sebelum ini tetapi semuanya tidak berjaya. Ibu tetap tidak mahu ke hospital.

Aku telah berjanji untuk membawa ibu ke Pulau Pinang apabila ibu sihat nanti. Akhirnya, ibu menerima pujukanku. Aku terus mengangkat ibu masuk ke dalam kereta dan membawanya ke Hospital Besar Kota Bharu.

Keesokannya aku datang bersama isteri dan tiga orang anak-anakku menziarahi ibu sebelum kembali ke Pulau Pinang. Aku bertanya kepada ibu samaada bolehkah aku pulang ke Pulau Pinang? Ibu menyuruh aku pulang kerana katanya diapun belum pasti berapa lama lagi dia akan berada di Hospital. Seorang demi seorang, ibu mencium anak-anakku. Dan yang terakhir ibu mencium Abdul Rahman, berusia 11 bulan. Sampai ke hari ini, masih terdengar bunyi ciuman itu di telingaku!

Sebelum bertolak dari rumah Dr Tajul, aku menegaskan kepada isteriku, jika tidak kerana ibu, aku tak akan bawa kereta melalui Lebuhraya Timur Barat pada jam 10 malam sebegini. Sepanjang perjalanan, fikiran hanya berkisar tentang nasib ibu yang telah keluar dari Hospital. Ibu sebenarnya merajuk kerana 2 kali diminta untuk berpuasa sebelum jari kakinya dipotong. Apabila ibu berpuasa, doktor tidak jadi untuk membuat 'operation' tersebut. Keesokannya, disuruh berpuasa lagi kemudian sekali lagi tidak jadi. Akhirnya, ibu minta untuk pulang ke rumah. Doktor mengizinkan ibu pulang dengan berat hati. Kata doktor, jika ibu datang balik ke Hospital, kita kira ia kes baru! Setelah pulang, pada hari pertama ibu sungguh ceria. Tetapi pada hari kedua, ibu telah jatuh koma, tidak sedarkan diri.

Sekitar jam 4 pagi, aku sampai di rumah kakak dimana ibu berada. Aku lihat ramai orang berkerumun sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terus aku peluk dan cium ibu. Tapi ibu hanya diam dan pejam mata. Nafas ibu begitu jelas kedengaran. Aku dan isteri terus membaca surah Yasin bagi memohon supaya Allah menyembuhkan penyakit ibu. Dan akhirnya, pada jam 6.30 petang, 23 Mei 1995, ibuku pergi buat selama-lamanya. Ibuku dimandikan di atas ribaku dan dikebumikan sekitar jam 10 malam pada hari yang sama...

"Wahai Tuhanku! Sayangilah kedua orang tuaku sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil." (Al-Isra'; 24).

3 comments:

  1. Abah,syukran jazilan selama abah m'besarkan & m'didik kami dgn cara hidup islam...kamilah insan yg paling b'untung krn dikurniakan abah sprtimu... yg m'ajar kami erti hidup seorg muslim... b'mula dr cara b'pakaian,cara solat, cara puasa, smpilah adab2 & doa2 yg dipandang kecil oleh org lain... Abah, andai Allah m'berikan kami peluang ke syurgaNya & m'izinkan kami bawa siapa2pun utk masuk ke syurga b'sama2 kami,abah & umilah insan pertama yg kami nak jemput sama2 masuk syurga..."Ya Allah, andai ditakdirkan aku b'oleh syurgamu, aku tidak mahu m'masukinya seorg diri...krn aku ingin seluruh keluargaku m'nikmati jg syurgaMu itu..."

    ReplyDelete
  2. Abah...
    Syukran awi atas sgala doa,kudrat,masa,wang dan sgala-galanya yang abah dan ummi berikan.. Sungguh, memang, tiada kata yang cukup malah tiada madah yang tepat untuk membalas semua tu.. Anugerah Ilahi membrikan kami kasih sayang dari ummi dan abah, syukur sangat.. Moga Allah sentiasa merahmati dan menyayangi abah dan ummi.. 'Ya Allah, sayangilah ummi dan abah, kurniakanlah syurgaMu buat abah dan ummiku,Ya Allah, andai aku layak untuk ke syurgaMu, izinkan ku memimpin tangan ummi dan abahku melangkah ke syurgaMu, syukur atas nikmat kasih syangMu Ya Allah.'

    -Ya Allah, Kau rahmatilah nenekku dan kupohon agar letakkanlah dia bersama golongan mereka yang beriman..

    ReplyDelete
  3. 'Your Sustainer has decreed that you worship none but Him, and that you be kind to parents. Whether one or both of them attain old age in your life-time, do not say to them a word of contempt nor repel them, but address them in terms of honour. And, out of kindness, lower to them the wing of humility and say: My Sustainer! Bestow on them Your Mercy, even as they cherished me in childhood." (17:23-24)

    ReplyDelete